KUALA LUMPUR: Keluarga empat remaja, yang datang sejauh dari selatan tanah air hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, bagi mengadu mengenai penahanan remaja berkenaan di bawah Ordinan Darurat (EO).
Empat remaja tersebut, Mohd Rizal Ibrahim, 19 Mohd Rasif Mahadi, 19 Mohd Syahiran Tumin, 19 dan Mohd Noor Arif Bakran,20 – kesemuanya berasal dari Johor-ditahan di bawah ordinan itu sejak 14 April lalu.
Kesemua keluarga remaja yang ditahan itu mewakilkan Penyelia Pusat Aduan Rakyat Zon Permas dan Johor, Syed Othman Syed Abdullah untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Penolong Setiausaha Suhakam, Ameer Izyanif pagi tadi.
“Hari ini kita hadir di Suhakam kerana sudah tidak ada cara lain dan tempat untuk mengadu kerana pihak polis sendiri tidak membenarkan keluarga melantik peguam.
“Daripada perbincangan dan aduan pihak keluarga, saya sudah kumpulkan dokumen remaja-remaja tersebut bagi membuktikan mereka tidak terlibat seperti tuduhanpolis terhadap mereka.
Daripada surat polis, ada tertera empat remaja tersebut ditahan di bawah seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (KA&MJ) No.5/61,” kata Syed Othman ketika sidang media di pejabat Suhakam, Kuala Lumpur hari ini.
Kata beliau, semasa ibu bapa remaja tersebut bertemu dengan anak-anak mereka yang ditempatkan di pusat tahanan Air Molek, Johor Bahru, polis memberitahu supaya keluarga tidak perlu mencari peguam.
Alasan yang diberi pihak berkuasa itu kerana kosnya terlalu tinggi serta peluang anak-anak mereka dilepaskan terlalu tipis.
“Pihak keluarga ada berbincang dengan polis berkenaan kes anak-anak mereka, tetapi (polis) menyarankan supaya membiarkan sahaja anak-anak mereka didakwa.
“Apa yang kita tahu, apabila ditahan di bawah EO, tiada perbicaraan dan pembelaan akan dilakukan ke atas tahanan. Polis juga ada memberitahu sekiranya cukup 60 hari ditahan, remaja-remaja tersebut akan dikenakan penjara dua tahun dan dibuang daerah,” kata beliau.
Sementara itu, Rosmawati Taib, 45, ibu kepada Mohd Syahiran, ketika ditemui pemberita meluahkan kekecewaan terhadap tujuh pertuduhan ke atas anaknya.
“Saya tidak boleh terima semua pertuduhan yang dikenakan ke atas anak saya kerana polis memberitahu siasatan lanjut masih dijalankan ke atasnya kerana disyaki menyamun bersenjata dan bersiri.
“Tuduhan itu terlalu berat, saya tahu kelakuan anak saya, saya mahu KDN turut campur tangan supaya masa depan anak saya tidak gelap. Sehingga hari ini, anak saya telah menerima beberapa tawaran melanjutkan pelajaran,” ujarnya dalam nada sedih.
Seterusnya Bakran Kahar, 52, bapa kepada Mohd Noor Arif menggesa supaya anaknya dilepaskan kerana mengakui tuduhan yang sama dikenakan terhadap Noor Arif seperti polis mahu melepaskan semua jenayah yang dilakukan oleh oang lain ke atas anaknya.
“Kalau betul anak kita bersalah, saya mahu pengadilan dan biar dia didakwa di mahkamah dan bukan ditahan di bawah EO seperti ini. Tapi jika tidak bersalah, bagaimana masa depan dia.
“Anak saya ini Pengerusi Belia Pasir Gudang, mustahil jika dia seorang penyamun, rokok pun dia tidak hisap. Hanya Noor Arif sahaja darah daging saya,” katanya dalam nada sebak.
No comments:
Post a Comment