Isra’ Mikraj adalah peristiwa yang menjadi ujian keimanan pada masa
itu. Orang Islam diuji dengan peristiwa yang menguji keimanan mereka.
Mereka yang cekal keimanan seperti Abu Bakar al-Siddiq menerima sahaja
pengkhabaran ini tanpa berbelah bagi. Pada beliau apa yang disampaikan
oleh baginda akan diterima tanpa banyak soal. Kerana beliau yakin
individu yang bernama Muhammad SAW seorang yang jujur dan amanah.
Kita boleh bertanya diri masing-masing, apakah situasi kita jika
sempat berada di zaman Nabi SAW?. Bersama Abu Jahal kah atau bersama Abu
Bakar al-Sidiq.
Peristiwa Isra’ Mikraj banyak memberi pengajaran kepada kita sebagai
anggota di dalam Harakah Islamiah Pas. Kita mesti yakin dengan dasar
yang Pas bawa. Samaada waktu menang atau kalah Kita mesti terus
istiqamah dengan Islam. Inilah landasan yang telah kita bina sejak tahun
1951. Pasang surut di dalam perjuangan adalah lumrah. Ia sebagai satu
proses untuk menguji ahli dan pemimpin samaada sabar atau tidak. Jangan
kita gopoh untuk mendapat kemenangan sehingga kita lupa asas perjuangan.
Kadang-kadang kita sudah hilang adab dalam berjamaah. Bermusuh sesama
sendiri, kutuk sesama sendiri. Sehingga sudah tidak tahu membezakan
antara prinsip dan strategi. Hendak menjaga hati orang luar, lebih
daripada hendak menjaga hati sesama sahabat. Manakah sikap kita
sebagaimana Firman Allah SWT ” Merendah diri dengan orang Mukmin dan
menujukkan izzah dengan orang bukan Islam”
Yang paling sedih sehingga ada yang mencadangkan Pas ini perlu
menjadi parti politik, bukan sebagai sebuah gerakan Islam. Dengan
andaian Pas tidak akan maju selagi masih menjadi Harakah Islamiah. Pas
tidak maju jika masih hendak mengambil kira hukum dalam semua hal.
Fahaman ini cukup merbahaya jika kita mengambil sikap demikian. Pas
mampu bertahan kerana kita tidak memisahkan dengan gerakan dakwah. Di
sinilah ada keberkatan dan semangat untuk orang lain bersama dengan Pas.
Umno yang menjadi saingan Pas pada hari ini sudah berada dihujung
senja. Ideologi mereka sudah tidak relevan. Ia mampu bertahan kerana ada
kuasa sahaja. Jika mereka hilang kuasa, maka Umno akan diletakkan di
Muzium sahaja.
Ia berlainan dengan Pas, kerana tegak di atas manhaj yang jelas dan dasar yang jelas.
Isra’ Mikraj merupakan medan ujian keimanan. Begitulah juga kita,
berjuang bersama dengan Pas kerana keyakinan dengan dasar. Seandainya
tujuan duniawi maka kita tidak kesampaian bersama dengan Pas. Barang
pasti apabila kita bersama dengan Pas kita sudah berjaya melawan musuh
dalam dan luar.
Segala tawaran dan habuan dunia ditolak jika bertembung dengan kepentingan agama. Inilah nilai keimanan yang sudah dipahat di dalam dada setiap anggota Pas.
Puak kafir Quraish menolak pengkhabaran yang disampaikan oleh
baginda. Mereka mengukur dari ukuran dunia, bukannya wahyu. Mereka
menggunakan akal, tidak boleh menerima Nabi SAW ke Masjidil Aqsa dan ke
Sidratul Muntaha dalam masa yang singkat. Kebiasaan mereka ke Palestin
daripada Makkah memakan masa selama 40 hari 40 malam. Semuanya gara-gara
kerana menggunakan akal.
Perjuangan Islam juga jika menggunakan akal, sama seperti puak-puak
kafir Quraish yang menolak peristiwa Isra’ Mikraj. Perjuangan
berteraskan Iman memerlukan kepada kesabaran yang tinggi untuk
meyakinkan seruan perjuangan diterima.
Sikap Nabi SAW telah menjadi suri teladan kepada kita. Baginda yakin
terhadap apa yang baginda bawa. Ummu Hani’ pernah melarang baginda
daripada menceritakan kepada orang ramai, kerana yakin orang Quraish
akan menolak cerita tersebut. Baginda menjawab dengan tegas, samaada
orang percaya atau tidak ini bukan urusan beliau, kewajipannya hanya
menyampaikan risalah ini kepada orang ramai. Inilah qudwah yang wajib
diteladani oleh kita sebagai anggota harakah Islamiah. Tidak takut
dengan penolakan orang, yang penting risalah mesti disampaikan.
Ustaz Idris Hj Ahmad
No comments:
Post a Comment