Wednesday, August 10, 2011

ANALISIS BONUS - 'RANTING DIJAGA, AKAR DIBIARKAN'

Jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan,
sudah pasti tuntutan 2 bulan bonus dapat dipenuhi
10 Ramadan 1432 H | 10 August 2011

Kerajaan akhirnya bersetuju meng'hadiah'kan bonus kepada 1.27 juta kakitangan awam yang bakal menikmati bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500, manakala setiap pesara kerajaan pula mendapat RM500 yang akan dibayar pertengahan bulan ini.

Jumlah pembayaran bonus tahun dianggarkan sebanyak RM2 billion.
Maka kerajaan pun dilihat begitu prihatin dengan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barangan. Perdana Menteri sendiri menyebut pemberian bonus ini tidak lain adalah untuk meringankan beban perbelanjaan rakyat di musim perayaan ini.

Namun begitu pemberian bonus ini sebenarnya tidak memberikan sebarang manfaat jika harga barang melambung tinggi dari kadar biasa. Logiknya, peningkatan nominal pendapatan kakitangan awam sebanyak 50% pada bulan ini tidak bermakna apa-apa apabila harga barang naik mendadak lebih dari kadar berkenaan hasil dari penguncupan kuasa beli mereka.


Jika dana RM2 billion ini hasil pinjaman kerajaan, maka keputusan kerajaan memberikan bonus ini sekadar melepaskan batuk di tangga, isu ranting yang diberi perhatian, akar permasalahannya dipejamkan mata. Yang nyata, kita berdepan dengan keadaan kewangan kerajaan yang cacamarba pengurusannya. Kita punya kerajaan yang tidak serius menangani kebajikan ekonomi rakyat.


Kalau benar kerajaan mahu mengurangkan beban rakyat, maka tunjukkan keseriusan dalam menangani masalah pembaziran, ketirisan, dan perbelanjaan melampau. Ingatkah anda lagi pada kos RM50 juta untuk melaksanakan program email 1Malaysia? Manakala RM1.8 juta pula disia-siakan untuk membayar kos penyelenggaraan laman Facebook Kementerian Pelancongan Malaysia oleh syarikat yang langsung tiada laman web!

Jika anda teliti Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat, anda sudah pasti berjumpa dengan pelbagai senarai ketirisan dan salah urus harta Negara hingga mengakibatkan ketirisan lebih RM28 billion. Ini bukan cerita rekaan, semua maklumat ini juga boleh didapati dari Laporan Audit Negara untuk beberapa tahun kebelakangan ini.


Rakyat sebenarnya berhak mendapat kualiti gaji yang memungkinkan kuasa beli yg lebih tinggi. Pemberian bonus secara one-off begini tidak membantu rakyat mencapai tahap itu. Kita perlukan pengurusan yang benar-benar berhemah, yang mahu meletakkan kebajikan rakyat sebagai matlamat utama. Peningkatan ekonomi tidak sekadar pada peratus kenaikan KDNK semata, namun kebajikan dan taraf hidup rakyat patut turut meningkat.


Kalau kita teliti pemberian bonus ini pun, sepatutnya ia berbentuk piramid di mana untuk kakitangan awam di peringkat tertinggi seperti JUSA patut tiada bonus diberikan, bagi kumpulan professional dan kumpulan A mendapat setengah atau sebulan gaji, dan bagi kumpulan sokongan dan pentadbiran sekurang-kurangnya 2 bulan gaji. Ini baru dilihat benar-benar prihatin dengan kebajikan rakyat.


Tidak hairanlah ada pembaca akhbar yang meminta CUEPACS menolak pemberian bonus setengah bulan ini dan mengharap badan penjawat awam itu terus mendesak kerajaan memberikan sekurang-kurangnya bonus dua bulan gaji dan juga menyemak kembali tangga gaji mereka. Atau adakah ini langkah kerajaan mengabui mata penjawat awam memandangkan ura-ura pilihanraya umum yang makin dekat?
- Artikel asal di Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails