KUCHING, 15 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat negeri Sarawak agar memilih calon Pakatan Rakyat pada hari pengundian esok bagi membentuk Sarawak Baru.
Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya kerana calon yang diwakili PAS, PKR dan DAP, adalah mereka yang ikhlas mahu membela nasib rakyat berbilang kaum di negeri ini, yang sekian lama tertindas di bawah BN.
"Sesungguhnya calon Pakatan Rakyat sama ada dari PAS, PKR dan DAP adalah terdiri dari mereka yang layak untuk dipilih.
"Ini kerana mereka semua memiliki kesungguhan dan sedia membela nasib dan hak kita semua," katanya.
Tambahnya, mengundi calon yang layak akan memberi kesan yang baik kepada semua pihak.
Malah ujarnya lagi, memilih calon dari pihak yang baik dikira ibadat yang mulia dan sudah pasti akan mendapat restu Tuhan.
"Oleh itu saya berharap kita semua dapat melakukan perubahan ke arah membina Sarawak Baru yang menjanjikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat,"katanya.
Ayuh berubah, tolak BN
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu rakyat menggunakan peluang mengundi esok untuk menghentikan segala penindasan kerajaan BN terhadap mereka.
Katanya, Setelah lebih 42 tahun dipersiakan kerajaan BN, kini sudah tiba masanya bagi rakyat Sarawak melakukan perubahan.
"Cukuplah negeri Sarawak yang kaya dengan hasil bumi ini dipergunakan oleh BN selama puluhan tahun dengan meminggirkan rakyat sejak sekian lama.
"Marilah kita berubah dengan menolak BN dalam pilihan raya ini," katanya.
Tambahnya, jika PAS diberi peluang mewakili rakyat di beberapa Dun yang ditandingi, parti itu akan mempamerkan keadilan Islam untuk kesejahteraan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Esok, rakyat negeri Sarawak akan menunaikan tanggungjawab membuang undi bagi memilih kerajaan negeri yang baru.
Banyak pihak menjangkakan akan berlaku perubahan besar dalam landskap politik Sarawak pada pilihan raya kali ini.
Bagaimanapun, keputusan hanya akan diketahui malam esok dan hari ini semua parti-parti yang bertanding sedang giat menjalankan kempen hari terakhir.
H/daily
No comments:
Post a Comment