Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Rakyat khususnya golongan muda diseru menyokong sumbangan media alternatif yang memberikan gambaran sebenar mengenai situasi di negara ini. Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said berkata, kewujudan media alternatif dapat menjadi pengekang kepada media arus perdana yang semakin 'samseng'. "Saya fikir sumbangan akhbar alternatif ini mesti disokong kerana hanya melalui akhbar alternatif kita mendapat gambaran yang lebih berimbang, memungkinkan kita untuk menentukan apa sikap kita. "Saya dapati bahawasanya tanpa media alternatif, akhbar arus perdana akan menjadi gengster," kata beliau sewaktu berucap merasmikan pelancaran kempen 'Jom Baca Media Alternatif' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH), dekat sini, petang semalam. Kempen ini dianjurkan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang terdiri daripada gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa bertemakan 'baca dan banding'. A. Samad yang lebih senang dipanggil Pak Samad, 76, juga berkata, media alternatif sangat sesuai untuk anak-anak muda yang mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat. "Saya fikir media alternatif ini lebih untuk anak-anak muda, rakan-rakan kita yang lebih berilmu. "Memang benar ia belum sampai ke desa-desa tapi saya fikir yang diperlukan ialah kelompok anak muda yang berilmu pengetahuan dan anak-anak muda inilah nanti yang akan berlegar, akan sampai ke ceruk-ceruk untuk memperjelas apa yang berlaku di negara ini," katanya di hadapan kira-kira 50 anak muda, majoritinya mahasiswa kampus sekitar Lembah Kelang. Ujarnya, tidak menjadi suatu kerugian jika tidak membaca media arus perdana kerana laporannya hanya menyokong kerajaan dan mengakui sudah hampir satu tahun beliau tidak membaca akhbar arus perdana. "Untuk pengetahuan anda sudah hampir satu tahun saya langsung tidak membaca akhbar arus perdana. "Biarpun ada benda yang mungkin saya terlepas kerana tidak membaca akhbar arus perdana tapi saya rasa dengan tidak membacanya pun saya sudah tahu, jadi tidak rugi. "Kita lihat adalah kalau yang memerintah sentiasa betul, yang membangkang sentiasa salah. Ini yang harus dibetulkan," katanya disambut tepukan gemuruh anak muda. Beliau turut menyatakan pendirian yang meyokong pihak pembangkang. "Saya memang gemar untuk datang dan mendengar daripada mereka yang oposisi. Saya langsung tidak gemar mendengar orang yang sokong (kerajaan). "Saya memang gemar apabila ada yang membangkang dan minat saya membaca akhbar alternatif kerana saya dapat melihat benda-benda yang tidak dapat kita lihat dalam akhbar arus perdana," katanya yang mula menjadi ikon anak muda selepas lantang menyatakan sikap tidak bersetuju dengan kerajaan antaranya dalam isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan terbaru, Bersih 2.0. Anak muda kena lakukan perubahan Selain itu, Pak Samad menyeru anak muda agar berani melakukan perubahan dengan menukar kerajaan BN yang sudah lama dibiarkan bermaharajalela di negara ini. "Banyak hal lain juga boleh dilakukan anak muda yang cendekia antaranya ialah merubah maksudnya sudah tiba masanya kita adakan regime chance. "Kita sudah memberi masa kepada orang memerintah ini selama 54 tahun dan kita sudah tidak harus lagi memberikannya lebih dari itu. "Kalau selama 54 tahun kita membenarkan ini berterusan yang salah ialah kita juga. Tambahnya, kuasa banyak terletak di tangan anak muda jika mereka berani. "Oleh itu saya mengharapkan golongan anak-anak muda mengadakan satu tindakan yang berani untuk mengubahnya dan saya percaya hanya di tangan anak muda sahaja regime chance itu mungkin (berlaku)," katanya memberi semangat kepada anak muda. Sementara itu, SMM menganjurkan kepen ini bagi menyeru rakyat menjadikan media alternatif di seluruh Malaysia sebagai sumber media yang kukuh dan dekat di hati rakyat. Sabtu lalu, SMM memulakan kempen dengan bertemu masyarakat Kuala Lumpur sambil memakai baju khas kempen yang tertera alamat laman sesawang media alternatif di Malaysia termasuk Harakahdaily serta melakukan edaran risalah serta buah tangan kepada warga kota. Sebelum majlis pelancaran semalam, berlangsungnya forum mengenai Lynas di dewan yang sama. SMM merupakan gabungan beberapa pertubuhan mahasiswa di seluruh Malaysia seperti Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Kelab Rakan Islah Malaysia (KARISMA), Pro Mahasiswa Nasional (PRO M), Kumpulan Anak Muda Independen (KAMI) & Malaysian Student & Youth Democratic Movement (DEMA). |
Monday, August 8, 2011
Akhbar jadi 'gengster' tanpa media alternatif
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment