Saturday, December 10, 2011

UMNO Bakal Hangus Menjadi Abu Apabila ABU Dilancarkan Besar-besaran Seluruh Negara

Ekoran kegagalan Umno memimpin Malaysia selama lebih 50 tahun, satu pergerakan dikenali sebagai Asalkan Bukan Umno (ABU) telah ditubuhkan untuk mengkuburkan Umno dari terus mencengkam Malaysia.

Gambar: (Dari kiri) Badrul Hisham Shaharin dan Haris Ibrahim pada majlis pelancaran Asalkan Bukan Umno di Kuala Lumpur hari ini. ― Foto oleh Choo Choy May (TMI)

Menurut Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che Gu Bard kempen Gerakan Rakyat Membebaskan Malaysia Dari Cengkaman Umno/BN diadakan serentak diseluruh Semenanjung tepat jam 3.30 petang ini kecuali di Pulau Pinang dan Terengganu yang diadakan pada waktu yang berbeza hari ini.

"ABU akan melancarkan kempen ke seluruh Negara untuk menyeru rakyat supaya berani menyatakan pendirian jijik dan perasaan meluat mereka terhadap penyelewengan dan rasuah yang Umno/Bn amalkan, lantas dengan tidak teragak-agak menolak Umno/Bn.

"Kesan yang kini dirasai rakyat ialah kenaikan harga barang yang melampau. 80 peratus rakyat Malaysia kini terpaksa menanggung beban kos sara hidup yang semakin tinggi. Sedangkan pemimpin-pemimpin Umno/Bn dan kroninya hidup mewah sekali,"katanya.

Selain itu katanya pelbagai penyelewengan dan salah laku pemimpin umno seperti amalan rasuah, kronisme, pemborosan serta dasar perkauman tegar parti tersebut perlu dilenyapkan dari terus bertapak di negara ini.

Gerakan ini dipelopori gabungan beberapa NGO yang terdiri dari organisasi massa termasuk Parti Rakyat Malaysia, Parti Sosialis Malaysia serta kumpulan mahasiswa KAMI.

Presiden MCLM, Haris Ibrahim dalam kenyataannya menyebut usaha menyedarkan masyarakat telah giat dijalankan dalam setahun ini bagi menyampaikan berita sebenar kepada rakyat.

"Usaha ABU adalah untuk membawa kebenaran supaya rakyat sedar tentang apa yang telah dilakukan Umno untuk rakyat dan juga kroni-kroni mereka sehingga negara ini hampir bangkrup," ujar Haris tegas.

Sementara itu, satu forum besar-besaran akan diadakan di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak pada 15 Disember ini.Satu pengumuman penting yang akan merubah situasi politik di negara Malaysia bakal dibuat pada hari tersebut. -FMT




NGO, parti politik lancar ABU tingkat gerakan anti-Umno


KUALA LUMPUR, 9 Dis ― Parti-parti politik dan organisasi bukan kerajaan berganding membentuk satu gerakan anti-Umno, yang dikenali sebagai Asalkan Bukan Umno (ABU) bagi membantu menyedarkan pengundi berkenaan ‘kejahatan Umno’ menjelang pilihan raya umum ke-13.


Gerakan itu dianggotai Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SAMM) serta parti-parti politik seperti PKR, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).


Badrul Hisham Shaharin dari PKR dan SAMM berkata, sudah tiba masanya orang perseorangan dan pertubuhan-pertubuhan sivil meletakkan titik akhir ke atas penguasaan Umno atas alasan parti itu secara berterusan menggunakan politik perkauman untuk menakut-nakutkan dan menindas rakyat.


Kata beliau, ABU akan melancarkan kempen peringkat kebangsaan bagi menyeru orang ramai menghimpunkan suara mereka menolak amalan-amalan salah guna dan rasuah pihak Umno selama ini.


“Dan, dengan itu tanpa ragu-ragu menolak Umno-BN,” kata beliau yang mesra dengan panggilan Chegubard.


Katanya, amalan rasuah yang teruk di pihak Umno telah menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi bagi mendapatkan barang dan perkhidmatan seharian.


Katanya, sidang media serentak juga diadakan di negeri-negeri lain termasuk di Pulau Pinang dan Terengganu.


Presiden MCLM Haris Ibrahim yang turut hadir berkata, beliau telah dihalang daripada memasuki Sabah baru-baru ini untuk membentuk gerakan ABU di negeri itu.


“Kami dihalau keluar tanpa sebarang alasan,” kata Haris.


“Musa Aman berkata Haris tidak dibenarkan di Sabah sebab alasan keselamatan? Adakah beliau kelihatan seolah-olah satu ancaman kepada keselamatan?” kata Badrul.


Badrul juga berkata ABU akan mengadakan forum khas di Markas Tarbiyyah PAS, Taman Melewar, Gombak pada 15 Disember ini.


Katanya, satu pengumuman besar akan dibuat berkenaan perancangan mengadakan kempen “Umno-less Malaysia”.


Bagaimanapun beliau enggan memberi maklumat lanjut.


Ketika ditanya sehingga bila gerakan ABU akan diadakan, Badrul berkata: “Asalkan Umno masih ada.” -TMI



No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails