Catherine Heseltine dan suaminya Muhammad Ali
Adakah saya ingin menjadi seorang Muslim? Lagipun saya masih berumur 16 tahun ketika itu. Tidak mungkin sama sekali dan terima kasih sahajalah. Mana boleh saya meninggalkan nikmat dunia yang dikecapi selepas ini.
"Agama saya bebas meminum arak, berparti sepanjang malam, malah saya selesa dengan kawan-kawan yang ada disekeliling." Itu pengakuan Catherine Heseltine sambil menggeleng-geleng kepala kepada soalan yang dianggap tidak masuk akal itu.
Dibesarkan di Chelsea, utara London, Catherine, 32, tidak pernah mengamalkan mana-mana agama pun sebelum itu. Apatah lagi kehidupannya yang moden dan mendapat pendidikan yang tinggi menyebabkan agama dalam keluarganya adalah dianggap sesuatu yang kuno atau ketinggalan zaman serta tidak relevan di zaman yang serba moden dan canggih ini.
Hingga pada suatu hari, guru tadika itu bertemu seorang pemuda bernama Syed. Pemuda itu, akui Catherine, berbeza dengan kebanyakan lelaki yang dikenalinya.
"Dia mencabar segala persepsi saya terhadap agama. Orangnya masih muda, seorang Muslim, seorang yang sangat percaya kepada Tuhan dan dia juga seorang yang normal, sama seperti pemuda-pemuda seusianya.
"Yang membezakan Syed dengan pemuda-pemuda Inggeris lain ialah dia tidak minum minuman keras langsung," katanya.
Bagi Catherine, perbincangan dengan Syed banyak membuatkan dirinya seperti ditampar.
Menurut Syed, seorang yang berpegang dengan fahaman agnotisme juga menyedari bahawa tanpa pegangan agama itu juga sebenarnya satu pegangan atau keyakinan.
Buku yang mengenengahkan ideologi Agnotisme
Agnotisme adalah orang yang berpendapat atau berpendirian bahawa hanya sesuatu yang berupa kebendaan sahaja yang boleh diketahui manakala pengetahuan tentang Tuhan dan segala yang abstrak tidak boleh di ketahui. Dengan kata lain, mereka tidak percayakan kewujudan tuhan.
Setahun kemudian, perkara yang sebaliknya telah berlaku. Dalam diam-diam, Catherine jatuh hati kepada Syed dan Islam. Yang peliknya, dia sendiri tidak tahu yang mana datang dahulu sama ada kepada Islam ataupun Syed. Yang jelas, dia semakin tekun membaca buku-buku berkaitan Islam.
Apa yang paling menarik perhatian Catherine daripada semua bahan bacaan itu?
"Al-Quran. Kitab ini sangat menarik dari segi intelektual, segi emosional dan spiritual. Saya menyukai penjelasan Al-Quran tentang kewujudan alam semesta yang dikesan sejak 1,500 tahun yang lalu.
"Malah, Islam telah memberikan hak-hak kepada wanita yang tidak dimiliki di dunia Barat. Saya makin yakin bahawa al-Quran itu adalah betul-betul sebuah wahyu," kata hatinya.
Namun, untuk menyatakan keislaman diri, dia masih belum sanggup. Baginya, pengislaman diri bukan sekadar melakukan syahadah atau demi mendapatkan apa yang diinginkan, iaitu mendapatkan hati Syed.
"Agama ini benar-benar cool. Tapi saya menyimpan minat terhadap Islam selama tiga tahun ," ujarnya.
Tidak lama kemudian, timbul keberanian untuk mengucap dua kalimah syahadah ketika berada di tahun pertama kuliah. Pada tahun yang sama juga, atas alasan tidak mahu membina hubungan cinta yang panjang, mereka bersetuju menamatkan zaman bujang dengan melangsungkan pernikahan agar bergelar suami isteri di segi syariat Islam.
"Reaksi awal ibu, dia mempersoalkan tidakkah cukup sekadar hidup bersama tanpa perlu bernikah? Ini salah satu tanda hatinya agak berat merestui perhubungan itu," kata Catherine.
Bagi ibunya, rumah tangga Muslim adalah rumah tangga yang banyak menindas kaum isteri.
Pada awal pengislaman, Catherine tidak terus memakai tudung, cuma pada acara-acara keagamaan sahaja. Namun dalam rutin kehidupan seharian, dia lebih selesa mengenakan bandana atau sekadar bertopi untuk menutupi rambutnya.
Alasannya, dia sengaja tampil demikian untuk menarik perhatian, walaupun ketika berada di rumah, sedang menikmati hidangan, membeli-belah, ataupun sewaktu berada di luar rumah. Kalau orang bertanya, maka akan mudah baginya untuk bercerita tentang Islam. Beliau mahu orang ramai dapat mengadaptasikan ajaran Islam secara berperingkat-peringkat.
Ramai yang beranggapan pengislaman Catherine hanya untuk menggembirakan keluarga suami dan bukannya atas kerelaan, keikhlasan dan kepercayaan diri sendiri.
Tidak terkecuali juga kawan-kawannya yang terkejut bahawa Islam mengharamkan arak dan dia tidak lagi bergaul dengan lelaki secara bebas. Situasi ini mengambil masa terutamanya kepada kawan-kawan lelaki di universiti seperti tidak boleh bercium atau mengucapkan salam dengan menyentuh pipi dan banyak lagi. Mereka terpaksa mengubah cara bergaul dengan Catherine.
"Saya terpaksa memberitahu mereka, minta maaf ini bukan cara orang Islam.
"Lama-kelamaan, saya sebenarnya menjadi seorang yang lebih Islamik daripada suami. Hal ini menyebabkan hubungan kami semakin renggang.
"Pada akhirnya, hati saya kuat mengatakan tanggungjawab suami dalam rumah tangga semakin berat dipikul olehnya dan krisis ini berlanjutan sehingga kami semakin berjauhan dan terasing. Jodoh kami cuma bertahan selama tujuh tahun.
"Selepas menjadi janda, saya berpindah ke rumah keluarga saya. Ramai yang pelik apabila mereka lihat saya masih lagi bertudung. Sejak itu, dalam keadaan ditinggalkan suami, keyakinan dan keimanan saya semakin kuat. Saya mula mencari kekuatan diri sebagai seorang Muslim dan mula berdikari," katanya.
Percaya bahawa perkahwinan adalah perkara penting dalam kehidupan seorang muslim, Dia berkahwin lagi dengan Muhammad Ali, seorang warga Bangladesh yang berpindah ke Manchester bersama keluarganya ketika dia berusia tiga tahun. Catherine mengenali suaminya melalui website perkahwinan, SingleMuslim.com
Catherine akui, Islam banyak memberikannya petunjuk dan hala tuju dalam hidup ini. Dia mula melibatkan diri dengan Muslim Public Affairs Committee. Beliau mengetuai kempen-kempen anti-Islamophobia, diskriminasi terhadap wanita di masjid, kemiskinan dan perjuangan rakyat Palestin.
"Apabila segelintir pihak memanggil kami kumpulan pelampau, saya rasa itu tidak masuk akal. Hakikatnya, terdapat terlalu banyak masalah dalam komuniti Muslim, tetapi apabila rasa dikepung, ia menjadikan jalan perubahan itu semakin berliku dan sukar.
"Saya masih lagi sebahagian dari masyarakat kulit putih di Britain tetapi saya beragama Islam. Sebenarnya, saya mengambil masa untuk menyesuaikan dua identiti itu agar serasi bersama," katanya.
No comments:
Post a Comment