Monday, August 1, 2011

Polis itu manusia, tiada ia malaikat

ADAPUN polis itu wajib ia taat dan mematuhi undang-undang dan melaksana segala perintah yang diturunkan kepadanya. Tiada boleh ia tidak menjalankan tugas. Salah ia kalhttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiqGRfm6YACAcU-OyMSlzvMfO_IyrpxFJ2Gw938MlyCwdPp2RZF2ZKDGPUg8ZsGosma4flINzr0dqQN89BTw_jOCbX32_dbhs7uW0-a5d-wsRNs4j93e8h-u7Y6Rd7lXKEZ9AvqbatQI8YD/s1600/polis-malaysia.jpgau tidak menjalan ia akan perintah.

Oleh itu apabila minta longgar seseorang akan tindakan polis, maka berkata polis, ia menjalankan tugas.



Apabila metakwil seseorang akan tindakan polis, maka menjawab polis, ia mematuhi undang-undang dan melaksanakan peraturan.Ia suka atau tidak suka ia kena buat sekalipun ia tidak disukai orang.
Sebagaimana setiap malaikat memetahui segala perintah Allah, maka begitulah polis mesti mematuhi yang diturunkan kepadanya.

Malaikat itu tiada membantah ia akan perintah Allah. Tidak seperti iblis, apabila diperintah Allah supaya sujud kepada Adam, tiada mahu sujud iblis. Berkata ia begitu dan begini kepada perintah Allah itu. Akan tetapi sujud sekalian malaikat pada Adam.

Perintah sujud kepada Adam itu dirasa pelik oleh malaikat, maka bertanya mengapa tidak dijadikan mereka saja sebagai khalifah di bumi, kerana manusia itu suka menumpah darah sesama sendiri dan melakukan banyak kerosakan?

Menjawab Allah, Dia lebih tahu. Maka patuh sekaliannya.

Akan polis itu adalah manusia. Tiada dijadikan ia seperti malaikat. Walaupun manusia juga mesti mengikut perintah dan tiada boleh ia engkar, tetapi patuh manusia itu tidak seperti patuh malaikat.

Polis tidak boleh jadi macam malaikat. Malaikat diberi otak tetapi tidak boleh memikir. Tidak boleh malaikat menggunakan akal dalam menjalankan tugasnya. Kecil besar tugas dijalankan mengikut yang Allah perintah secara terperinci.

Tidak boleh ia berfikir untuk buat begitu dan begini semasa mematuhi perintah Allah. Ia buat seperti yang Allah suruh.

Polis tidak begitu dalam menjalan perintah. Polis itu manusia, diberi otak untuk berfikir dan menggunakan akal bagi melaksanakan perintah. Perintah itu ada ketat, ada longgar, ada khusus dan ada umum. Sebagai manusia polis dikehendaki membuat yang terbaik bagi melaksanakan perintah.

Ia mesti menggunakan budi bicara. Tidak seperti malaikat. Malaikat tiada budi bicara. Kalau ada orang sakit terlantar bertahun-tahun, ikut adanya orang itu patut sudah lama mati. Malaikat Maut tidak serta-merta mengambil nyawanya, melainkan menunggu isyarat daripada Allah barulah nyawanya diambil.

Malaikat Maut buat kerja lain dulu seperti memburu orang yang segar dan sihat yang sudah tiba ajalnya, megambil nyawa orang kena pukul kepala dan patah tulang kerana dipukul polis anti rusuhan. Bila Tuhan kata ambil nyawa orang terlantar tadi barulah ia jalankan perintah itu.

Ada Malaikat Maut diminta mengambil nyawa Nabi Musa a.s. Biasanya perintah itu tidak dapat ditangguh. Tetapi Nabi Musa memberi alasan begitu dan begini mengapa nyawanya tidak boleh diambil masa itu. Malaikat pergi bertanya Allah macam mana nak buat. Setelah Allah beri perintah selanjutnya barulah ia ditunaikan.

Adapun polis tidak boleh jalan perintah macam malaikat jalankan perintah. Ia ada otak kena guna budi bicara jalankan perintah. Kalau jalan perintah 100 peratus macam malaikat, polis kena minta jadi malaikat. Jangan lagi jadi manusia.

Kalau polis sudah jadi malaikat seperti melaksanakan tugas menghalang Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu, polis tidak boleh pancut gas pemedih mata ikut suka hati, tak boleh kejar penunjuk perasaan begitu saja. Ia kena tunggu perintah Allah dulu.

Apabila polis yang malaikat itu diperintah rukuk ia rukuk saja. Yang diperintah sujud, ia sujud saja. Tidak akan buat lain selagi tidak diperintahkan. Kalau polis manusia itu sudah jadi malaikat dan buat kerja seperti malaikat, orang yang melihatnya merasa pelik. Apabila buat macam itu orang akan kata ia orang gila. Tapi kalau malaikat yang buat begitu, ia tidak gila. Memang cara malaikat itu begitu.

Kalau polis itu sudah malaikat, siapa saja yang langgar peraturan, perintahnya mesti pukul atau tembak dengan meriam air. Maka ia tidak boleh dibantah, kerana yang melangar peraturan itu mesti buat begitu.

Tetapi manusia itu diberi peluang memikir. Ikut peraturan orang mencuri dipotong tangan. Tetapi ada orang mencuri yang diadukan kepada Sayidina Umar ditanya dulu oleh Sayidina Umar, mengapa dia mencuri.

Yang mencuri itu adalah jiran orang yang kena curi. Jawabnya, dia dan keluarganya lapar, kerana itulah dia mencuri makanan di rumah jirannya. Baginda bebaskan pencuri itu dan memberi amaran kepada jiran yang kena curi itu, kira dia tidak mengambil tahu hal jirannya, jika dia mencuri lagi dan apabila diadukan, bukan tangan pencuri itu dipotong tetapi tangan jiran itu yang dipotong.

Ada seorang perempuan mengaku dia berzina kepada Rasulullah s.a.w. Baginda tidak mempedulikan aduannya. Baginda tidak terus laksanakan hukum rejam. Baginda nasihatkan dia begitu dan begini.

Ertinya baginda menggunakan otak dan budi bicara. Setelah semua nasihat dipatuhinya dan wajar hukuman dilaksanakan baginda tidak laksanakan kerana datang wahyu memberitahu taubatnya diterima.

Nabi menimbangkan peraturan tidak dilaksanakan segera pertama kerana berhati-hati dan kedua kerana wanita itu datang untuk menuntut keadilan. Dia mahu dia diadili.

Tuntutan keadilan wajar didengar sekalipun ia nampak seperti melanggar peraturan. Tuntutan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu adalah satu tuntutan dan rayuan bagi mendapatkan keadilan.

Sesudah berbagai rayuan dan cara dibuat tidak mendapat perhatian, maka timbul apa yang dipanggil Bersih 2.0. cara terakhir tuntutannya ialah dengan tunjuk perasaan besar-besaran.

Polis mengenakan peraturan tunjuk perasaan itu dikatakan melanggar undang-undang, maka ia haram. Siapa melanggar peraturan akan dikenakan tindakan serta risikonya.

Perintah itu dibuat oleh manusia. Dunia tidak mengharamkannya, cuma negeri seperti Malaysia saja yang melarangnya. Ulama berbeza pendapat. Ulama makan gaji bersetuju ia haram tetapi ulama yang tidak terikat dengan kerajaan mengiranya harus.

Kerajaan dan polis berhujah, apakah tunjuk perasaan itu saja caranya bagi menuntut keadilan itu? Mengapa tidak guna cara lain? Tetapi apakah mengharamkan tunjuk perasaan Bersih itu saja menyelesaikan isu tunjuk perasaan itu? Tidak adakah cara lain bagi menangani tunjuk perasaan itu selain dari menggerahkan polis bertindak keras?

Tunjuk perasaan itu banyak dilakukan di seluruh dunia bagi menyelesaikan tuntutan keadilan.

Malah ia pernah digunakan oleh Barisan Nasional pimpinan Hussein Onn-Mahathir Mohamad dan Ibrahim Ali untuk menumbangkan kerajaan PAS di Kelantan menjelang pilihan raya negeri tahun 1978.

Tunjuk perasaan restu Hussein Onn-Mahathir tegang, panas dan provokasi. Tetapi kerjasama polis terhadap demonstrasi itu dapat mengawal keamanan dan ketenteraman. Tiada kejadian buruk berlaku.

Cara polis masa itu menghadapi demonstrasi itu sekali pun melanggar peraturan polis, tetapi polis bertindak sebagai cara manusia menangani perintah dan undang-undang. Polis mematuhi undang-undang dan perintah sama seperti malaikat mematahui perintah Allah.

Sesuai dengan sifat polis itu sebagai manusia, maka ia tidak bertindak seperti kejadian malaikat mematuhi perintah Allah. Kepatuhan malaikat mengikut perintah itu sama sejak kejadian mula kejadian malaikat itu. Ia tidak berubah dari masa ke semasa. Hingga selepas kiamat, malaikat yang menjaga neraka bertindak sama.

Manusia ada syariatnya daripada satu nabi ke satu nabi. Peraturan itu tiba ke peringkat yang sempurna dengan turunnya Rasulullah s.a.w. rahmat kepada alam dan dengan turunnya al-Quran serta pengumpulan sunnah, manusia diberi otak untuk mentafsir kitab Allah dan sunnah Nabi.

Dengan peraturan itulah polis mesti menjalankan peraturan mengikut keperluan manusia, bukan mengikut keperluan yang dilalui para malaikat. Kepatuhan malaikat kepada perintah Allah itu adalah mutlak, kepatuhan polis kepada perintah polis tidak mutlak seperti malaikat menjalankan perintahan Allah, tetapi mesti sesuai dengan keperluan manusia.

Subky Latif

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails