Aspan Alias
Kepada seseorang isu umur merupakan isu sensitif terutamanya kaum wanita. Masih ramai kaum wanita yang menyorokan umur sebenarnya. Kalau umurnya sudah 59 tahun seperti saya ini dia akan mengatakan yang umurnya ialah lima puluhan dan tidak mengatakan yang umurnya akan menjadi 60 setahun lagi. Dengan adanya kosmetik yang moden memang kadangkala kita tidak menyangka umur seseorang itu sudah hampir enam puluh tahun.
Saya lahir pada tahun 1952 iaitu 6 tahun selepas UMNO ditubuhkan. Lahir sahaja saya UMNO sudah berumur 6 tahun. Tetapi umur UMNO itu tidak panjang dan sudah ditakdirkan mati ketika usianya 42 tahun. Matinya UMNO itu kerana dibunuh.
Tetapi ada satu parti baru dilahirkan dan diberikan nama UMNO pada tahun 1988 dahulu. Sekarang UMNO yang muda sudah berusia 23 tahun. Tetapi oleh kerana UMNO yang baru lahir ini menggunaka kad pengenalan UMNO yang mati dulu maka UMNO ini terpaksalah merayakan ulang tahun yang ke-65 walau pun usianya masih muda, malahan lebih muda dari umur anak bongsu saya.
Agaknya itulah sebabnya UMNO yang muda lela ini berjalan pun sudah ‘goyeh’ bak kata orang kampong saya. Ibaratnya gigi pun sudah tanggal, mata sudah rabun, rambut sudah putih macam rambut saya, kepala sudah botak, dan kulit pun sudah kecut. Orang tua selalunya banyak penyakit dan terpaksa dilayan seperti orang sakit.
Kata sahabat saya dari Terengganu, “dah tua-tua ini memandang hanya nampak yang jauh, kalau kencing pun dah dekat. Kawan pun dah tidak ramai lagi kerana yang muda-muda sudah tidak mahu berkawan dengan kita. Kalau berjumpa sesama tua ini soalan yang pertamanya ialah bertanya samada kita ada darah tinggi atau kencing manis. Masing masing menjawab gula dalam kencingnya ialah level 10, 11 atau lebih. Telinga pun tak beberapa dengar lagi” katanya selamba.
Kawan saya ini datang dari Terengganu untuk merayakan ulang tahun UMNO yang ke-enam puluh lima. “Bukan kah UMNO ini baru 23 tahun?” tanya saya kepada Othman ini. Dia hanya ketawa dan menjawab, “Dah nak dilihat tua, macam mana nak buat brother? Itulah sebabnya UMNO sekarang mengidap penyakit tua” katanya sambil mengilai.
“Orang tua ni kalau kita kata dia salah dia marah. Kalau anak-anak mereka tidak menziarah mereka, mereka akan rasa kecil hati. Cakap mereka tidak boleh dibantah. Kalau dibantah dikatanya anak derhaka. Sekarang ini ramai anak-anak muda tidak mahu lagi orang tua mereka bekerja kerana mereka mahu melihat orang tua mereka duduk sahaja dirumah dan beribadat.” Katanya lagi.
Dalam hati saya apakah sebenarnya pendirian Othman ini. Saya bertanya lagi, “habis tu UMNO ni macam mana? Dia kata dah 65 tahun? Dia lantas manjawab, “Umur dia pun tipu apa lagi yang lain-lain? Tapi aku masih pergi keperayaan ini kerana nak jaga hati orang yang tua ini. Tak jengok, nanti dia marah. Pergi ajelah. Bukan rugi pun. Macam-macam nasihat diberikan bukan dia dengar pun, Maklumlah orang tua, telinga pun dah pekak! Katanya menyindir.
“UMNO Terengganu macam mana Man?” saya bertanya lagi. Dia manjawab, “entahlah! Rasa-rasanya kalah pulak kali ni! Tapi biar dia lah, nasehat kita bukan dia nak dengar pun. Kalau kalah pun kalahlah. Sedangkan umur dunia pun akan berakhir apa lagi umur parti? Bukan tidak ada parti-parti politik yang dah mati dalam dunia ini.” katanya selamba.
“Apa lagi program di KL ni selain dari merayakan ulang tahun UMNO?” Othman menjawab, “Entahlah, tapi anak saya ajak saya pergi ke Taman Melewar untuk menghadiri program PAS. Dua-dua anak saya di KL ni memang sudah bertukar kepercayaan politiknya. Saya pergi ajelah. Takkan aku nok duduk rumah sorang sorang!” sambil senyum.
“Man, berapa PAS dan berapa UMNO dalam rumah kau Man?” tanya saya. “Anak aku 3 orang. Semuanya menyokong PAS menantu 3 orang menyokong PAS juga. Bini aku senyap-senyap menyokong PAS sebab dia ingat aku marah kalau sokong PAS. Bini aku tak tau yang aku pun belum tentu lagi.” Sambil senyum-senyum.
Perbualan macam saya dengan Othman ini memang biasa didengar. Sejauh mana merebaknya pengaruh PAS ini saya tidak tahu, tetapi ‘intuition’ saya tetap merasakan UMNO dalam bahaya.
Tetapi saya tidak mahu bising-bising nanti ada orang marah kerana mereka hanya mahu mendengar cerita yang sedap-sedap.
No comments:
Post a Comment