20 Zulhijjah 1432H.
KUALA LUMPUR, 16 Nov: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia turut melahirkan sokongan terhadap pendirian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk menyokong pindaan perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan penggunaan dakwat kekal di dalam pilihanraya umum yang akan datang.
Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, walaupun pandangan beberapa orang pakar perlembagaan mengenai betapa tidak perlunya perlembagaan persekutuan dipinda bagi membolehkan dakwat kekal digunakan tetapi pendirian Pakatan Rakyat untuk memberi peluang perkara itu dibahaskan telah menunjukkan komitmen dan jiwa besar pimpinan Pakatan Rakyat.
Ini, katanya supaya tiada alasan lagi yang akan digunakan oleh pihak kerajaan untuk tidak melaksanakan tuntutan itu.
“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Malaysia sepatutnya telah mendahului negara-negara lain di dalam sistem pilihanraya yang adil dan bersih kerana Malaysia mempunyai masyarakat yang aman dan harmoni serta iklim politik yang sederhana sihat,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Oleh itu, katanya sebarang usaha yang baik yang akan mempastikan satu pilihanraya yang telus dan adil perlu terus diberi laluan untuk perlaksanaanya supaya rakyat dapat membuat pilihan hati mereka dengan aman dan tenang tanpa ada ancaman dan ugutan pihak lain.
Dan sudah pastinya, kata beliau Pakatan Rakyat akan turut bersetuju dan menyokong dengan sebarang penambahbaikan untuk mewujudkan sistem pilihanraya yang lebih bersih, telus dan adil di dalam negara ini.
Oleh itu, ujarnya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan pihak Kerajaan Pusat tidak lagi berdolak dalih melainkan perlu bersegera mengambil langkah yang proaktif untuk melaksanakan dan dilihat untuk melaksanakan sebarang kaedah dan cara yang terbaik untuk membersihkan sistem pilihanraya yang sedia ada.
Justeru, katanya Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia amat mengharapkan semoga penggunaan dakwat kekal akan dapat direalisasikan di dalam pilihanraya umum yang akan datang beserta dengan beberapa lagi tuntutan semasa Bersih 2.0.
HARAKAHDAILY/-
No comments:
Post a Comment