Dinsman
Ini
sesuatu yang tidak dijangka. Mungkin Datuk Ahmad Yaakob dan
kawan-kawannya dalam saf Exco lama sudah diberitahu oleh Tok Guru Nik
Aziz akan hasratnya hendak berundur itu.
Tetapi
bagi kita orang awam yang mengikuti berita melalui media massa, kita
membaca berita Tok Guru Nik Aziz mengulangi kenyataannya akan terus
berkhidmat hingga ke akhir hayat, atau selagi dikehendaki oleh parti dan
hanya akan berundur apabila dinasihati parti supaya berbuat demikian.
Tiba-tiba
setelah menang PRU13 kita mendapat berita Datuk Ahmad Yaakob, Timbalan
Menteri Besar sebelum ini, mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar
Kelantan. Tiada lagi Tok Guru Nik Aziz. Memang itu berita yang
mengejutkan, walaupun proses pertukaran itu berlaku begitu bersahaja dan
tanpa apa-apa peristiwa atau kejadian yang luar biasa.
Kita
sudah lama maklum akan keadaan Tok Guru yang sudah lanjut usia, dan
keadaan fizikalnya pun sudah agak uzur, dan kesihatannya pun sering
terganggu. Tetapi dari segi lain, kemampuan minda dan ideanya masih
kelihatan segar dan up-to-date, sentiasa selari dengan perkembangan
masa.
Terakhir
misalnya, beberapa minggu sebelum Parlimen dibubarkan, Tok Guru meminta
saya menghasilkan sebuah teater kisah Abul ‘As menantu Rasulullah saw,
dengan melibatkan ‘artis-artis hijrah’ sebagai pelakon. Teater itu pun
(Pengisytiharan Abul ‘As) dipentaskan di hotel Grand Riverview Kota
Bharu, pada 15 Mac.
Pementasan
teater itu menjadi satu peristiwa penting dalam sejarah perkembangan
seni-budaya, khasnya teater Islam di negara ini. Buat pertama kalinya
PAS dan Kerajaan PAS Kelantan (melalui TG Nik Aziz) secara rasmi
membenarkan perempuan berlakon bersama lelaki di atas pentas, di hadapan
khalayak umum lelaki dan perempuan. Sebelum itu tidak dibenarkan. Maka
itu adalah suatu pemikiran baru dari TG Nik Aziz, yang membuka ruang
yang luas untuk kegiatan seni teater dalam masyarakat Islam.
Dan
beberapa hari selepas itu saya menerima telefon daripada Pusat Kajian
Strategik Kelantan meminta beberapa tarikh yang dapat saya luangkan
untuk ke Kota Bharu, kerana TG Nik Aziz meminta supaya diadakan majlis
bicara buku mengenai buku terbaru saya Kelantan 22 Tahun Bukti
Kejayaaan. (Beliau melancarkan buku ini pada malam pementasan teater
Abul ‘As itu). Rancangan bicara buku itu walau bagaimanapun tak sempat
diadakan kerana Perdana Menteri Najib membubarkan Parlimen pada 3 April.
Jadi,
pengunduran TG Nik Aziz secara tiba-tiba itu adalah sesuatu yang tidak
dijangka. Walaupun kita tahu dia sudah lama menjadi Menteri Besar
(hampir 23 tahun) dan pada bila-bila masa sahaja dia mungkin akan
mengundurkan diri (kerana sebab-sebab yang munasabah), namun berita
pengundurannya itu tetap memberi kejutan. Sebab apa? Sebab kita masih
memerlukan sumbangan idea dan pemikirannya yang sentiasa segar, berani,
mengikuti peredaran zaman, dan dibuat berdasarkan ilmu Islamnya yang
luas dan mendalam.
Sekarang
TG Nik Aziz sudah tiada lagi di Kelantan sebagai Menteri Besar.
Kelantan sekarang sudah tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513 (5
Mei 2013). Kita tidak tahu sebenarnya apakah Kelantan akan terus kekal
sepertimana ia di bawah pentadbiran TG Nik Aziz, atau akan menjadi lebih
baik, atau bagaimana. Namun kita tetap merasakan Kelantan selepas ini
akan tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum 5513.
Bukan
kita mengatakan Ahmad Yaakob tidak layak menjadi Menteri Besar Kelantan.
Bukan. Ahmad Yaakob memang layak, dan dia mungkin membawa Kelantan
menjadi lebih baik lagi selepas ini. Kita mengatakan Kelantan selepas
ini tidak sama lagi dengan Kelantan sebelum ini hanyalah semata-mata
kerana kuatnya imej TG Nik Aziz yang telah melekat dalam kepala dan hati
kita selama ini.
Ingat
Kelantan sahaja kita terus terbayangkan sosok tubuh TG Nik Aziz. Dan
sekarang apabila ingat Kelantan, bayangan sosok tubuh kecil yang
berwibawa sebagai Tok Guru itu (atau sebagai orang tua tempat kita boleh
mengadu, walaupun kita tidak mengadu pun) sudah tiada lagi sebagai
Mentri Besar Kelantan. Itu saja. Tapi sungguhpun begitu, ia sangat
mengesankan, buat masa ini.
Kita
terasa kehilangan. Walaupun kita tahu dia ada, di rumahnya di Pulau
Melaka, tapi kita tetap merasakan kehilangannya sebagai sosok pemimpin
yang lembut dan mesra di tengah-tengah permasalahan masyarakat.
Saya,
dan bersama kawan-kawan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi), mempunyai
beberapa rancangan yang dicadangkan akan dibuat melibatkan TG Nik Aziz.
Antaranya ialah seminar serantau mengenai model pentadbiran negara Islam
dengan tumpuan kepada Kelantan, yang dicadangkan dibuat Julai ini,
melibatkan wakil-wakil dari Indonesia, Selatan Thailand, Kemboja,
Filipina dan Brunei. Ia belum dimaklumkan kepada kerajaan negeri
Kelantan. Cadangnya akan dimaklumkan pertengahan bulan ini.
Satu
lagi rancangan ialah pembukuan tafsir seluruh al-Quran oleh TG Nik Aziz.
Telah lama TG Nik Aziz selesai mensyarahkan tafsir seluruh al-Quran 30
juzuk itu, tetapi ia belum dibukukan. Ia tersimpan dalam tape dan CD,
tetapi tidak terkumpul. (Perlu diusahakan pengumpulannya juga). Yang
telah dibukukan hanya Tafsir Surah Yunus, Surah Taubah dan beberapa
lagi.
Kami
merasakan tafsir yang lengkap ini perlu dibukukan kerana belum ada
pendekatan tafsir seperti yang disyarahkan oleh TG Nik Aziz. Ia berbeza
daripada tafsir-tafsir oleh Ibnu Kathir, Qurtubi, Maraghi, Syed Qutub
dan Hamka. Ia akan berada sebaris dengan tafsir-tafsir besar al-Quran
yang sedia ada itu. TG Nik telahpun selesai menyiapkannya. Tinggal kita
mengusahakan pembukuannya sahaja. Alangkah ruginya kalau ini tidak dapat
dilakukan.
Satu
lagi rancangan kami yang penting bersabit dengan TG Nik Aziz ialah
menghasilkan sebuah filem atau video dokumentari mengenai kehidupannya,
untuk disebarkan ke peringkat antarabangsa.
Sewaktu
pementasan Pengisytiharan Abul ‘As di Kota Bharu pada 15 Mac dikatakan
bahawa pementasan itu ialah suatu pra-tonton (preview). Ertinya belum
lagi pementasannya yang sebenar kepada orang ramai. Pementasan untuk
orang ramai akan dibuat kemudian. Oleh kerana ia adalah program
inisiatif TG Nik Aziz sendiri (Setiausaha Politiknya Wan Nik menjadi
penerbitnya), kita tak tahulah sekarang bagaimana pula kedudukannya.
Kita tunggu sahajalah berita daripada mereka.
Demikian
itulah antara yang kami rancang, berkaitan dengan TG Nik Aziz. Sekarang
tidak pasti samada rancangan-rancangan itu boleh diteruskan atau tidak.
Tidak pasti samada kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob berminat dengan
cadangan-cadangan itu.
Namun
walau apapun, minat saya terhadap Kerajaan Negeri Kelantan masih tetap
sama, kerana saya menganggapnya sebagai model pentadbiran negara Islam
yang ada pada hari ini. Dan saya juga menganggapnya sebagai model
pentadbiran yang terbaik di dunia pada hari ini, dengan beberapa
kelemahannya, yang perlu diatasi oleh pimpinan baru.
No comments:
Post a Comment