Friday, September 13, 2013

20 Sen : Duit Raya Untuk Rakyat




Perdana Menteri menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 20 sen bermula dari hari ini. Kenaikan ini secara lazimnya akan menyebabkan kesan gandaan drastik kepada harga barangan dan perkhidmatan yang pastinya membebankan masyarakat khususnya golongan marhaen dan kelas menengah yang telah sedia tertekan dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.


DPPM kesal dengan tindakan kerajaan yang mengambil jalan mudah untuk mengurangkan kebergantungan subsidi dan defisit negara, dengan memindahkan beban tanggungan subsidi petrol dan diesel kepada rakyat keseluruhannya, tanpa mengemukakan langkah yang konkrit untuk meningkatkan pendapatan negara dan menghentikan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.


Kenyataan seperti "kenaikan harga minyak boleh ditampung dengan peningkatan BR1M", "orang berkereta besar boleh menampung kenaikan harga minyak", "kenaikan harga minyak tidak akan memberi kesan yang banyak kepada harga barangan" ternyata merupakan alasan yang merendah-rendahkan kebijakan masyarakat dan mencerminkan sifat elitis kepimpinan negara yang tidak lagi dapat menjiwai nurani rakyat.


Anggaran penjimatan RM 1.1 billion untuk 2013 dan RM 3.3 billion untuk 2014 (hatta RM 10 billion sekali pun!) dari pemotongan subsidi petrol/diesel ini tidak memberi makna sekiranya perbelanjaan fiskal negara tiris dengan keborosan, rasuah dan ketidakcekapan. Maka untuk siapa penjimatan ini ?


PM hanya dilihat mengitar semula kenyataan bahawa kerajaan akan mewujudkan mekanisme subsidi yang lebih spesifik untuk manfaat masyarakat miskin. Hakikatnya perkara ini sudah disebut-sebut sejak kenaikan harga minyak pada tahun 2008 lagi tetapi apakah mekanisme tersebut?  Selepas bertahun, kerajaan masih gagal memikirkan strategi mapan untuk melaksanakan aspirasi ini. Maka sepanjang tempoh itu, apakah yang dilakukan oleh Kementerian Kewangan sebenarnya?


Memang benar kejatuhan nilai ringgit sehingga 7 peratus memberi tekanan kepada surplus akaun semasa negara. Memang juga benar konflik di Timur Tengah menyumbang kepada ketidaktentuan harga minyak. Tetapi keputusan ini menunjukkan kerajaan gagal belajar dari pengalaman. Seharusnya krisis ekonomi 1998 dahulu dan krisis-krisis ekonomi yang menyusul selepas itu telah mematangkan kerajaan di dalam membuat jangkaan senario bagi menyediakan pelan kontingensi fiskal yang lebih berhemah dan bukannya terus "potong sana-potong sini".


Dianggarkan dengan kenaikan 20 sen seliter, tambahan kos untuk mengisi penuh tangki minyak kereta 1.5 cc adalah sekitar RM25 seminggu, bersamaan tambahan RM100 sebulan atau tambahan RM1200 setahun. Nilai tambahan kos ini adalah bersamaan nilai BR1M 3.0 yang dijanjikan dalam manifesto BN.


Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak membatalkan pengumuman kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak RM 0.20 sen berkuatkuasa semalam.


Pembatalan tersebut haruslah juga disusuli dengan pembentangan sekurang-kurangnya tiga alternatif lain untuk dipertimbangkan oleh rakyat bagi tujuan meningkatkan hasil dan seterusnya menambahkan penjimatan akaun negara.


Daripada menaikkan harga petrol RON95, adalah lebih baik kerajaan bertindak tegas terhadap pelaku rasuah termasuk mereka yang mempunyai kedudukan dan jawatan penting dalam kerajaan. DPPM menganggap rasuah menjadi punca ketirisan wang negara sehingga kerajaan tidak mampu menampung subsidi untuk rakyat. Dianggarkan nilai keitirisan wang negara ekoran aktiviti rasuah berjumlah berbilion ringgit. Rasuah juga menjadi punca integriti negara semakin merudum di mata rakyat bahkan di persada antarabangsa.


DPPM juga mendesak agar kerajaan menaikkan pembayaran royalti dari syarikat minyak antarabangsa seperti SHELL, Petron, BP dan lain-lain. Langkah ini berkesan bagi meningkatkan pendapatan negara disamping mampu menampung subsidi minyak kepada rakyat. DPPM yakin, syarikat-syarikat gergasi minyak antarabangsa mampu membayar dengan jumlah yang ditetapkan kerana keuntungan mereka setiap tahun berlipat kali ganda. Tindakan ini bagi mengelakkan kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak sebaliknya memikirkan alternatif menyelamatkan wang rakyat.


Pada masa ini, referendum rakyat adalah satu keperluan. Sikap kerajaan meletakkan bebanan ekonomi terus ke bahu rakyat adalah satu kesilapan selepas kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi dengan lebih pruden tanpa mengambil kira aspek perancangan prioriti perbelanjaan dan sikap boros yang keterlaluan.


Sesungguhnya keputusan menaikkan harga petrol dan diesel ini adalah petunjuk bahawa kerajaan sudah kebuntuan idea untuk menyelamatkan ekonomi negara.


NASRUDIN HASSAN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Temerloh.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails