Friday, November 20, 2009

PANDANGAN ULAMAK MAZHAB EMPAT TENTANG MEMBACA BISMILLAH DI DALAM SOLAT


Mazhab Syafei :

Bismillah dikira sebagai satu ayat daripada surah al fatihah; sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al Bukhari bahawasanya Nabi SAW mengira al fatihah dengan 7 ayat dan bismillah adalah satu ayat daripadanya. Dan Daruqutni meriwayatkan daripada Abi Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda : Apabila kamu membaca Alhamdulillah (al fatihah) maka bacalah Bismillah kerana ia (al fatihah) adalah “ummul quran” dan “ummul kitab” dan juga “sab’ul mathani” dan Bismillahirrahmanirrahim salah satu ayatnya.

(Riwayat Daruqutni : Subulussalam :1/173)


Adapun ketika solat jahriyah hendaklah dibacakan Bismillah secara jahar (kuat) sebagaimana dibacakan semua ayat di dalam surah al fatihah.Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a : Bahawasanya Nabi SAW menguatkan bacaan Bismillahirrahmanirrahim.


(Diriwayatkan hadis-hadis berkenaan menguatkan bacaan Bismillah ini sama ada di dalam Bukhari atau Muslim : Majmu’: 3/303)


Mazhab Hanafi :

Dan bukanlah Bismillah ayat daripada surah al fatihah dan bukan juga daripada surah-surah lain melainkan hanya terdapat pada pertengahan surah An Namli.Hadis daripada Anas r.a : Aku pernah bersolat bersama(menjadi makmum kepada) Nabi SAW, Abu Bakr, Umar dan Uthman r.anhum maka tidak aku dengari sesiapa daripada kalangan mereka membaca Bismillah.

(Riwayat Muslim & Ahmad)


Akan tetapi bagi sesiapa yang bersolat secara sendirian maka hendaklah dia membaca Bismillahirrahmanirrahim bersama fatihah pada setiap rakaat secara perlahan sebagaimana diperlahankan bacaan ta’min.Adapun imam maka tidak perlu baginya membaca Bismillah dan tidak perlu memperlahankannya. Berkata Ibnu Mas’ud : 4 perkara perlu disembunyikan oleh imam iaitu membaca istiadzah, Bismillah, ta’min, dan* tahmid.


* iaitu Rabbanalakalhamdu sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah daripada Ibrahim An Nakhaie.


Mazhab Maliki :

Dan bukanlah Bismillah di sisi mazhab Maliki satu ayat daripada fatihah. Maka tidaklah dibacakannya di dalam solat-solat fardhu secara kuat atau perlahan; tidak juga pada fatihah dan tidak juga pada surah-surah yang lain.


Mazhab Hanbali :

Ulamak mazhab Hanbali berkata : Bismillah adalah satu ayat daripada fatihah dan wajib membacanya di dalam solat.Begitulah pandangan ulamak mazhab empat di dalam agama kita.Dan harus diingat semua imam-imam tersebut bukanlah pandai-pandai mengeluarkan hukum tanpa diteliti dahulu nas-nas yang di terima mereka.

Jangan pula kita mengatakan inilah yang betul dan itulah yang salah kerana kedua-duanya hanyalah ijtihad ulamak yang faqih lagi thiqah.

(Disadur daripada kitab Fiqhul Islami - Dr. Wahbah Az Zuhaili : Jilid 1 : 646/647/650/654)


Maktabah Islamiah.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails