Tuesday, October 4, 2011

Hudud: PAS dakwa MCA jahil, gesa usah buat kenyataan liar


KUALA LUMPUR, 4 Okt — PAS menggesa MCA tidak jahil dan membuat kenyataan-kenyataan liar dengan mendakwa hukum hudud, yang dihasratkan oleh parti Islam itu, akan menghalang kebebasan beragama dan hak asasi rakyat negara ini.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, resolusi perhimpunan agung MCA kelmarin ternyata mendedahkan pelbagai kelemahan yang sangat ketara khususnya dari sudut maklumat dan pengetahuan asas tentang Islam dalam Umno Barisan Nasional (BN). Justeru kata Tuan Ibrahim, PAS juga menyeru dengan baik agar golongan yang tidak mengerti tentang perundangan Islam dan bukan ahlinya agar tidak membuat komentar yang bertentangan dengan realiti perundangan Islam itu.

“Jangan kelirukan lagi benda yang suci yang diturunkan Allah ini. Lihatlah MCA, umat Islam boleh menilai sendiri kesan pemerintahan Umno terhadap nama baik Islam,” katanya lagi.

MCA telah meluluskan satu resolusi menolak pelaksanaan hukum hudud atas alasan ia bercanggah dengan rukun asas Perlembagaan Persekutuan dan menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.
“Kejahilan ini mencerminkan kepada rakyat betapa MCA yang menjadi komponen penting dalam BN selepas Umno, gagal menjaga perasaan umat Islam, sehingga meluluskan satu resolusi yang memalukan tentang Islam,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah, tidak timbul soal Islam menyekat kebebasan agama lain atau menyekat amalan dan penghayatan agama lain.

Sambil menegaskan isu hudud bukan isu politik, kata Tuan Ibrahim, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam dan diharap tiada halangan dan campur tangan untuk mengutuk dan menghalang umat Islam dalam menghayati keperluan wajib agama mereka.

Sehubungan itu, kata beliau, di atas sifat saling hormat-menghormati dan toleransi beragama, golongan bukan Islam boleh tidak menyokong hudud, akan tetapi janganlah seperti MCA yang menuduh liar bahawa hukum hudud ini menghalang kebebasan beragama dan hak asasi individu.

Katanya, Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yang diluluskan pada 1993 dan di Terengganu satu dekad kemudian, yang telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Undangan Negeri harus diterima kerana ia telah melalui proses sistem demokrasi yang diperakui oleh Perlembagaan negara.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini berkata kedua-dua enakmen ini hanya dikenakan kepada orang Islam manakala golongan bukan Islam dikecualikan daripada perundangan syarak kerana mereka bukan Islam.

“PAS melihat suasana saling hormat-menghormati, memahami dan tidak mencampuri urusan agama lain perlu dikekalkan demi keharmonian negara.

“Rakyat Malaysia mesti memahami bahawa di sisi umat Islam melaksanakan perundangan Islam adalah sebahagian dari ajaran Islam yang mesti dilaksanakan, sebagaimana kewajipan sembahyang, puasa dan lain-lainnya,” kata beliau lagi.

Kata Tuan Ibrahim, PAS mengharapkan pakar perundangan dan mereka yang berautoriti dari sudut syarak tampil memberikan pandangan mereka seperti para mufti, alim ulama dan lainnya agar membantu masyarakat memahami sistem perundangan Islam ini.

“Kepada yang tidak menyokong perundangan Islam, anda boleh terus tidak menyokong, namun ingin ditegaskan bahawa adalah amat tidak adil sekiranya anda juga menyeru umat Islam melupakan hasrat ini selama-lamanya.

“Dalam konteks demokrasi negara, tugas melaksanakan syariat Allah kini bergantung pada keinginan – bak kata, nak seribu daya, tidak nak seribu alasan,” kata Tuan Ibrahim lagi.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails