Friday, September 25, 2009

TREVELOG KEHIDUPAN...jumaat terakhir


Hari ini merupakan jumaat terakhir aku berada di kampung halaman yang kira-kira sudah 6 tahun aku menggembara ke negeri orang.Sesekali pulang ke kampung halaman banyak juga yang berubah,6 tahun dulu sebelum meninggalkan kampung berkelana ke negeri orang,kampong halaman masih hijau,pepohonan melambai-lambai lembut di sapa angin dari perbukitan berlatar belakangkan sawan bendang.Namun kini hijau semakin pudar,lambaian daripada pohon kelapa hanya tinggal tunggul-tunggul usang,tiada lagi tenggekkan beburung Ngobot Jambol di julai-julai dedaun kelapa itu.Terasa kehilangan sangat satu episod kedamaian yang asli nikmat dari Yang Esa.


Namun hati ini tetap pasrah dengan apa yang berlaku,walaupun sesekali imbauan itu kembali berputar di fikiranku,ulu hati terasa di sepak kenangan silam,di sawah bendang ini lah aku mengenal erti sebutir beras usang,membanting tulang muda bersama atuk dan ayah bersawah di tengah terik mentari demi sesuap nasi untuk di hulurkan ke mulut-mulut sempit anak-anak keluarga.Sudah menjadi sunnah kehidupan ini lah pekerjaan orang kampung untuk meneruskan kehidupan berbakti pada tanah bendang.Apabila tiba musim menuai aku bersama rakan-rakan ketika itu masih di sekolah rendah bermain wau dan layang-layang di waktu petang dengan tiupan angin separa kencang cukup membahagiakan hati masing-masing,masih tergiang di telinga gelak tawa rakan-rakan sepermainan,namun suasana itu telah lama berlalu,sawah bendang yang hijau tiada lagi kerana di telan oleh pembangunan yang kian melebar.


Menjelang puasa kita sama-sama meredah semak-samun menuju ke rumpun buluh untuk di buat merian buluh,sedang asyik menebang tiba-tiba di jerkah oleh pak cik tua bertempiaran lari menyelamatkan diri.Itu suasana dahulu,kini rakan-rakan sepermainan tiada lagi disisi,sudah lama kita berpisah membawa diri masing-masing,setelah aku membawa di ke Pahang dan seterusnya ke Utara serta yang lainnya ke serata Malaysia,namun ada juga yang masih di kampung tetapi menjadi mat rempit.Tiga tahunlepas ketika aku masih di sana terdengar berita seorang mat rempit meninggal rupa-rupanya rakan sepermainanku dulu.Aku cuba tahan air mata ini agar tidak gugur ke bumi,tapi apakan daya ia jatuh jua menimpa rerumput di bumi ini.Celoteh nakalmu masih segar di ingatanku,namun kau pergi mendahului ku sebelum sempat aku mengucapkan selamat hari raya padamu.Kenangan bersamamu sewaktu menerbangkan layang-layang menjadi satu kenangan yang di bukukan dalam hidupku buat selama-lamanya.


Esok aku akan berkelana kembali membelah banjaran Titiwangsa menelusuri negeri jelapang padi dan sampai ke negeri Pokok Jati tempat aku belajar.Luka lama berdarah kembali kerana seorang lagi rakan sepermainan ku pergi buat selama-lamanya akibat kemalangan yang di cari sendiri di malam raya kira-kira seminggu yang lepas,aku doakan berbahagialah roh dan jasad mu di alam sana.


Entah bila pula aku akan kembali ke kampung yang pasti raya haji ini aku mungkin tidak pulang kerana ada sedikit urusan dakwah yang belum selesai.Aku insan kerdil yang tidak mempunyai apa-apa,cuma ingin aku tinggalkan pesanan kepada warga kampung halamanku makmurkan lah sebuah surau usang yang berada di hujung kampung agar tidak runtuh di makan anai-anai.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails