Tuesday, January 31, 2012

Subsidi Gula: Lain yang dipersoalkan, lain pula yang Ismail Sabri jawab..



Apa yang menjadi persoalan dalam isu subsidi gula ini ialah mengapa subsidi untuk gula perlu ditingkatkan sedangkan harga gula dipasaran dunia sedang mengalami penurunan?


Ini kerana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mendakwa kerajaan UMNO/BN telah meningkatkan kadar subsidi gula sebanyak 20 sen kepada 54 sen sekilogram bagi mengekalkan harga gula pada RM2.30 sekilogram ekoran "kenaikan kadar gula dunia.".


Selepas mengalami peningkatan pada nilai USD29.47 (RM89.66) setiap seratus paun pada Julai 2011, harga gula mengalami penurunan berterusan setiap bulan, dengan USD28.88 (RM87.87) pada Ogos, USD26.64 (RM81.05) pada September, USD26.30 (RM80.02) untuk Oktober, USD24.52 (RM74.60) pada November, dan USD23.42 (RM71.26) untuk Disember pada kadar seratus paun.

Laporan penuh sila baca di SINI dan juga di SINI

Itu adalah fakta.. cuba korang baca apa jawapan dari Ismail Sabri mengenai hal ini menurut apa yang dilaporkan oleh Lidah Rasmi UMNO, dalam jawapannya ini beliau langsung tidak menyentuh tentang hal harga gula dunia yang didakwanya telah meningkat tapi hanya menyalahkan pihak Pakatan Rakyat..


Pembangkang dibidas isu subsidi gula


BERA 29 Jan. - Parti pembangkang dibidas kerana melemparkan tohmahan kononnya kerajaan menambah subsidi gula daripada 20 sen kepada 54 sen bagi tujuan memancing undi pada pilihan raya umum akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tohmahan pembangkang itu tidak benar sama sekali kerana semua yang dilakukan kerajaan adalah semata-mata untuk mengurangkan beban rakyat.

"Mereka kata kita tambah subsidi gula daripada RM262.41 juta kepada RM567 juta pada tahun ini adalah untuk pilihan raya.

"Ini semua tidak betul. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, kalau kita tidak tingkatkan subsidi bermakna harga gula akan naik. Kalau harga gula naik bermakna produk-produk sampingan yang lain juga akan turut meningkat," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Bera di sini, hari ini.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berangkat menghadiri majlis tersebut dengan dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bersama lebih 3,000 penduduk sekitar daerah ini.

Ismail Sabri menegaskan, sekiranya subsidi gula tidak dinaikkan, harga bahan mentah itu akan meningkat di pasaran. Sekali gus, akan mengakibatkan harga produk-produk lain akan naik.

"Sekiranya ini berlaku, maka tidak ada gunanya kita berusaha mengurangkan beban rakyat tetapi harga barang meningkat dan ini akan menjejaskan usaha kita dalam membantu rakyat," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Ismail Sabri berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan berlakunya kegiatan penyeludupan gula ke negara jiran akibat kenaikan produk itu di pasaran dunia.

Jelasnya, kerjasama erat kementeriannya dengan agensi penguatkuasaan seperti Unit Pencegahan Penyeludupan dan Polis Diraja Malaysia akan sentiasa dipertingkatkan bagi membendung kegiatan tersebut.

"Saya amat berharap setiap rakyat perlu mempunyai rasa tanggungjawab dan cintakan negara dengan tidak melibatkan diri dengan kegiatan yang merugikan rakyat serta negara itu.

"Kesedaran ini perlu ada dalam diri, jangan hanya kerana sedikit keuntungan kita jual maruah negara," katanya.

Sunday, January 29, 2012

Felda diunjur defisit selepas penyenaraian FGVH?


Dr. Rosli Yaakop,28 Jan 2012

Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendakwa (Malaysiakini, 27 Januari 2012) angka-angka yang didedahkan oleh Presiden ANAK, Mazlan Aliman dan saya pada sidang akhbar pada 26 Januari 2012 tidak betul. Saya ingin memberitahu bahawa maklumat yang kami perolehi adalah berwibawa. Tentang angka-angka yang kami sebut, saya mahu menegaskan di sini bahawa saya tidak mereka-reka angka. Saya memetik angka-angka itu dari sumber yang diyakini berstatus “boleh dipercayai” (reliable). Saya tidak memetik angka dari sumber yang saya yakini “tidak boleh dipercayai” jauh sekali untuk mengada-adakan angka sendiri.


Di antaranya, sumber yang boleh dipercayai itu memberitahu bahawa Felda menanggung perbelanjaan sebesar RM1.745 bilion dalam tahun 2007. Dalam tahun 2010 pula, ia menanggung perbelanjaan sebesar RM1.981 bilion. Butiran-butiran utama perbelanjaan ini ialah perbelanjaan peneroka (35-37%), perbelanjaan pengurusan (25-27%), perbelanjaan tanam semula peneroka (23-25%) dan pinjaman kepada peneroka.


Felda membiayai perbelanjaan ini melalui pelbagai sumber, iaitu, pendapatan dari ladang, dividen, geran infrasturktur yang diterima dan lain-lain dan hakikatnya, pendapatan dari ladanglah yang utama merupakan 60-70% daripada jumlah pendapatan. Dalam tahun 2007, pendapatan Felda berjumlah RM2.134 bilion yang mana RM1.349 bilion adalah pendapatan ladang. Dalam tahun 2010, Felda menjana pendapatan berjumlah RM2.387 bilion yang mana pendapatan dari ladang berjumlah RM1.43 bilion.

Dalam struktur organisasi yang ada sekarang, Felda menikmati lebihan pendapatan berbanding perbelanjaan. Dalam tahun 2007, lebihan pendapatan berjumlah RM389 juta (RM2.134 bilion – RM1.745 bilion). Dalam tahun 2010 pula, lebihan pendapatan berjumalah RM406 juta (RM2.387 bilion – RM1.981 bilion).


Berdasarkan cadangan penyenaraian FGVB, senario ini akan berubah seperti berikut: Felda akan memajakkan kesemua tanah yang ia miliki (bukan tanah milik langsung peneroka) kepada FGVHB selama 99 tahun merangkumi “tanah semasa” (tanah yang mempunyai geran hak milik), “tanah semasa tambahan” (tanah belum ada lagi geran hak milik) dan “tanah masa hadapan” (sebarang tanah yang akan diberi miliki atau diambil alih oleh Felda di masa hadapan). Sebagai balasan kepada memajakkan tanah kepada FGVB, Felda akan dibayar seperti berikut: RM251 juta setahun bagi sewa tanah (Datuk Maslan: RM1.5 bilion setahun sebagai “pendapatan bersama” Felda dan FGVHB) dan RM508 juta (anggaran) yang merupakan 15% dari keuntungan operasi pertanian yang dijangka diperolehi FGVHB selepas penyenaraian kelak. Oleh itu, jumlah pendapatan Felda selepas penyenaraian ialah RM759 juta. Jelas, jumlah ini memang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan Felda di anggarkan berjumlah antara RM1.7-2.0 bilion setahun (2007-2010).


Dalam tempoh 2007-2010 (4 tahun), purata pendapatan ladang ialah RM1.357 bilion setahun. Selepas disenaraikan nanti, Felda akan hanya menerima RM508 juta atau 15% dari jumlah keuntungan tahunan (anggaran), bermakna akibat penyenaraian FGVB, Felda akan kehilangan pendapatan ladang sebesar RM849 juta setiap tahun, kurang atau lebih, bergantung kepada pendapatan sebenar.


Untuk menampong kekurangan ini ada tiga syor yang diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai itu, iaitu, pertama, kadar pajakan tahunan dibayar mengikut kadar pajakan semasa (bermakna kadar pajakan dalam cadangan sekarang adalah rendah). Kedua, kadar perkongsian keuntungan tahunan dinaikkan dari 15% kepada 30%. Ketiga, FGVHB menyediakan wang tahunan berjumlah tidak kurang dari RM1.5 bilion kepada Felda. Namun, setakat ini, syor ini tidak ada dalam deraf perjanjian pajakan, mungkin alasannya ialah ia akan memberi kesan negatif kepada prestasi kewangan FGVHB sekaligus menghadkan nilai saham di pasaran. Atas fakta inilah dikatakan Felda akan dalam defisit selepas penyenaraian. Kalau tidak, syor-syor yang demikian tidak mungkin timbul.


Saya juga mendapat tahu bahawa, pertama, kadar pajakkan itu tidak berubah selama 10 tahun, bermakna selama 10 tahun bermula dari perjanjian pajakan dimeterai, sewa tahunan yang diterima oleh Felda kekal pada RM251 juta setahun. Juga, kadar sewa tanah berbeda-beda dari negeri ke negeri. Tanah Felda di negeri Pahang sewanya paling tinggi, iaitu, melebihi RM1,000 se hektar setahun dan yang paling rendah Perlis, iaitu, di bawah RM90 se hektar setahun. Di negeri selebihnya, kadar sewa tanah berubah-ubah di antara setinggi-tingginya sekitar RM900 se hektar setahun dan serendah-rendahnya RM100 se hektar setahun.


Kedua, keuntungan sebanyak 15% yang akan diberi kepada Felda setiap tahun hanyalah “keuntungan dari operasi pertanian,” bermakna pendapatan daripada aktiviti pemprosesan dan pengewangan sisa (monetisation of by-products) diambil semuanya oleh FGVHB. Keuntungan ini adalah keuntungan”amat” bersih, iaitu, semua kos telah ditolak termasuk kos membina infrastruktur dan kos pengurusan estet.

Saya sedia diperbetulkan.

Najib beri isyarat Rela 'bertempur' dengan rakyat


Abdul Aziz Mustafa,29 Jan 2012

KUALA LUMPUR, 29 Jan: Datuk Seri Najib Tun Razak adalah Perdana Menteri yang sukakan huru-hara apabila memberi isyarat akan menggunakan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) untuk 'bertempur' dengan rakyat yang memprotes kerajaannya.

"Kalau di negara yang bertamadun, polis akan mengambil tindakan terhadapnya kerana kenyataannya yang berbau hasutan terhadap Rela supaya bertempur dengan rakyat, buli rakyat.

"Kenyataan Najib itu membuktikan beliau adalah seorang yang suka mencetuskan kekacauan," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Malaysian Insider melaporkan, Najib semalam memberi amaran secara terbuka kepada rakyat yang hendak berdemonstrasi apabila menyatakan Rela sentiasa bersedia mempertahankan negara dari keadaan yang pada pandangannya huru-hara.

"Jangan cetuskan kekacauan," beliau dilaporkan berkata sambil mengingatkan Rela yang "tidak akan berdiam diri" akan digunakan.

Bagi Mohamad, bukan keselamatan negara yang dibimbangkan oleh Najib tetapi keselamatan beliau sendiri dan kerajaannya yang sebenarnya mahu dipertahankan dengan memperalatkan polis, tentera, Rela malah "pasukan bomba pun dia hendak gunakan".

"Pergi tanya Najib, kalau orang-orang Umno berdemonstrasi menentang kerajaan Pulau Pinang dan mencetuskan kekecohan, adakah Najib akan kerah polis atau Rela untuk bertempur dengan mereka?" katanya.

Di Pulau Pinang, kata Mohamad, tidak henti-henti gerombolan pro Umno mengadakan pelbagai demonstrasi dan perhimpunan, tetapi kerajaan Najib bukan sahaja tidak pernah bertindak melarang mereka malah dilihat menggalakkan gerombolan itu.

Beliau bagaimanapun tidak hairan terhadap apa yang disifatkannya sebagai hasutan Najib itu.

"Dalam pilihan raya kecil Padang Terap pada tahun 1985, Najib yang pada masa itu Ketua Pemuda Umno dilihat sebagai orang yang bertanggungjawab membuat provokasi sehingga Othman Talib terbunuh dalam peristiwa di Lubok Merbau.

"Rakyat mesti tamatkan kekuasaan jenis penghasut seperti Najib. Dia sangat berbahaya," tegas Mohamad.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Najib itu sebagai dorongan secara tidak langsung kepada gerombolan-gerombolan yang bertindak menyerang ceramah-ceramah Pakatan Rakyat (PR) supaya bertindak lebih ganas lagi.

"Sekarang sudah ada trend baru menggunakan gerombolan samseng menyerang ceramah-ceramah PR.

"Mereka berani melakukan perbuatan itu kerana mereka yakin kerajaan dan polis tidak akan bertindak kepada mereka," katanya.

Mohamad yakin, jika penyokong-penyokong PR yang menyerang ceramah-ceramah Umno, tentu pihak polis akan bertindak habis-habisan terhadap mereka.HD

"Kalau terhadap penyokong PR, diburu dan diganasi dengan segala kekerasan.

"Kalau orang Umno, bawa sepanduk caci raja yang kononnya mereka sanjung sebagai binatang pun sampai hari ini tidak dikenakan tindakan," katanya.

Saturday, January 28, 2012

Ya, PR mampu beri tapak rumah kepada rakyat



PAS komited dengan janji untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat yang belum mempunyai rumah dan menyelesaikan masalah tanah yang telah diusahakan puluhan tahun belum mendapat hak milik.

Azam, niat ikhlas dan keyakinan Pakatan Rakyat (PR) Pahang bukan lahir dari angan-angan atau dibuat tanpa asas, tetapi setelah hasil kajian mendalam oleh pelbagai pihak.

PR yakin dengan tindakan bersepadu antara semua agensi berkaitan, kita mampu mengatasi masalah tapak rumah dan isu tanah yang menjadi isu utama rakyat.

Segalanya bermula dengan niat dan kesungguhan, dengan niat dan kesungguhan, barulah jalan baru akan ditempohi dan dicari sehingga mencapai hasrat yang diinginkan. Jika tanpa niat dan kesungguhan, mustahil kini manusia dapat menikmati kemudahan kapal terbang dan juga menjelajah ke bulan.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, PR telah membuat keputusan untuk membuka Felda plantation seluas 143,000 hektar di Pahang untuk membolehkan pemberian tanah dan tapak rumah kepada lebih 40,000 orang peneroka.

Disebabkan adanya niat dan kesungguhan tersebut, PR juga telah memikirkan cara untuk membuka kawasan penempatan baru, dan pemberian hak milik kepada penduduk yang mendiami tanah tol sebagai tapak rumah.

Namun, harus diingatkan, apa yang mustahil di zaman BN, tidak semestinya mustahil di zaman PR? Sebagai contoh, pemberian tanah kepada rakyat ketika PAS memerintah Terengganu dan juga pemberian air percuma di Selangor, yang didakwa BN bakal membangkrapkan negeri terkaya tersebut – semua dapat dilaksanakan atas niat dan kesungguhan PR.

Sudah semestinya, bagi pihak berkuasa yang tiada mempunyai niat dan kesungguhan sedemikian, mereka pasti melihat perkara ini sebagai mustahil dilaksanakan dan ancaman kepada kekuasaan mereka.

PR akui bukan mudah untuk memberi tanah kepada semua penduduk 1.5 juta Pahang; dan buat masa ini, mungkin ia dilihat sebagai di luar kemampuan. Akan tetapi, dengan niat, azam dan kemampuan mentadbir PR, kita yakin mampu menyelesaikan sebahagian masalah tapak rumah untuk rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah tapak rumah.

Sebagai perbandingan mudah, dalam isu Felda, seperti yang tertera di dalam buku Jingga, PR berjanji untuk memasukkan peneroka di semua ladang Felda berbanding kerajaan BN yang secara sewenang-wenangnya bersetuju memajak ladang kepada FGV selama 99 tahun tanpa memikirkan nasib peneroka.

Kalau kerajaan Pahang Barisan Nasional yang diketuai Adnan sanggup memberikan ribuan hektar tanah kepada pelbagai pihak sama ada perladangan, perkilangan atau pelancongan, malah tanah kepada tapak kepada sebuah kilang Lynas yang menghasilkan sisa radioaktif yang bakal membawa bala besar kepada rakyat Kuantan dan Gebeng – mampukah PR memberikan tapak rumah kepada rakyat?

Sudah tentu ya! Walaupun ada niat dan kesungguhan daripada pihak PR, semuanya tidak akan terjadi tanpa niat dan kesungguhan rakyat Pahang untuk berubah. Ayuh rakyat Pahang, berubahlah ke zaman PR untuk ‘Selamatkan Pahang!”

Ustaz Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man,

Ketua Penerangan PAS Pusat

Pesuruhjaya PAS Pahang

Friday, January 27, 2012

Kelebihan Berjuang Di Jalan Allah Dgn Ikhlas

Oleh: ustaznik

"kata-kata almarhum Ustaz Fadzil Nor

Perkataan jihad mengandungi aljuhdu waljahdu bermakna bersungguh dan payah. Jihad menegakkan Islam pula besar kelebihannya. Untuk mendapat pahala besar ini pula perlukan keikhlasan dalam berjuang. Apatah lagi apabila sudah ada jawatan dan pangkat besar, ditambah dengan sifat mazmumah dalam diri yang menggugat nilai ikhlas itu. Semua perkara ini tidak mudah, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.

Dalam konteks Malaysia, PAS sebagai gerakan Islam dan parti politik mengambil pendekatan muwajahah silmiyyah (berdepan secara damai) melalui pilihanraya. Namun, ia tetap sebuah bentuk jihad kerana jihad itu sangat luas maknanya. Hayati kata-kata almarhum Ustaz Fadzil Nor di sebelah agar mereka yang yang telah pergi meninggalkan kita dalam keadaan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam menjadi motivasi pula kepada kita dalam perjuangan ini.

kuliah kelebihan berjuang di jalan Allah 1 (0) , 2 (0) dan ikhlas

Dari Abu Hurairah r.a. katanya :Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Allah memberi jaminan kepada orang yang keluar berjuang di jalanNya…

Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad kerana beriman dan ikhlas kepada Allah, maka Allah memberi jaminan memasukkannya ke dalam syurga atau akan mengembalikannya semula ke rumah. Beliau juga keluar dengan mendapat pahala atau harta rampasan.

Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan olehNya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya seperti bau kasturi.

Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum Muslimin, sudah tentu aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku.

Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi.”

Hadis riwayat Muslim"

TKO

Gambar : Konvoi Mengiringi Ust Azhar Idrus Sempena Sambutan Jubli Emas Pemuda PAS Terengganu











Sumber gambar : Facebook Wan Nasiruddin
Konvoi mengiringi Ust Azhar Idrus ke tapak Program Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di Alor Tempoyak Dungun Terengganu.

Sambutan Jubli Emas diadakan selama tiga hari pada 19, 20 dan 21 Januari, sempena peringatan penubuhan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu pada tahun 1961.

Sepanjang tempoh tersebut DPPNT telah diterajui oleh 13 orang ketua, termasuk Haji Mohd Abdul Wahid yang kini Pesuruhjaya Pas Terengganu dari tahun 1993 hingga 1997.

AUKU tidak perlu dikaji, hapus sahaja

Muhammad Faizal, 26 Jan 2012

SHAH ALAM, 26 Jan: Pakar Undang-undang dan Perlembagaan, Prof Dr. Aziz Bari (gambar) menegaskan bahawa Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) tidak perlu lagi dikaji keberkesanannya, yang perlu adalah mansuhkan sahaja.

Beliau yang berkata pada program wacana di kompleks Karangkraf hari ini memberitahu undang-undang yang sedia ada di negara ini sudah merangkumi semua perkara jika seseorang itu melakukan kesalahan samada mahasiswa ataupun mereka yang berada di luar.

"Universiti sekarang perlu fokus kepada sebuah pusat akedemik bukannya mencampuri urusan lain, jika sebuah pusat pendidikan lebih tertumpu kepada apa yang berlaku sekarang saya pasti tahap pendidikan negara ini tidak dapat menandingi universiti di negara-negara luar.

"Kita tidak perlu buang masa untuk mengkaji semula AUKU, kenapa perlu satu pembaziran yang besar dalam kita membuat kajian untuk sebuah pindaan. Tidakkah kita boleh memansuhkannya terus," jelasnya.

Tambahnya lagi, melihat kepada kebangkitan Universiti Malaya sebelum wujudnya AUKU, pentadbiran dan juga pendidikan mereka cukup cantik malah berkesan apatah lagi kedudukannya diperingkat antarabangsa.

"Dalam keadaan sekarang apa perlu kita kekalkan AUKU setelah melihat kemerosotan sistem pendidikan negara, malah pelajar pula menjadi mangsa kepada sebuah akta yang jelas mengekang kebebasan mereka untuk bersuara.

"Malaysia telah cukup dengan segala undang-undang dan juga akta, ini dengan sendirinya kita tidak perlu lagi takut jika berlaku apa-apa perkara diluar jangkaan, kenapa kita ingin menambahkan lagi negara ini dengan akta AUKU ini," sambungnya lagi.

Aziz juga berpendapat, dalam keadaan negara ini juga memperlihatkan sikap pilih kasih yang mana ada pihak akan terlepas dari tindakan jika mereka mendokongi kumpulan pemerintah tetapi sebaliknya akan berlaku kepada mahasiswa yang menentang.

"Kalau AUKU dimansuhkan sekali pun, kita akan melihat terdapat dua perkara akan berlaku yang mana individu yang menyokong pemerintah tidak akan dikenakan tindakan tetapi sebaliknya akan berlaku kepada pihak yang menentang.

"Inilah masalahnya siapa yang mengadakan perhimpunan, pemerintah sudah pasti boleh memilih siapa yang perlu dikenakan tindakan," katanya lagi.

Kata Aziz lagi, terdapat dua pihak yang mempunyai perbezaan pendapat tentang AUKU dan rakyat sendiri mengetahui bahawa secara jelas Barisan Nasional menyokongnya tetapi tidak kepada Pakatan Rakyat, keputusan boleh dibuat pada pilihanraya nanti untuk melihat ia dimansuhkan terus atau masih lagi pada skala pindaan.

"Mahasiswa sudah cukup matang sekarang dan mereka tahu apa yang dilakukannya, kita perlu beri kebebasan kepada mereka dan tidak akan rosak sebuah pendidikan negara jika AUKU dimansuhkan.

"Pendidikan negara akan rosak dan tercemar jika wujudnya campurtangan pihak luar terutamanya mereka yang mempunyai kepentingan di dalam pentadbiran negara yang menentukan sepenuhnya perjalanan akedemik mahupun keputusan dan juga perlantikan seseorang pegawai peringkat tertinggi," sambungnya lagi.

Jelasnya lagi negara yang maju adalah sebuah negara yang tidak mempunyai undang-undang yang banyak bukannya negara yang bangga dengan pelbagai akta serta kekangan.

(Moderator dan anggota penal wacana)

Turut sama dalam wacana tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Pindaan AUKU/Rektor Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamad Maliki Mohd Rapiee, Pemangku Presiden/Naib Censelor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Dr Anuar Ahmad, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa (Aspirasi Malaysia), Mohd Shahar Abdullah.

Manakala moderatornya adalah bekas pemimpin pelajar dan pengacara TV Al-Hijrah, Amin Idris.

Sementara itu pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli bersama beberapa anggota Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) juga turut mengikut wacana tersebut.

HD

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails