18 Ramadhan 1432H.
Syukur ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana masih memberikan kita nyawa untuk hidup dan otak yang masih boleh berfikir serta tenaga fizikal yang masih membolehkan kita berusaha memenuhi kehidupan kita di dunia ini.
Sedar tak sedar kita kini sudah berada di pertengahan fasa kedua bulan Ramadan yang dikenali sebagai fasa keampunan.
Marilah kita cuba halusi beberapa pengajaran dan pedoman yang boleh diambil dari dua potong ayat AL-Quran di bawah semoga diberkati Allah:
“ Engkaulah (wahai Tuhan) yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam, Engkaulah juga yang mengeluarkan sesuatu yang hidup dari benda yang mati dan Engkaulah yang mengeluarkan benda yang mati dari sesuatu yang hidup. Engkau jualah yang memberi rezeki kapada sesiapa yang Engkau kehendaki, dengan tiada hitungan hisabnya””. Ali Imraan 27
“ Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kehahagiaan hari ahkirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “ AL Qasas 77
1. Allah adalah Pencipta atas segala-galanya di dunia ini, matahari (waktu siang), bulan (waktu malam), syurga dan neraka (akhirat) dan bagaimana keadaan dan pergerakan tiap sesuatunya. Allah Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana.
2. Dialah juga yang menjadikan manusia iaitu dari mati menjadi hidup iaitu daripada sebelumnya tiada kepada ada dan dari ada kemudiannya menjadi tiada iaitu kita akan mati. Jangan ada sebarang keraguan terhadap kerja Allah.
3. Kita akan dihisab oleh Allah atas apa yang dilakukan sewaktu hidup di dunia dengan melihat apakah nilai bekalan yang kita bawa untuk berjumpaNya di akhirat nanti, jika cukup bekalan bahagialah kita.
4. Jika dalam perhitungan Allah bekalan tidak cukup, iaitu banyak perbuatan kita ke arah kerosakan dan berdosa maka tunggulah balasan azab yang akan menanti di akhirat nanti.
5. Dengan terbahaginya waktu, ada siang dan ada malam maka kita juga perlu mengagihkan waktu kepada perkara-perkara yang sewajarnya, antara keperluan hidup di dunia dan keperluan untuk hari akhirat mengikut jalan yang diredhai Allah.
Contohnya: “ Wahai orang-orang yang beriman, Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu ); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya ). “ Al Jumu’ah 9
6. Janganlah tamak dalam mengejar keduniaan, mengumpul harta misalnya, kerana semua rezeki dari Allah, Dia yang menentukan semua usaha akan mendapat hasil atau tidak, Dia akan memberi rezeki pada siapa yang dikehendakiNya.
Oleh itu berpada-padalah dalam apa sahaja yang kita lakukan, jika sampai waktu solat, berhentilah sebentar dari bekerja untuk dunia dan segeralah kehadratNya. Jika perlu rehat maka berehatlah supaya kita akan lebih bersedia untuk hari seterusnya. Membuat kerja tanpa perancangan yang betul boleh mendatangkan akibat yang hanya akan merugikan diri sendiri.
7. Jika kita beroleh harta kekayaan , utamakanlah hak Allah dahulu iaitu dengan mengeluarkan zakat dan bakinya adalah bersih maka bolehlah digunakan untuk keperluan kita di dunia asalkan tidak kepada yang haram yang dilarang Allah.
8. Jika ada dikurniakan lebih rezeki oleh Allah, janganlah kedekut untuk menginfakkan sebahagiannya ke jalan Allah kerana sifat kedekut tidak menguntungkan, sedangkan Allah melimpahkan rezeki kepada manusia tanpa menghitungnya, samaada manusia itu beriman atau tidak beriman.
9. Hendaklah sentiasa berbuat baik sesama makhluk, bukan sahaja sesama manusia kerana Allah sentiasa berbuat baik kepada kita. Sekiranya kita ditimpa musibah itu mungkin dari perbuatan kita sendiri dan Allah ingin menguji kesabaran kita.
10. Mestilah sentiasa bersyukur atas segala limpah kurnia Allah. Jika kita tidak bersyukur mungkin rezeki tersebut akan ditarikNya semula kerana Allah boleh menarik balik apa-apa rezeki bila dikehendakiNya.
11. Sambil berusaha, jangan lupa untuk sentiasa berdoa kepada Allah supaya sentiasa mendapat tambahan rezeki yang halal di dunia dan berdoa supaya mendapat balasan baik untuk hari akhirat.
12. Sebanyak mana pun harta yang dikumpulkan tidak akan dapat menandingi harta dan rezeki Allah, oleh itu janganlah ada sebarang sifat sombong dan takbur dalam diri kita, sesungguhnya sifat-sifat begitu amat dimurkai Allah.
13. Tidak perlulah membuang masa untuk menghitung rezeki dan rahmat Allah kerana kita tidak akan mampu menghitungnya, cukuplah dengan taat kepada perintah Allah dan Rasulnya dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
14. Elakkan dari melakukan perkara-perkara yang merosakkan kerana Allah tidak suka mereka yang membuat kerosakan. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui.
15. Sentiasa muhasabah diri dengan menilai adakah seimbang apa yang kita lakukan antara usaha keduniaan dan usaha untuk akhirat. Mengikut hukum perbandingan, ayat-ayat di atas menentukan bahawa usaha untuk akhirat mesti dilebihkan dari sebarang usaha keduniaan.
16. Sekiranya kita menginfakkan harta ke jalan Allah janganlah pula lupa akan tanggungjawab kita atas dunia seperti kepada diri sendiri, anak isteri dan keluarga serta saudara-mara yang memerlukan pertolongan. Juga simpanlah sebahagiannya untuk keperluan hari-hari yang mungkin nanti kita menghadapi kesukaran
17. Sentiasalah memperbanyakkan berselawat ke atas Rasulullah sebagai tanda syukur kita mendapat petunjuk dari Allah melaluinya. Tanpa Rasulullah siapalah kita. Syukur kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Hanya agama Islam yang diterima Allah sebagai pegangan semua umat manusia.
Dalam satu riwayat ada mengatakan Rasulullah pernah satu ketika sewaktu menaiki mimbar untuk berkhutbah, berhenti sebentar di setiap satu dari tiga anak tangga mimbar dan menyebut Amin sekali setiap kali berhenti sebelum memulakan khutbah.
Selepas turun dari mimbar baginda ditanya apakah yang berlaku, apakah perintah baru yang diterima? Baginda menjawab bahawa baginda mengaminkan tiga doa yang dibaca oleh Jibril, salah satunya ialah “Celakalah sesiapa yang bila disebut namaku tidak berselawat ke atasku.”
18. Sentiasa bermaaf-maafan sesama kita dan sentiasa memohon keampunan dari Allah samaada pada waktu siang, lebih-lebih lagi pada waktu malam kerana bila tidur kita tidak tahu adakah esok kita masih hidup atau pun sebaliknya. Banyakkanlah solat taubat kerana amat besar ganjarannya disisi Allah.
Di samping perkara-perkara di atas sudah tentu banyak lagi yang boleh kita ambil pengajaran dari ayat-ayat tersebut kerana sesungguhnya ilmu Allah amat luas seluas-luasnya.
Sejak dua tiga hari ini, jumlah jemaah masjid dan surau sudah mula berkurangan tetapi sebaliknya jumlah pengunjung pasaraya-pasaraya sudah meningkat dengan banyaknya, apakah selamanya kita melakukan perkara yang bertentangan dengan maksud ayat-ayat di atas. Sama-samalah kita fikirkan, di manakah kita ? Tidak malukah kita kepada tetamu Istimewa yang akan datang bila-bila masa dari sekarang iaitu Lailatul-Qadar.
Kalau pun atas sebab-sebab tertentu kita tidak mampu ke masjid atau surau pada setiap malam, sebenarnya kita masih boleh melakukan banyak perkara yang baik di rumah. Tepuk dada tanyalah iman. Solat tarawih bukan hanya di masjid dan surau sahaja.
Sesungguhnya orang-orang Yahudi dan Nasrani telah bersumpah tidak akan redha dengan Islam selama-lamanya. Oleh itu dengan baki bulan Ramadan yang masih ada ini marilah kita tingkatkan ibadat mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah serta mendapat anugerah Lailatul-Qadar tahun ini, Insyaallah, Amin.
md zainal mzd
No comments:
Post a Comment