Soalan; Assalamu alaikum, ustaz. Boleh ustaz terangkan tentang Mubahalah. Pada pandangan ustaz, perlukah DS Anwar melakukannya? Terima kasih atas penjelasan ustaz.
Jawapan;
Huraian tentang maksud Mubahalah telah saya buat dalam jawapan sebelum ini. Sila baca "MUBAHALAH" dalam blog ini.
Mengenai perlu atau tidak DS Anwar melakukan Mubahalah, maka sebagaimana yang dijelaskan dalam jawapan tersebut; Mubahalah datang setelah kedua pihak berhujjah dan masalah yang timbul ialah persoalan besar yang membabitkan agama dan ummah. Jika setelah berhujjah masing-masing bertegas dengan pendirian masing-masing, pihak yang yakin dirinya benar boleh mencabar pihak satu lagi untuk bermubahalah, namun pihak yang diajak bermubahalah tidaklah wajib menyahutnya kerana hukum Mubahalah harus sahaja, tidak wajib. Dalam kes DS Anwar, tidak ada pertikaian dan perdebatan antara kedua belah pihak, akan tetapi tuduhan yang dilemparkan oleh satu pihak kepada pihak lain dan tuduhan itu bukan bersifat anutan atau fikrah (untuk diperdebatkan bagi menentukan siapa benar dan siapa sesat atau siapa betul dan siapa salah), sebaliknya ia bersifat perlakuan (yakni tuduhan melakukan suatu maksiat atau munkar). Pendirian Syariat tentangnya cukup jelas iaitu pihak yang menuduh wajib mendatangkan keterangan/bukti dan yang tertuduh akan diminta bersumpah jika keterangan/bukti yang dikemukakan terhadapnya tidak kuat untuk mensabitkan kesalahannya.[1] Jika ia enggan bersumpah, barulah sumpah dikembalikan kepada orang yang menuduh. Jadi, sumpah orang yang menuduh hanya datang setelah keengganan tertuduh untuk bersumpah. Apa yang berlaku hari ini menyimpang dari Syariat apabila orang yang menuduh bersumpah sebelum lagi keterangan/bukti disahkan dan tertuduh pula belum diminta bersumpah oleh Qadhi atau Hakim.
Tidak harus pendakwaan bagi kes yang begitu besar hukumannya di sisi Islam (yakni kes zina dan liwat) dibuat di khalayak awam atau dalam media massa. Ia mesti di buat di hadapan Qadhi atau Hakim dengan syarat-syarat yang ditetapkan Syariat. Bagi kesalahan zina, diwajibkan si penuduh mengemukakan 4 orang saksi. Memang sukar, tetapi itulah yang ditetapkan Allah di dalam al-Quran. Tidak semestinya apabila kita mengetahui suatu maksiat yang dilakukan oleh seseorang secara pribadi (di tempat tertutup, tanpa membabitkan hak orang lain), kita akan berdosa kerana tidak mendedahkannya. Malah kita mendapat pahala apabila kita menyembunyikan kerana tidak mencukupi syarat yang ditetapkan Syariat untuk didedahkan (yakni pahala mematuhi kehendak Syariat walaupun kehendak hati kita sebaliknnya). Diceritakan; Khalifah Umar bin al-Khattab pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri satu pasangan (lelaki dan wanita) melakukan zina, namun hanya dia seorang sahaja melihatnya (tidak ada orang lain). Maka ia menghimpunkan sahabat-sahabat yang ada pada ketika itu dan bertanya; Apa pandangan kamu semua jika Khalifah sendiri melihat satu pasangan melakukan zina? Saidina Ali yang hadir ketika itu lantas berkata; "Hendaklah Khalifah membawa 4 saksi atau Khalifah akan disebat 80 rotan (hukuman Qazaf)". Mendengar ucapan Saidina Ali itu Umar membisu dan tidak mendedahkan orang yang dilihatnya. (Tatbiq al-Hudud Fi at-Tasyri'aat al-Janaiyyah al-Hadithah, Dr Ahmad Fathi al-Bahansi, hlm. 216).
Melihat kecelaruan masyarakat hari ini amat terasa dalam hati kita betapa rendahnya nilai hukum manusia dan betapa tingginya nilai hukum Allah. Dengan hukum manusia, cukup mudah bagi seorang untuk menganiayai seorang yang lain. Namun perkara itu tidak akan berlaku dengan hukum Allah. Semoga apa yang berlaku akan menyedarkan masyarakat untuk segera mengembalikan hukum Allah.
Wallahu a'lam.
Nota hujung
[1] Merujuk kepada sabda Nabi (bermaksud); "Jika dilayan orang ramai dengan semata-mata dakwaan mereka, nescaya akan ada orang yang mendakwa (untuk merampas) harta orang lain dan (untuk menghalalkan) darah orang lain, akan tetapi (kaedah yang perlu dilaksanakan ialah); 'Keterangan/pembuktian dibebankan ke atas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas orang yang mengingkarinya (yakni orang yang menolak dakwaan yang dikenakan ke atasnya)" (HR Imam al-Baihaqi dari Ibnu 'Abbas dengan sanad yang hasan. Lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 6/136).
Saturday, April 30, 2011
MAKSUD MUBAHALAH & PERLUKAH MUBAHALAH?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment