24 Jamadilawal 1432H.
ORANG lulus Universiti Azhar dengan ijazah PhD, bertabur firman dan hadis di hujung jarinya, tidak memilih PAS sebagai medan mengembangkan ilmu dan jihadnya.
Antaranya memilih Umno. Atau Allah memilih mereka menjadi Umno.
Yang Allah pilih menjadi ahli PAS ialah artis penulis lirik Bob Lokman. Dunia Bob dulunya di alam wayang. Tetapi dia memilih menjadi ahli PAS.
Bukan mudah bagi seseorang untuk memilih menjadi PAS. Menjadi hafiz dan PhD. Pengajian Islam belum tentu Allah pilih dia jadi orang PAS, tetapi Bob Lokman, sebagai penulis lirik Allah pilih jadi orang PAS.
Bob Lokman boleh bersyukur atas pemberian Allah itu. Dan umat Islam seluruhnya bersyukur kerana Bob Loman mula menjadi aktivis PAS.
Dia mengaku pilihannya betul setelah ada yang mencemik pemilihannya itu. Itulah ujian awal yang Bob hadapi. Dan mula gelaplah gambar dan karya seninya dari dada TV dan media perdana.
Tetapi Bob tetap memberitahu, setiap kali dia hendak meninggalkan, setelah berada dalam PAS, dia tahu langkahnya adalah betul dan mula merasai manisnya berpolitik dalam PAS.
Orang lain belum merasa manis itu, tetapi Bob sudah merasa manisnya.
Sudah ada rakan-rakan artisnya mula mendekatinya dan mahu mengikutnya.
Begitulah ada orang menyertai PAS kerana mengikut kuliah Tok Guru Mursyidul Am Dato’ Nik Aziz. Ada yang masuk kerana terasa sedapnya kata-kata mantik Ustaz Fadzil Noor. Demikian juga memahami Islam melalui kuliah Ustaz Abdul Hadi.
Tetapi ada juga kerana mengikut daya jelas Bob Lokman.
Seperti saya menanda tangani borang menyertai PAS 30 tahun dulu, saya didorong oleh pelakun filem Yusuf Suria. Saya berbuat bersamanya dengan Dato’ Asri, pemimpin PAS masa itu.
Tiba-tiba Yusuf berkata kapada saya di depan Dato’ Asri, ‘I ini bukan orang agama, tetapi I mahukan Islam. You orang beragama, tetapi pasal apa tak mahu ikut Islam?’
Saya tidak dapat memberi jawapan. Lalu dia menyuakan borang PAS kepada saya. Saya ambil borang itu dari tangannya. ‘Isi!’ suruhnya.
Dato’ Asri mengambil borang itu, dia minta kad pengenalan saya. Diisinya borang itu. Saya pun menjadi ahli PAS dan mula merasa manisnya berjuang dalam Islam.
Kira-kira 35 tahun dulu pelakon Yusuf Suria yang banyak berlakon di bawah arahan P.Ramlee dan menyokong kuat Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dato’ Harun Idris menjadi ahli PAS.
Ke sana ke mari dia menggalas borang PAS. Ramai orang ditemuinya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur diajaknya masuk PAS. Saya tengok beberapa pelakon kecil dan pelakun tambahan yang datang makan di gerainya, Restoran Semporna mengisi borang menjadi ahli PAS.
Dia rajin masuk ke luar-luar bandar berceramah mengajak orang masuk PAS.
Yusuf mahu jadi orang baik. Dia tidak banyak mendapat didikan agama. Jika ada orang PAS yang ada masa, boleh menumpukan penuh masa kepada Yusuf, dia boleh jadi aktivis Islam yang gigih.
Malangnya PAS ketika itu bertempur antara yang menyokong dan menentang Dato’ Asri, maka tidak yang dapat membeberi masa untuk membimbing artis-artis yang menyertai PAS masa itu.
Beberapa tahun selepas itu Jamal Mohamad yang dikenali sebagai Jamal Kerdil. Dia meninggalkan terus dunia hiburannya. Isterinya membawanya ke sana ke mari di seluruh negara memenuhi jemputan mengadakan ceramah PAS.
Dia tidak berapa sihat. Selalu masuk hospital. Tetapi bila keluar hospital selalu menghadhirkan diri dalam kegiatan PAS. Dunia hiburannya sudah terputus baginya. Dia tidak suka lagi diingatkan dengan zaman dunia hiburannya.
Bintang-bintang terkenal seperti Tompel, Ibrahim Din dan P.Ramlee yang baik dengannya, kalau boleh nama-nama itu tidak boleh disebut di depannya. Dia tidak suka dikaitkan dengan masa lampaunya.
Di hari tuanya dia tinggal di Dengkil. Dia hari-hari tuanya dengan mengingati kebesaran Allah. Semangat PASnya masih tinggi.
Jika Bob Lokman mahu tahu akan manisnya menyertai politik PAS mengikut pengalaman dan pandangan seorang bekas seorang artis, pergilah berkunjung ke rumah Pak Jamal Kerdil di Dengkil.
Tanya dia tentang manis dan indahnya PAS.
Harakahdaily/-
Oleh : Subky Abdul Latif
No comments:
Post a Comment