Thursday, June 2, 2011

EDDAH WANITA YANG DICERAI SUAMI



Soalan; Assalamualaikum ustaz, boleh ustaz tolong jelaskan bagaimanakan yang dimaksud kan tempoh edah selepas bercerai bagi seorang wanita. Ada yang berkata tempohnya adalah 3 bulan dari tarikh bercerai atau pun 3 kali suci. Andai kata wanita tersebut telah lepas 3 kali suci tetapi tempoh edah cerainya tidak sampai 3 bulan boleh kah wanita tadi bernikah atau mesti digenapkan masa 3 bulan tersebut barulah wanita tadi boleh bernikah. Penjelasan Ustaz diucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.

Jawapan;

Eddah yang ditetapkan oleh Syariat ke atas wanita yang diceraikan suami adalah seperti berikut;

1. Wanita yang diceraikan suami dan ia masih kedatangan haid; eddahnya tiga kali suci (dari haid) berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)” (Surah al-Baqarah, ayat 228). Dikecualikan jika ia mengandung, maka eddahnya ialah eddah wanita mengandung yang akan disebutkan nanti.[1] Maksud tiga kali suci ialah tiga kali suci selepas haid, iaitu; apabila suaminya menceraikannya ketika ia suci itu dikira suci pertama, kemudian ia kedatangan haid, kemudian disusuli suci kedua, kemudian kedatangan haid lagi, kemudian disusuli suci ketiga. Apabila habis sahaja suci yang ketiga iaitu ia kedatangan haid semula, tamatlah eddahnya.

2. Wanita yang diceraikan suami dan ia telah terputus haid (yakni sampai umur putus haid)[2] atau belum didatangi haid (kerana masih kecil); eddahnya ialah 3 bulan berdalilkan ayat (yang bermaksud); “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid jika kamu keliru (yakni kamu jahil tentang hukum eddahnya), maka eddahnya ialah tiga bulan dan (demikian juga) perempuan-perempuan yang belum kedatangan haid (kerana masih kecil, eddahnya juga tiga bulan)” (Surah at-Talaq, ayat 4). Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; termasuk juga yang perlu bereddah tiga bulan ialah wanita yang berterusan keluar darah dari farajnya di mana ia tidak dapat membezakan lagi bila ia haid dan bila ia istihadhah. (Tafsir al-Munir, lihat pandangan Imam Mujahid dalam al-Jassas. Lihat juga; Tamam al-Minnah, al-Azzazi).

4. Wanita yang diceraikan suami dan ia mengandung; eddahnya ialah dengan melahirnya anak berdalilkan ayat (bermaksud); “Dan perempuan-perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya” (Surah at-Talaq, ayat 4).

5. Wanita yang dicerai suaminya dan ia menjalani eddah dengan eddah penceraian tadi (iaitu 3 kali suci atau 3 bulan), kemudian sebelum tamat eddah suaminya meninggal, bagi kes ini eddahnya bertukar kepada eddah kematian suami ialah 4 bulan 10 hari (bermula dari tarikh kematian suaminya) berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (bereddah) selama empat bulan sepuluh hari” (al-Baqarah, ayat 234).

6. Wanita yang diceraikan sebelum disetubuhi oleh suaminya; tiada eddah berdalilkan ayat (bermaksud); “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya (yakni sebelum menyetubuhinya), maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya.” (Surah al-Ahzab, ayat 49). Adapun jika ia kematian suaminya, maka eddahnya ialah 4 bulan 10 hari walaupun belum sempat berlaku persetubuhan (jimak) antara dia dan suaminya berdalilkan makna umum ayat tentang eddah kematian suami tadi.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Ini adalah berdasarkan pandangan mazhab Syafiie dan Maliki. Adapun mazhab Hanbali dan Hanafi; eddahnya ialah tiga kali haid. Mereka mentafsirkan al-quru’ dalam ayat di atas sebagai haid, bukan suci. Berdasarkan pandangan kedua, maksud tiga kali haid ialah dengan ia melalui tiga kali kedatangan haid, iaitu; selepas ia diceraikan ia didatangi haid pertama, kemudian suci, kemudian datang haid kedua, kemudian suci, kemudian datang haid ketiga dan apabila tamat haid ketiga habislah tempoh eddahnya. (Tafsir Ibnu Kathir).

[2] Menurut mazhab Syafiie; umur putus haid ialah 62 tahun. Menurut mazhab Maliki; 60 tahun, mazhab Hanbali; 50 tahun dan Hanafi; 55 tahun. (Tafsir al-Munir)

Rujukan;

1. Tafsir al-Jalalain, surah at-Talaq, ayat 4.
2. Tafsir Ibnu Kathir, surah al-Baqarah, ayat 228 dan surah at-Talaq, ayat 4.
3. Tafsir al-Munir, Dr. Wahbah az-Zuhaili, surah at-Talaq, ayat 4.
4. At-Talaq, Dr. Muhammad Ibrahim Hafnawi, hlm.377.
5. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil al-‘Azzazi, 3/19.
6. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, perkataan “’Iddah”.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails