1. Alhamdulillah, siang tadi kami baru selesai menghadhiri wacana Fitnah Ancaman Ummah Akhir Zaman di Auditorium Krangkraf Shah Alam yang mempertemukan saya dengan Dr Asri Zainal Abidin dan Yb Khairy Jamaludin . Satu program yang menarik dan menjadi lembaran baru dalam perkembangan intelektual yang mempertemukan pemimpin dari dua parti yang berlainan ideologi biar hanya di peringkat pemuda. Ia menjadi permulaan yang baik dan positif untuk terus menyuburkan budaya intelektual. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Sinar Harian, Pengurus dan warga Karangkraf yang bertindak selaku penganjur.
2. Sekitar tajuk yang diwacanakan hari ini, semua pihak bersetuju agar fitnah diperangi, fitnah ditolak dan fitnah tidak wajar disuburkan dalam sosial, ekonomi dan politik tanahair kita. Kita mahu menuju ke alam politik yang yang matang dan dewasa pemikiran para politikusnya. Politik yang telus dan tulus. Politik yang berakhlak dan beradab. Politik hujjah dan fakta bukan politik lucah dan fitnah, politik jijik dan keji.
3. Jika kesemua pihak tidak mengira PAS atau UMNO menjauhi politik kotor dan cemar ini, insyaallah negara akan lahir sebagai sebuah negara sejahtera dan harmoni serta rakyatnya bestari dan damai. Iklim politik baru yang diharapkan ini tidak akan tercapai hanya dengan satu pihak bertindak, sebaliknya semua pihak termasuk ngo mestilah akur dan tunduk kepada prinsip politik yang berasas kehendak pencipta iaitu Allah Azza wa Jalla.
4. Sebijak mana kita, parti mana yang kita wakili dan seramai mana pengaruh kita, sekali - kali kita tidak berhak untuk mengenepikan landasan syariat untuk kita menggerakkan agenda politik kita. tergelincir dari landasan wahyu Allah itulah meletakkan kita dalam jerangkap fitnah yang tidak berkesudahan.
5. Insyaallah bagi pihak saya, segigihnya saya mahu membina para pemuda PAS agar mewarnai perjuangan suci untuk menegakkan Islam di atas tanahair ini dengan membentuk medan politik yang disinari hidayah atau petunjuk Allah Azza wa Jalla. Sebagaimana kita tidak mahu orang lain memfitnah maka demikianlah kita tidak mahu kita turut terjebak dalam budaya fitnah. Justeru kita mesti mulakan dari diri kita dan parti kita.
6. Namun tidak bermakna PAS dan para pemudanya akan diam membenarkan segala kemungkaran dan kefasadan yang berlaku di pentas politik tanahair. Membongkar penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah selaku pemegang amanah rakyat mestilah dilaksanakan asal sahaja ianya bertunjangkan bukti yang kukuh, maka ia bukan fitnah malah ia adalah satu kewajipan.
7. Ketika saya memberikan penegasan bahawa saya akan berusaha untuk memastikan budaya fitnah ini tidak berlaku bagi pihak PAS khasnya pemuda, Yb Khairy Jamaludin berkata bahawa beliau akan pegang kata - kata saya. Ya ! saya konsisten akan memastikan ianya tidak berlaku dan sehingga kini rekod kita terkawal dan saya juga mengharapkan pemuda UMNO dipastikan tidak terjebak dalam budaya fitnah. Kedua - dua pihak mesti meletak azam yang sama dan kemudian melunaskannya dalam tindakan politik seharian.
8. Pemuda PAS dan Pemuda UMNO boleh bersaing dipentas politik secara sihat tanpa perlu menggunakan fitnah sebagai senjata untuk menjatuhkan antara satu sama lain. Sertai pilihanraya secara adil dan telus dengan membekalkan peluang dan ruang yang sama rata. Kemukakan polisi untuk meyakinkan rakyat dalm mencari sokongan jangan kemukakan polis untuk memaksa dan mendesak rakyat menyokong kita.
9. Insyaallah, semoga budaya intelektual sebegini akan terus subur sehingga meletakkan kita semua sebati dengan tindakan berasaskan hujjah dan fakta bukan fitnah dan tohmah. Jika ada pertuduhan, silakan namun lampirkan bukti yang benar. Sejurus bukti dikemukakan , pihak berwajib bertindaklah sewajarnya, jangan membuat pendakwaan terpilih berasaskan kecenderungan dan kepentingan pihak tertentu.
10. Ayuh pemudaku, kita bangun dan mara untuk memulakan langkah berhemah memimpin politik negara berteraskan akhlak Islami. Biarpun tindakan kita tidak popular dan berdepan pula dengan 1001 kesukaran, namun sunnah seorang pejuang, sunnah seorang muslih [ pengislah ] dan sunnah rijaaluttaghyir [ tokoh perubah ] terpaksa mengharungi sahara yang luas lagi panas sebelum tiba kedestinasi yang menepati objektif dan matlamat perjuangan suci ini.
Ustaz Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment