Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengajak seluruh rakyat melihat isu pertahanan dan kedaulatan negara sebagai satu masalah yang serius dan penting apabila beberapa sumber maklumat yang dikenal pasti sahih menyatakan tentera China sudah berada di kawasan tuntutan bertindih Kepulauan Spratly di Laut China Selatan. Menurut Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin, beberapa kawasan strategik di Laut China Selatan telah menjadi kawasan tuntutan bertindih antara China, Malaysia, Brunei, Filipina, Vietnam, Thailand dan Kemboja.
“Kedudukan strategik dari aspek ekonomi dan ketenteraan ini akan menjadi tegang jika tidak ditangani dengan bijaksana. Malah jika kita cuai dalam mengendalikan isu ini kemungkinan besar kita akan kehilangan kawasan berharga ini.
“Terbaru dilaporkan China mula menghantar tentera secara serius di kawasan tersebut dan mula bertindak agresif apabila baru-baru ini kabel untuk cari gali kepunyaan Vietnam telah dipotong oleh Tentera Laut China.
“Selain dari usaha diplomatik kita juga harus memperkemaskan kedudukan ketenteraan negara agar disegani di sempadan perairan negara,” ujar Badrul Hisham.
Ops Pasir
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard tidak pasti sama ada latihan Ops Pasir berhampiran kawasan tuntutan bertindih Kepulauan Spratly yang diadakan baru- baru ini dengan mengundang wartawan secara terbuka merupakan satu tindakan tepat.
“Timbul cakap-cakap yang mempertikaikan kecekapan pertahanan negara apabila kononnya banyak latihan tembakan tersasar. Malah dari aspek peralatan kita agak ketinggalan.
“Kumpulan pemisah Abu Sayyaf (Mindanao, Filipina) sudah menggunakan bot empat enjin tetapi tentera negara hanya gunakan bot dua injin. Sejauh mana kebenaran tidak dapat dipastikan tetapi kewujudan cakap-cakap seperti ini harus dielakkan. Pihak yang berwajib seharusnya lebih hati-hati dalam isu mempertontonkan kemampuan ketenteraan negara,” kata Chegu Bard.
Chegu Bard menambah jika benar dalam aspek peralatan tentera Malaysia masih lemah ia amat memalukan kerana setelah sebegitu banyak dana rakyat terbuang dalam bidang pertahanan seharusnya Malaysia melangkah jauh ke hadapan dalam aspek ini.
Ketika Malaysia sibuk berbelanja membeli peralatan perang terpakai, negara jiran kita Indonesia sudah jauh ke hadapan. Setelah projek jet tempur generasi baru dan kapal selam, kini Indonesia mahu membuat kenderaan tempur 4X4 seperti Humvee.
”Kehadiran tentera China secara serius di kawasan tuntutan bertindih juga mungkin berpunca dari kehadiran Pegawai Pemerintah Pasukan Tentera Laut Pasifik Amerika Syarikat, Laksamana Robert Williard ke Malaysia dan persetujuan Malaysia mengenai kehadiran tentera negara penjajah era baru itu ke kawasan tersebut. Secara tidak lansung menjadikan negara Uncle Sam itu sebagai orang tengah dalam isu pertindihan tuntutan.
“SAMM sekali lagi mengesa regim penguasa negara ini agar melihat perkara ini dengan serius dan bukan sambil lewa. Malaysia tidak wajar hanya bersandar kepada Amerika semata-mata dan percaya bahawa negara itu akan melindungi kepentingan negara.
“Apa jaminan Amerika tidak akan berpihak kepada Filipina yang dilihat lebih menjamin kepentingannya atau menjadikan khazanah di kawasan tuntutan bertindih sebagai pertukaran kepada regim Myanmar agar tunduk dengan mereka?,” tanya Chegu Bard./fmt
No comments:
Post a Comment