sumber :
Oleh : Ustaz Nik Nazimuddin
Siri Pertama
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول لله وعلى آله وصحبه ومن تبعهم الى يوم
القيامة , أما بعد:
Disusunkan artikel ini bertujuan menerangkan kepada masyarakat tentang
beberapa hukum yang dikelirukan oleh sesetengah pihak yang menggunakan
zahir lafaz hadis tanpa merujuk kepada huraian ulama mujtahid yang
berkelayakkan dalam menghuraikan hukum-hakam yang tersirat di dalam
sesebuah hadis. Para ulama yang muktabar memperincikan lagi maksud
sebenar huraian imam ikutan mereka itu. Maka mantaplah segala hukum dan
terhindar daripada huraian mengikut hawa nafsu, ilmu yang cetek serta
akal yang dangkal. Ini kerana, tidak semua diberikan ilmu yang seperti
ulama-ulama tersebut. Merekalah pewaris nabi yang beramanah dalam
menjaga agama ini.
ان العلماء ورثة الأنبياء ورثوا علما…
Ertinya: “ Sesungguhnya para ulama adalah pewaris kepada para anbia dan mereka itu mewarisi keilmuan.…” (Al-Hadis)
Hukum Binaan Di atas Kubur
Tentang hadis larangan binaan di atas kubur, Imam Syafie menerangkan
hukum dan sebab larangan tersebut di dalam kitab Ummnya (bab jenazah):
” ورأيت من الولاة (بمكة) من يهدم ما يبنى فيها ولم أر فقهاء يعيبون عليه ذلك ولأن في ذلك تضييقا على الناس “
Ertinya: “ Aku melihat pembesar di Mekah meruntuhkan binaan-binaan kubur
yang ada padanya dan aku tidak melihat para Fuqaha (Mujtahid) yang
mencela perbuatan pembesar tersebut dan kerana pada binaan itu
menyempitkan tanah perkuburan ke atas orang ramai.”
Katanya lagi: ” فان كانت القبور في الأرض يملكها الموتى في حياتهم أو
ورثتهم بعدهم , لم يهدم شىء يبنى منها وانما يهدم ان هدم ما لا يملكه أحد
فهدمه لئلا يحجر على الناس “
Ertinya: “ Maka jika adalah perkuburan di dalam tanah yang dimiliki oleh
orang-orang mati semasa hidup mereka atau diwarisi oleh pewaris
selepas kematian mereka, nescaya tidak boleh diruntuhi sesuatu binaan di
dalamnya. Hanya diruntuhi sesuatu binaan di dalam tanah yang tidak
dimiliki oleh sesiapa pun maka hendaklah diruntuhinya supaya tidak
menegah orang ramai untuk tanam mayat yang lain.”
Bila ditanyakan fatwa kepada Ibnu Hajar Haitami tentang suatu binaan, beliau menghukumkan
haram binaan itu dan menyatakan sebab ( ألعلة ) pengharaman tersebut dengan katanya (Fatawa Kubra, bab jenazah):
” ولوجود علة تحريم البناء في ذلك وهى تحجير الأرض على من يدفن بعد بلاء
الميت اذ الغالب أن البناء يمكث الى ما بعد البلى وأن الناس يهابون فتح
القبر المبني فكان في البناء تضييق للمقبرة ومنع الناس من الانتفاع بها
فحرم “
Ertinya: “Kerana terdapat sebab pengharaman binaan pada binaan yang
berkenaan iaitu menegah tanah kubur daripada ditanamkan mayat lain
selepas hancur mayat di dalam kubur itu. Ini kerana, kebiasaannya binaan
di atas kubur menjadi kekal sehinggakan selepas masa hancurnya mayat,
dan orang ramai takut hendak membuka kubur yang dibinakan di atasnya.
Maka binaan itu menyempitkan tanah perkuburan dan menegah orang ramai
daripada mengambil manfaat dengannya lalu ia menjadi haram.”
Beberapa perkara yang difahami daripada huraian Imam Syafie adalah:-
1) Binaan di dalam tanah perkuburan milik sendiri
2) Binaan di dalam tanah perkuburan disabilkan
3) Binaan yang menyebabkan:
a) terhalang daripada ditanamkan mayat lain (bila berlaku kesesakan)
b) menyempitkan tanah perkuburan dengan perkara yang berlebih-lebihan
Para ulama yang mengikuti Imam Syafie menghuraikan maksud sebenar
perkataan Imam mereka tentang Hukum Binaan tersebut, adalah seperti
berikut:-
Maksud sebenar Binaan tersebut dan dimakruhkan di tanah perkuburan milik sendiri
Binaan yang di maksudkan itu ialah binaan yang sama betul dengan liang
lahad mayat (tidak memakan ruang yang terlebih luas) dan juga binaan
yang memakan ruang yang terlebih luas daripada itu seperti kubah,
masjid, bilik dan lain-lain. Binaan tersebut dimakruhkan di dalam
kawasan tanah kubur milik persendirian. Ini adalah pendapat yang
muktamad dalam mazhab Syafie.
Tersebut di dalam kitab Tuhfah bagi Ibnu Hajar Haitami ketika mensyarahkan matan Minhaj Imam Nawawi (bab jenazah) :
” (ويكره تجصيص القبر والبناء) عليه في حريمه وخارجه, نعم ان خشي نبش أو حفر سبع أو هدم سيل لم يكره “
Ertinya: “{Dimakruhkan (dalam tanah perkuburan milik sendiri) memutihkan
kubur dengan kapur dan membuat binaan} di atas kubur pada permukaan
liang lahadnya dan ruang yang terlebih luas daripada itu,
sungguh pun begitu tiada makruh jika takut dibongkari (oleh pencuri
kain kapan atau dibongkari untuk ditanam jenazah lain sebelum hancur
jasadnya), digali binatang buas atau diruntuhi air banjir yang deras.”
As-Syarwani menjelaskan lagi perkataan Ibnu Hajar itu di dalam Hasyiahnya:
” أي ويكره على القبر في حريمه وهو ما قرب منه جدا وخارج الحريم هذا في غير المسبلة “
Ertinya: “ Iaitu dimakruhkan binaan di atas kubur pada permukaan liang
kubur iaitu ruang atau tanah yang betul-betul hampir dengan liang lahad
kubur dan dimakruhkan juga pada ruang atau tanah yang terlebih luas
daripada liang kubur tersebut. Hukum makruh terbabit adalah di dalam
tanah perkuburan yang bukan disabilkan
( iaitu tanah perkuburan milik sendiri).”
Terdapat Pendapat yang lemah di dalam mazhab Syafie yang menyatakan
bahawa dimakruhkan binaan yang tidak memakan ruang yang terlebih luas
daripada permukaan liang lahad kubur dan diharamkan binaan yang memakan
ruang yang terlebih luas daripadanya, sama ada binaan berkenaan di dalam
tanah perkuburan milik sendiri atau tanah perkuburan yang disabilkan.
Di dalam kitab Murghni Muhtaj, bab jenazah: “ Sesetengah ulama mazhab
Syafie menyesuaikan perkataan Imam Nawawi di dalam matan Minhaj dan
perkataannya di dalam Majmuk dan lain-lain, dengan memberi maksud bahawa
dimakruhkan apabila dibina hanya di atas kubur, dengan makna adalah
binaan itu berada sama betul dengan permukaan liang kubur. Diharamkan
binaan itu apabila didirikan di atas kubur kubah atau bilik yang
didiami. Pendapat yang muktamad adalah haram semata-mata (tanpa
membezakan di antara binaan sama betul dengan liang lahad dan binaan
yang terlebih luas daripada itu).”
Di atas kubur para nabi, wali, ulama dan syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri
Binaan seperti kubah, bilik, masjid dan lain-lain, tiada haram serta
tiada makruh sekiranya dibina di atas kubur para nabi, wali, ulama dan
syuhada di dalam tanah perkuburan milik sendiri. Tujuan didirikan binaan
tersebut adalah untuk menggalakkan orang ramai datang menziarahi kubur
mereka dan sempena mengambil berkat.
Berkata Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid 3, m/s 226):
” قال بعضهم الا في صحابي ومشهور الولاية فلا يجوز وان انمحق ويؤيده
تصريحهم بجواز الوصية بعمارة قبور الصلحاء أي في غير المسبلة على ما يأتي
في الوصية لما فيه من احياء الزيارة والتبرك “
Ertinya: “ Sesetengah ulama syafie berkata: “ Melainkan pada kubur
sahabat dan mereka yang masyhur dengan kewalian maka tiada harus
membongkarkan kuburnya, sekalipun telah hancur jasadnya. Pendapat mereka
dikuatkan dengan kenyataan fuqaha bahawa diharuskan berwasiat supaya
dibangunkan binaan di atas kubur orang yang soleh, iaitu di dalam tanah
perkuburan yang bukan disabilkan, mengikut keterangan yang akan datang
pada bab wasiat. Keharusan itu bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan
ziarah dan sempena mengambil berkat.”
Binaan di dalam tanah perkuburan yang disabilkan
Di dalam tanah perkuburan yang disabilkan atau diwakafkan, haram membina
kubah, bilik, rumah atau masjid di atasnya. Wajib diruntuhkan binaan
tersebut walaupun didirikan atas kubur para nabi, wali, ulama dan
syuhada. Ini adalah pendapat yang muktamad di dalam mazhab syafie.
Tersebut di dalam kitab Nihayah bagi Syeikh Ramli ketika mensyarahkan Minhaj Imam Nawawi, bab jenazah:
“( ولو بني في مقبرة مسبلة, هدم) البناء وجوبا لحرمته ولما فيه من تضييق على الناس وسواء أبني قبة أو بيتا أو مسجدا أم غيرها “
Ertinya: “ (Jika dibinakan di atas kubur di dalam kawasan perkuburan
yang disabilkan nescaya mesti diruntuhkan) binaan itu sebagai hukum yang
wajib. Ini kerana binaan tersebut adalah haram dan kerana terdapat
padanya sebab (العلة) pengharaman iaitu menyempitkan (tanah perkuburan
yang disabilkan). Hukumnya tetap seperti itu, sama ada dibinakan kubah,
bilik (rumah), masjid atau lainnya.”
Diharamkan binaan tersebut walaupun di atas kubur para nabi, wali,
ulama dan lain-lain di dalam tanah perkuburan yang disabilkan
sebagaimana kenyataan Ibnu Hajar di dalam Tuhfahnya, bab jenazah (jilid
3, m/s 226) yang telah lalu mengikut beliau binaan seperti kubah, bilik,
rumah dan masjid tidak dimakruhkan di atas kubur mereka sekiranya di
dalam kawasan tanah perkuburan milik persendirian. Maka difahami
daripada perkataan beliau bahawa binaan tersebut diharamkan di dalam
tanah perkuburan yang disabilkan.
Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan
Binaan yang diharuskan di atas kubur para nabi, wali, ulama dan
seumpamanya di dalam tanah perkuburan di sabilkan ialah hanya binaan
seperti simen, marmar dan lain-lain dimana binaan itu tidak memakan
ruang yang terlebih luas daripada liang lahad kubur.
Ini ada dinyatakan di dalam Nihayah karangan Syeikh Ramli bab jenazah
(jili 3, m/s 41,عند قول المتن لا للتكفين على الأصح ) ketika membahaskan
larangan membongkar kubur sahabat dan wali setelah hancur jasad mereka
untuk ditanam jenazah lain. Kerana larangan inilah, diharuskan binaan di
atas liang lahad kubur mereka supaya tidak dibongkarkan untuk ditanam
jenazah lain.Beliau menukilkan perkataan Muwaffiq bin Hamzah yang
mengharuskan berwasiat untuk membina binaan di atas kubur sahabat dan
wali bertujuan memakmurkan kubur mereka dengan menziarahi dan mengambil
berkat.
Binaan yang dimaksudkan oleh nukilan Syeikh Ramli itu ialah hanya binaan
di atas liang lahad kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya sahaja
seperti disimen dan dipasangkan marmar, bukan binaan yang memakan ruang
lebih luas daripada itu, seperti kubah, bilik, rumah, masjid dan
lain-lain. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Al-Allamah Ali
Syabramalisi di dalam Hasyiah Nihayah (jilid 3 : m/s 41 bab jenazah)
dengan katanya:
” والمراد بعمارة ذلك بناء محل الميت فقط لا بناء القباب ونحوها “
Ertinya: “ Dimaksudkan dengan mendirikan binaan tersebut ialah binaan
di tempat liang lahad simati (nabi, wali, ulama dan seumpamanya)
sahaja, bukannya binaan segala kubah dan seumpamanya.”
Al-Allamah Ali Syabramalisi di dalam Hasyiah Nihayah juga menegaskan:
“ Pendapat yang muktamad ialah apa yang dikatakan oleh Syeikh Ramli di
dalam bab jenazah iaitu harus berwasiat untuk meratakan tanah kubur para
nabi dan orang soleh serta membangunkan binaan (yakni binaan seperti
simen, marmar) di atas kubur mereka di dalam tanah kubur yang
disabilkan.”
(حاشية الشرواني على التحفة : كتاب الوصايا وما يتعلق به عند قول المتن واذا أوصى لجهة عامة فالشرط أن لا تكون معصية : ج 3/ ص 6)
Terdapat pendapat yang lemah di dalam mazhab syafie bahawa diharuskan
binaan yang memakan ruang yang terlebih luas seperti kubah, bilik dan
lain-lain di atas kubur para nabi, wali, ulama dan seumpamanya di dalam
tanah perkuburan yang disabilkan sebagaimana yang tersebut di dalam
kitab ‘Iaanah AtThalibin (Fasal : solat ke atas simati, jilid 2 :
m/s120) :
” وقال البجيرمي : واستثنى بعضهم قبور الأنبياء والشهداء والصالحين ونحوها
(برماوي) , وعبارة الرحماني : نعم قبور الصالحين يجوز بناؤها ولو قبة
لاحياء الزيارة والتبرك , قال الحلبي : ولو في مسبلة وأفتى به وقد أمر به
الشيخ الزيادي مع ولايته…”
Ertinya: “ Al-Bujairimi berkata: Sesetengah ulama mazhab syafie
mengecualikan (daripada hukum haram) kubur para nabi, syuhada,
orang-orang soleh dan seumpamanya (nukilan Barmawi). Teks Ar-Rahmani
menyebut: Sungguhpun begitu, kubur orang-orang soleh diharuskan membina
di atasnya, sekalipun binaan kubah bertujuan memakmurkan dengan ziarah
dan mengambil berkat. Al-Halabi berkata: Walaupun di dalam tanah
perkuburan yang disabilkan dan beliau berfatwa sebegitu. Sesungguhnya
Syeikh Ziyadi memerintahkan supaya didirikan binaan tersebut ketika
beliau berkuasa…..”
Sumber : http://www.al-bakriah.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=28%3Ahukum-binaan-di-atas-kubur&catid=9%3Asoal-jawab-agama&Itemid=25Tambahan :1.
Hukum Binaan Di Atas Tanah Perkuburan Fatwa Negeri Kedah
2.
Hukum Menambak Kubur Fatwa Brunei Darussalam