Hak PAS untuk Melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Tidak dinafikan
1. Semalam, hampir 4 jam Pakatan Rakyat telah membincangkan hasrat PAS mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan dalam keadaan penuh harmoni dan semangat toleransi yang seimbang. Sungguhpun mewakili anutan ideology dan agama yang berbeza, namun disiplin muafakat dan keterbukaan sikap diserlahkan dalam setiap hujjah dan perbahasan bagi memastikan Pakatan Rakyat bukan sahaja berupaya merungkai masaalah yang sedang dihadapi tetapi juga terus mendada, mendepani segala cabaran dan halangan yang mahu menggagalkan Pakatan Rakyat membuka ibupejabat pentadbiran kerajaannya di Putrajaya.
2. PAS menyatakan hasratnya yang murni dengan penuh tertib dan jelas membawa maksud mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di Kelantan bersulamkan hujjah yang bernas pula dari saff kepimpinannya yang diketuai oleh Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sementara rakan – rakan parti kompenan Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP dan PKR mengemukakan pandangan balas mereka, mengimbangi kepentingan semua pula melatari scenario politik semasa.
3. Akhirnya, kata sepakat dicapai dengan semua parti kompenan Pakatan Rakyat mempertegaskan untuk saling kukuh mengukuh dalam perkara yang dipersetujui bersama seperti objektif, agenda, dasar dan prinsip yang terkandung di dalam Buku Jingga. Sementara dalam perkara yang berbeza seperti teras ideology dan prinsip agama yang dianut meletakkan semua parti kompenan Pakatan Rakyat untuk saling hormat – menghormati antara satu sama lain.
4. Statement ini adalah suatu yang telah didirikan di atas semangat muafakat yang luar biasa pula menepati ajaran Islam yang suci. Bagaimana Rasulullah saw pernah bangun berdiri tatkala dibawa lalu di hadapannya jenazah non muslim, lantas baginda saw. ditegur ekoran tindakan baginda saw berdiri menghormati jenazah tersebut. Baginda saw menjawab, bukankah ia juga manusia, dihormati sewaktu hidupnya dan dihormati juga sewaktu matinya.
5. Menghormati tidak bermakna bersetuju. Sebagaimana Islam tidak pernah dan tidak boleh bersetuju dengan agama yang mensyirikkan Allah swt. namun Islam mengajar kita menghormati hak mereka untuk menunaikan ajaran agama yang mereka anut malah mereka tidak boleh sekali – kali dipaksa menerima Islam justeru Islam hanya sah dianut dengan yakin, sedar dan insaf. Demikianlah sebaliknya, mereka juga wajar menghormati hak orang Islam untuk mengamal atau melaksanakan tuntutan ajaran Islam meskipun mereka tidak bersetuju dengan ajaran Islam tersebut kerana menghormati tidak bermakna bersetuju.
6. Menghormati bermakna tidak menghalang. Sebagaimana Islam tidak boleh menghalang non muslim melaksanakan hak dan ajaran agama mereka justeru Islam dituntut menghormati mereka, demikianlah sebaliknya mereka juga tidak menghalang hak orang Islam untuk mengamal dan melaksanakan tuntutan ajaran Islam seperti undang – undang syariah Islam. Inilah semangat dan ruh hormat – menghormati dalam perkara yang berbeza antara muslim dan non muslim.
7. Sangat jauh bezanya jika kita melihat bagaimana UMNO dan BN melayan hasrat PAS untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan. Sejak awal dulu, pemimpin UMNO biarpun mengaku muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini. Sudahlah mereka menolak syariat itu, mereka juga bertindak lebih nekad dan biadab apabila turut menghalang PAS yang mahu melaksanakannya. UMNO gagal menjadi budak baik, apabila mereka tidak mampu melaksanakannya, dia halang dan marah pula orang lain yang mahu melaksanakannya.
8. UMNO bukan sahaja gagal menjadi budak baik tetapi kelihatan sangat naïf dan gugup apabila tergesa – gesa Presidennya mengeluarkan komitmen enggan melaksanakan hukum Hudud yang menjadi sebahagian dari Syariat Allah swt sebaik sahaja disergah MCA yang mengancam mahu keluar dari BN jika UMNO melaksana hudud. Padahal MCA hanya acah – acah sahaja untuk meninggalkan BN kerana mereka terlebih awal tahu “perut pedal” UMNO sangat “istiqamah” menentang dan enggan melaksanakan hudud.
9. PAS telah membuat pengisytiharan sejak 1993 [ sebelum wujudnya Pakatan Rakyat ] untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 apabila Enakmen itu telah diluluskan di DUN Kelantan yang dikuasai oleh PAS pada waktu itu. Kemudiannya diperkukuhkan pula pengisytiharan itu pada tahun 2003 apabila Enakmen Jenayah Syariah tersebut dilulus dan digazetkan pula oleh DUN Terengganu apabila PAS menguasai negeri itu secara demokrasi.
10. Pengisytiharan dan hasrat tersebut tidak pernah dinasakhkan [ dihapuskan ] malah Kelantan terus membina semangat dan mendidik rakyatnya dengan menganjurkan siri wacana, diskusi, forum bagi menjelaskan hukum jenayah syariah [ hudud ] secara terperinci.
11. Terbaru, YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar sekali lagi mempertegaskan hasrat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 setelah sekian lama tertangguh kerana berhadapan dengan pelbagai kekangan. Saya melihat penegasan itu bukan retorik atau gimik menghadapi pilihanraya justeru itulah yang diulang saban tahun, samaada tahun pilihanraya atau tidak. Sebaliknya penegasan itu datang dari iman dan taqwa beliau selaku seorang muslim, pula berilmu dan memiliki kuasa memerintah kerajaan negeri.
12. Saya mewakili rakan – rakan EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya sebulat suara menyokong langkah tegas YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz untuk terus meraih redha dan keampunan Allah buat pemerintahan negeri Kelantan dengan melaksanakan apa yang telah menjadi perintah Allah swt. dan kami juga menegaskan bahawa kami bukan sekadar menyokong sebaliknya terus berjuang untuk memastikan hukum Allah swt ini akhirnya berdaulat di atas muka bumi ini khasnya di Kelantan.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan pemuda PAS Malaysia
No comments:
Post a Comment