Soalan; assalamualaikum wr.wb pak ustad saya mau tanya bagaimana hukumnya
daging gajah dan kuda untuk di makan...,,????
Jawapan;
Bismillah, walhadulillah, wassolatu ala Rasulillah.
1. Daging gajah
Menurut jumhur ulamak (mazhab Hanafi, Syafi’ie dan
Hanbali); daging gajah haram dimakan kerana ia tergolong dalam binatang
bertaring. Abu Tsa’labah al-Khusyani RA
menceritakan; “Nabi SAW telah melarang kami dari memakan daging haiwan yang
bertaring dari binatang-binatang buas” (Soheh al-Bukhari; 5530, 5780. Soheh
Muslim; 1932).
Maksud bertaring ialah haiwan yang menggunakan gigi taringnya untuk
menerkam dan membunuh mangsanya (an-Nihayah. Al-Majmu’). Di antara contoh yang
disebut ulamak bagi binatang-binatang jenis ini ialah; anjing, kucing, singa,
harimau, serigala, gajah, kera dan seumpamanya (lihat; Nailul-Autar,
as-Syaukani; 1/131. Al-Majmu’, an-Nawawi; 9/14. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah
al-Kuwaitiyyah; perkataan “At’imah”).
Menurut mazhab Maliki; haiwan-haiwan yang haram dimakan
hanyalah yang disebut keharamannya di dalam al-Quran (antaranya surah al-An’am,
ayat 145), iaitu; “bangkai, darah dan daging babi”. Binatang-binatang yang tidak
disebut dalam ayat ini tidaklah haram memakannya. Adapun binatang-binatang yang
bertaring tadi; makruh memakannya kerana dilarang oleh hadis. Jadi, menurut
mazhab Maliki; larangan Nabi SAW dalam hadis tadi adalah larangan makruh, bukan
larangan haram (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah).
2. Daging kuda
Daging kuda halal memakannya kerana kehalalannya telah
sabit dari hadis-hadis Nabi SAW. Asma binti Abu Bakar RA menceritakan; “Kami
pernah menyembelih seekor kuda pada zaman Nabi SAW dan memakannya” (Soheh
al-Bukhari; 5510, 5519). Jabir bin
Abdullah RA menceritakan; “Nabi SAW menegah kami dari memakan daging kaldai
pada hari Khaibar dan membenarkan kami memakan daging kuda” (Soheh al-Bukhari;
5520. Muslim; 1941).
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment