Salam Aidil Fitri Minal A'idin wal Faaizin. Kullu A'am wa Antum bikhair wa fi Taatillah.
Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan salam Aidil Fitri buat semua sahabat seperjuangan dengan harapan agar ukhuwwah diantara kita terus erat bersemi.
Salam jua buat sanak saudara dan rakan - rakan lama di alam persekolahan dulu [ Sek. Ren. Padang Piol Jerantut - 77 - 79 \ Sek. Ren. Felda Keratong 4 dan 5 - 80' - 82 \ Sek. Men Dato' Mahmud Mat Pekan Pahang - 83 - 85 \ Pondok Pasir Tumbuh Kelantan - 86 - 89 ]
Saat begini, syahdu pulak rasanya mengimbau kenangan silam yang penuh dan sarat dengan suka duka serta manis masin. Tidak kurang juga pahit maung yang diredah bersama sahabat, seiring sejalan melangkah jua menongkah sejarah hidup.
Sempena hari lebaran ini, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf buat semua. Kerana pastinya banyaklah salah dan silap saya sejak dari usia mula mengenal erti berkawan sehinggalah sekarang hidup bergalas amanah kepimpinan. Mohon maaf buat semua yang pernah terasa hati dan terguris perasaan angkara tindakan saya yang tidak cermat menjaga hati kawan dan sahabat.
Terkadang saya asyik sehingga tidak menyapa, saya tidak mendengar sehingga kelihatan angkuh, saya kepenatan sehingga dilihat tidak mesra alam, tersalah lidah dalam memilih kosa kata lalu dibidas sombong dan biadab. Aduss banyak sungguh salah dan silap serta lemah dan kurang terutama dalam penampilan dan imej sebagai seorang ketua pemuda.
Mohon maaf sahajalah yang boleh saya lafazkan buat semua. Terutama kepada dua orang tua saya, Ayah dan Ma yang sungguh banyak jasa mereka dalam membesar dan melayan karenah anak lelaki sulungnya ini, juga Ayah dan mek dari keluarga mertua. Maaf jua dipinta dari isteri dan anak yang selalu ditinggalkan serta tidak sempurna hak yang diberi kerana kesibukan diri ini dengan tugas memimpin Dewan Pemuda PAS. Juga tidak lupa saya kepada jiran - jiran yang sangat sporting.
Mohon maaf dihamparkan kepada semua sahabat seperjuangan dan tidak lupa saya kepada rakan - rakan dari AMK, DAPsy, Ngo juga dari parti politik yang berbeza termasuk Pergerakan Pemuda UMNO.
Semua dijemput secara terbuka termasuk wartawan, diundang ke teratak kami pada 17 September 2011 bersamaan hari sabtu ini sempena rumah terbuka yang serba sederhana. Undangan bermula jam 12 tengahari sehinggalah jam 4.00 petang. Konsepnya, menjamu selera sementara makanan ada, jika habis atau tidak cukup makanan yang disediakan kita makanlah kueh mueh dan mee goreng special yang akan jadi makanan top up.
Sebab kami pun tidak tahu berapa ramai yang akan hadhir kerana jemputan bersifat umum. Kalau tidak cukup juga, kita bersalaman dan bermaafan serta berbual mesra sambil minum tea, juga sangat bermakna bagi kami. Datanglah, jangan tidak datang. Rindu untuk bertemu kalian semua. Semoga ada keberkatan dan makanan juga cukup insyaallah.
Menu asas akan disediakan untuk menampung kapasiti 2000 orang. Kalau anda mahu menikmati menu istemewa ini, kena datang awal - awal waktu tau !
Menu tersebut ialah :
Nasi Dagang Gulai kuning [ikan dan ayam]
Nasi Kerabu Kuning berlaukan sambal berencah dan ikan goreng garing
Laksa Kuning special berkuah lemak dan laksa Penang
Tapai Kuning
Satay ayam dan daging Kuning
Tembikai Kuning
Air Naga Berapi Kuning.
Tema pakaian tuan rumah ialah kuning lagi BERSIH. maka dicadangkan kepada sahabat sekelian , datanglah dengan pakaian bertemakan kuning juga tapi bersih, jangan kotor !
Selamat Hari Raya aidil fitri buat semua.
Alamat :
No. 26 Taman Pelindung Perdana
Beserah Kuantan Pahang.
[ Sebelah Musolla Ar Raudhah Pelindung Perdana ]
019 - 916 8182
No comments:
Post a Comment