Monday, September 5, 2011

Misi Kemanusiaan : Berisiko tapi jangan Putus Asa

1. Al Faatihah .. semoga ruh Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor tergolong dari kalangan hamba Allah yang soleh dan diganjarkan pahala syahid. Inilah antara harga yang terpaksa dibayar dalam apa jua misi kemanusiaan yang dilancarkan. Tidak sewajarnya kita kecewa apalagi kesal terhadap apa yang berlaku tanpa saya menafikan bahawa segala kelemahan dan kekurangan penganjurnya perlu diatasi dan diperbaiki di masa - masa mendatang.

2. Umumnya misi kemanusiaan adalah di kawasan berisiko. Risiko yang boleh membunuh dan mencederakan anggota misi kemanusiaan tersebut. Samada di kawasan bergolak seperti negara yang dilanda krisis peperangan atau ketegangan politik, juga di kawasan yang ditimpa bencana atau musibah seperti tsunami, gempa bumi, radio aktif dan negara yang diserang wabak penyakit berjangkit seperti taun dan selesema burung.

3. Namun, di atas sifat kemanusiaan maka segala risiko dihadapi dengan penuh keinsafan demi bakti kepada mereka yang memerlukan. Saya tidak percaya ada orang yang mahu bersuka ria atau enjoy dalam misi kemanusiaan seperti ini. Pastinya mereka pergi dengan persiapan dan kesediaan untuk menghadapi apa jua risiko dan kemungkinan yang bakal berlaku. Mereka yang menyertai misi kemanusiaan ini adalah mereka yang terpilih. Mereka dipilih oleh Allah swt. dari lebih 20 juta rakyat Malaysia untuk menghadapi risiko yang getir ini.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga kerap kali menyertai Misi Kemanusiaan ke kawasan berisiko tinggi seperti ini termasuklah ke Gazza Palestin berdepan dengan keganasan rejim Israel laknatullah A'laih. Pelbagai pengalaman getir ditempuh namun insyaallah, segala pengalaman itu bukan sahaja tidak melemahkan semangat kami sebaliknya semangat berbakti dan berkhidmat semakin membara.

5. Saya juga mengharap agar keluarga Allahyarham Noramfaizul tabah dan sabar menerima takdir ini dan banyakkan berdoa kepada Allah swt semoga Allah merahmati dan memberkati ruh Allahyarham yang telah mengorbankan dirinya menyertai misi kemanusiaan ke Somalia tempohari. Secara peribadi dan perikemanusiaan, saya juga mengharapkan pihak Putera 1 Malaysia tidak putus asa untuk terus menggerakkan misi kemanusiaan. Berkhidmat dan berbakti kerana mencari keredhaan Allah swt. kepada manusia yang memerlukan atas sifat kemanusiaan mesti diteruskan. Justeru ia adalah kerja, tugas dan amalan yang mulia.

6. Banyak lagi ngo - ngo lain yang membawa misi serupa meskipun tidak mendapat liputan media yang luas seperti Yayasan Amal, Muslim Care dan lainnya. Saya mengharapkan usaha mereka juga diteruskan tanpa jemu dan bosan, apatah lagi untuk patah semangat sekalipun tidak dijejak publisiti yang luas oleh media bertaraf. Misi kemanusiaan adalah misi yang mesti bertolak dari keikhlasan dan kemurnian jiwa. Bebas dari sempadan kepentingan politik.

7. Sejak awal, Dewan Pemuda PAS Malaysia juga telah menubuhkan Tabung Kemanusiaan bagi menghulur bantuan dan menangani pelbagai isu kemanusiaan di seluruh dunia termasuk dalam negara sendiri. Misi kemanusiaan selayaknya disokong oleh semua pihak. Saya menyeru dan merayu kepada para dermawan dan hartawan agar memberikan sumbangan terbaik anda kepada insan yang memerlukan. Kini giliran Somalia sementara kita dididik oleh agama untuk terus berbakti.

8. Kepada insan prihatin, boleh salurkan sumbangan dan derma anda ke :

Tabung Kemanusiaan Antarabangsa Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pusat
14014010026320
Akaun Bank Islam Malaysia Berhad

9. Segala sumbangan anda insyaallah, akan kami sampaikan kepada mereka yang memerlukan di Somalia. Mudah - mudahan insan yang dihimpit penderitaan dan kesengsaraan bahkan kebuluran dapat diringankan beban mereka dan anda semua diganjarkan pahala dan redha dari Allah swt.

10. Dewan pemuda PAS Malaysia merakamkan jutaan terima kasih, jazaakumullah khairan jaza' kepada semua penyumbang diatas sumbangan yang dihulurkan. Semoga ia menjadi amal jariah yang diterima oleh Allah swt.

Ustaz Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails