Friday, December 9, 2011

Penyelesai Segala Ujian

Saya tertarik dengan satu kenyataan, "bagi mereka yang beriman, kematian merupakan penamat kepada segala ujian".

Ia sangat benar. Mereka yang beriman,InsyaAllah dengan rahmat-Nya akan dipermudahkan hisab mereka dan terus masuk syurga yang kekal abadi. Tiada lagi ujian. Ia kehidupan yang sangat-sangat berbeza dengan kehidupan di dunia.

Saya cuba membayangkan begitu. Namun akal manusia,sampai bila-bila pun pasti tidak dapat menelah dengan tepat kehidupan syurga. Namun saya simpulkan dengan cara yang paling mudah,ia kehidupan yang sangat indah.

Apa yang terbaik di dunia tentunya langsung tidak setara dengan apa yang bakal diperolehi di Firdaus. Agakan yang barangkali 100% tepat.

Tentu sekali di syurga tiada lagi perasaan "mencemburui" apa yang diperolehi oleh orang lain. Sesekali saya berfikir, mungkinkah ada kebarangkalian mereka yang berada di syurga tahap bawah mencemburui mereka yang berada di syurga yang lebih baik?

Di sini, dunia sementara ini, manusia sentiasa melihat rumput jiran lebih hijau daripada rumput sendiri. Bola hijau (kepunyaan teman) kelihatan lebih baik daripada bola biru (kepunyaan sendiri).

Ujian untuk mengejar apa yang jiran atau teman miliki tiada penghujung. Akan sentiasa ada rumput yang lebih hijau. Malah jika bola hijau diperolehi, tiba-tiba sahaja bola merah menjadi lebih menarik.

Saya merenung seksyen 9 daripada tingkat 12 Kondo Kemuncak. Di bahagian belakang, saya ternampak rumah berkembar yang harganya melebihi sejuta ringgit. Di bahagian hadapan, beberapa buah banglow yang sayup-sayup kelihatan hanya seperti penjaga kepada kondo yang saya diami.

Di sebelah kanan bahagian belakang, rumah-rumah teres bersusun-susun. Lebih jauh lagi kelihatan banglo-banglo yang kelihatan sangat eksklusif. Banyaknya bola-bola yang pelbagai warna.

Dulu, saya mempunyai impian yang sangat besar tentang warna bola yang saya inginkan. Kini, ia sangat berbeza!

- Artikel iluvislam.com

Biodata Kolumnis

Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim merupakan professor perakaunan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun di UiTM. Bagaimanapun, Prof Dr Muhd Kamil lebih dikenali melalui buku umum beliau, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang sudah terjual melebihi 40 000 naskah di pasaran terbuka. Ia merupakan salah satu buku terlaris di Malaysia. Hasilnya, beliau telah muncul di RTM1, TV3, ASTRO, TV9 dan Radio IKIM sebagai penceramah atau tetamu. Beliau juga menulis di blog muhdkamil.org.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails