ustaznik
Satu klip video selama 3.55 minit yang diupload pada 26 Jan 2012 memaparkan tentera Basyar Asad laanahumullah menembak rakyat. Ada yang mati dan luka. Seorang lelaki berjubah dan berserban putih dilihat tenang menuju kepada seorang yang ditembak ketika orang lain begitu kalut, mengangkatnya tanpa ada kesan darah melekat di bajunya.
Manusia atau malaikat? Kalau manusia tidak hairan. Kalau malaikat, maka kita melihat dari 3 sudut hukum: hukum adat, hukum akal, hukum syarak.
Hukum adat atau kebiasaan menunjukkan ia agak pelik kerana adat dan kebiasaannya orang ramai akan gelabah dan kalut ketika pihak keselamatan mengamuk (tak percaya tanya peserta BERSIH). Tetapi lelaki berjubah dan berserban putih itu tenang sahaja seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku. Datangnya pula dari arah kawasan yang dikuasai tentera.
Hukum akal pula mengatakan tidak mustahil kalau itu adalah malaikat. Yang mustahil pada akal ialah seperti anak lebih dewasa dari bapa.
Hukum syarak pula boleh diambil dalilnya dari al-Quran dan Hadis. Dalam al-Quran Allah diceritakan kisah Nabi Ibrahim yang didatangi 2 Malaikat berupa lelaki segak memberitahu tentang Nabi Ibrahim yang akan dikurniakan anak dari Sara walaupun Sara tidak mampu lagi mengandung. Malaikat itu pula tidak menjamah daging lembu panggang yang dihidang oleh Nabi Ibrahim.
2 Malaikat itu juga datang kepada Nabi Lut memberitahunya supaya keluar dari negerinya sebelum waktu Subuh kerana Allah akan membinasakan negeri itu yang penduduknya beramal dengan homoseks. (Golongan LGBT, ambil perhatian perkara ini!).
Jibril as sendiri datang kepada Nabi SAW dengan rupa lelaki segak, berpakaian putih tanpa kesan musafir, rambut hitam.
Dalam beberapa riwayat disebutkan Saidina Ali juga pernah berurusan jualbeli unta dengan Malaikat Jibril dan Mikail yang berupa dengan rupa lelaki setelah Saidina Ali memberi sedekah kepada fakir miskin.
Justeru, kalau lelaki yang mengangkat orang yang ditembak itu adalah malaikat, maka ia bukanlah sesuatu yang mustahil menurut hukum syarak. Maka perkara ini boleh dianggap satu karamah kepada mereka yang syahid kerana diangkat oleh malaikat, atau kemuliaan juga bagi rakyat Syria secara umumnya yang menentang pemerintah yang zalim seperti Basyyar al-Asad itu.
Dalamasa yang sama, perlu diingat dengan ungkapan: ‘Al-Istiqaamatu khairun min alfi karaaamah’ . Istiqamah iaitu tetap dalam prinsip agama, perjuangan, ibadah dan kehidupan menurut Islam sebenarnya lebih baik dari seribu karamah (kemuliaan) yang diberi yang ditunjuk antaranya melalui klip video tersebut.
Moga Allah membantu rakyat Syria yang dizalimi dan menghancurkan kezaliman dan penzalim di seluruh pelusuk bumi ini.
No comments:
Post a Comment