Thursday, March 8, 2012

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS : PAS DAN MASYARAKAT MAJMUK



Masih ramai dikalangan anggota masyarakat yang terbelenggu dengan kongkongan kejahilan terhadap Islam khususnya Fiqh Siyasah, apabila mereka merasa pelik melihat PAS boleh mengadakan persefahaman kerjasama politik bersama parti bukan Islam seperti DAP, yang dituduh setengah pihak sebagai fanatik atau chauvinis. Seterusnya mereka ini bertanya : Mengapa PAS tidak boleh mengadakan persefahaman dengan UMNO yang sebangsa dengan PAS ? . Tidakkah pendekatan mengadakan persefahaman dengan UMNO akan menjadi lebih mudah berbanding DAP atau PKR ?. Lalu penentang PAS yang tidak faham ini menyimpulkan bahawa PAS telah menggadaikan prinsip perjuangannya sebaik sahaja mengamalkan pendekatan Tahaluf Siyasi bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat !.

Persoalan di atas boleh difahami jawapannya dengan mempunyai fikiran yang tenang dan terbuka dalam menekuni tulisan ringkas ini.

Syarat pertamanya ialah kita mestilah memahami kaedah ajaran Islam dalam menangani masyarakat majmuk bersama pendekatannya. Perlu difahami juga bahawa Islam pula bukannya agama yang terikat dan terbelenggu dengan semangat kebangsaan, walau pun peranan bangsa tidak boleh dinafikan wujudnya. Dalam amalan politik Islam pula terdapat ajaran dan hukum yang berkait dengan pendekatan yang adil terhadap masyarakat majmuk termasuklah layanan Islam dalam aspek kepelbagaian agama. Risalah atau mesej Islam adalah bersifat sejagat, kerana kedatangan Nabi Muhammad SAW membawa rahmat kepada seluruh alam, manusia dan makhluk yang lain. Kerasulannya adalah kepada seluruh rumpun manusia, tidak terikat dengan bangsanya sendiri, tanahair dan zaman. Maka yang dikira termasuk dalam kerasulannya juga adalah dalam aspek politik menegakkan dan mentadbir sesebuah negara.

Islam tetap didahulukan, manakala fahaman kebangsaan pula hanyalah satu perasaan yang tidak boleh menjadi akidah. Peranan kebangsaan menjadi baik apabila Islam menjadi akidah dan petunjuknya. Hanya Islam menjadi petunjuk kepada bangsa, hanya bangsa yang berpegang dengan Islam sahaja boleh menunaikan amanahnya.

Adalah menjadi hikmah terbesar, bahawa musuh pertama Islam di kalangan Nabi Muhammad SAW di Semananjung Tanah Arab ialah dari kalangan bangsa Arab Makkah dan yang awal menerima Islam dan memperjuangkannya pula adalah mereka juga. Rasulullah SAW memulakan kemerdekaan bangsanya dengan menentang kongkongan jahiliyah daripada bangsanya sendiri, walaupun di masa itu ramai kabilah Arab dan wilayahnya dijajah oleh kuasa besar Rom dan Parsi.

Walaupun mesej Islam itu kepada seluruh manusia, tetapi konsep berdakwah menekankan bahawa kita sekali-kali tidak boleh memaksa pihak lain supaya menganut Islam. Dalam masa yang sama Islam menerima konsep masyarakat majmuk yang menjadi naluri manusia yang menjadikan mereka wajib bermasyarakat madani, walau pun berbeza bangsa dan agama. Di sinilah betapa hebatnya firman Allah SWT :

Maksudnya :

Wahai manusia, Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam) dan seorang perempuan (hawwaa) dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Meliputi Ilmunya.

Manusia itu wajib bermasyarakat di peringkat setempat dan antara bangsa, kerana mereka tidak mampu menghasilkan keperluan hidupnya secara bersendirian atau individu, satu keluarga dan satu bangsa sahaja tanpa berhubung di antara satu sama lain. Sehelai kain untuk pakaian memerlukan penanam kapas, pelombong besi dan tukang besi untuk alat tanaman, penenun kain dan seterusnya. Begitulah juga keperluan makanan, tempat tinggal dan sebagainya.

Ibnu Khaldun (1332M – 1406M) menyebut manusia itu bersifat dengan sifat Madani, iaitu kemestian untuk berkumpul dan berhubung secara berpusat dengan adanya penempatan yang memerlukan pertukaran kemahiran dan hasil kerja yang berbeza. Tempat berhimpun itu dinamakan Bandar (Madinah) dan pekerjaan mereka mestilah dimajukan secara ilmu, menerusi kajian dan pengalaman dengan menggunakan akal yang berkembang sehingga berlakunya kemajuan dan pencapaian yang dinamakan sebagai “Tamaddun”. Walau pun mereka berbeza agama dan bangsa, namun keperluan berhubung tetap wujud secara fitrah. Dalam masyarakat yang bersifat madani mereka perlu kepada cara hidup berkonsepkan politik dan berekonomi disemua peringkat, negeri dan antarabangsa.

Kedua, bagi merealisasikan aspek ini maka Rasulullah SAW melaksanakan konsep madani dengan mengadakan “tahaluf” atau kerjasama di kalangan yang boleh bekerjasama dari aspek kemanusiaan dengan kalangan manusia yang menyedari hakikat ini, dan negara pertama itu dinamakan Madinah. Rasulullah SAW melaksanakan tugas serampang dua mata yang ditunjuk oleh Allah menjadi tujuan kerasulannya untuk seluruh manusia dengan menyatukan umat manusia yang dibahagikan kepada dua kumpulan. Pertama - dinamakan ‘umat Ijabah’, mereka ialah penganut Islam yang menyahut seruan menganut agama. Kedua - umat dakwah, mereka termasuk kalangan bukan Islam berbagai bangsa dan agama, namun diajak bersama melihat sifat kemanusiaan sejagat yang ada dalam Islam secara amali (praktikal) bagi menghasilkan keperluan hidup secara nalurinya.

Pelaksanaan secara amali terhadap manusia majmuk itu ditemukan dengan menegakkan keadilan mutlak yang diwajibkan oleh Allah mengikut firman Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu melaksana dan mentadbir dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha Melihat.

Diriwayatkan dalam Hadith Qudsi bahawa Allah SWT berfirman :

يا عبادي إني حرمت الظلم على نفسي وجعلته بينكم محرماً فلا تظالموا

(رواية مسلم ).

Maksudnya : (Wahai hamba-hamba ku , sesungguhnya aku telah mengharamkan zalim itu berlaku ke atasku dan aku jadikan ia diharamkan di kalangan kamu, maka jangan sekali-kali kamu berlaku zalim).

Dalam pendekatan yang kedua Rasulullah SAW berhubung dengan kalangan bukan Islam yang ada sifat kemanusiaan, dalam keadaan orang Islam pula kosisten dan iltizam berpegang kepada prinsip dan konsep Islam. Pelaksanaanya dilakukan ketika tanpa negara dan bernegara. Ketika di Makkah, Rasulullah SAW menerima perlindungan bapa saudaranya Abu Tholib yang tidak menganut Islam, dengan konsep yang dinamakan “Himayah” (perlindungan ). Ianya juga dilakukan dengan Mut’im bin Adi iaitu seorang bukan Islam, ketika Rasulullah SAW masuk ke Makkah daripada Thaif. Ciri persamaan adalah kebencian terhadap kezaliman. Rasulullah SAW juga menggunakan khidmat Abdullah bin Uraiqit, juga seorang bukan Islam bagi memandu unta ketika berhijrah dengan penuh kerahsiaan dan memerintah menantunya Saidina Ali KWJH supaya memulangkan simpanan amanah kalangan penduduk Makkah daripada kalangan bukan Islam yang mempercayainya.

Ketika di Madinah pula Rasulullah SAW mengadakan Tahaluf (persefahaman politik) dengan pihak kalangan bukan Islam dan melakukan muamalah berhutang dan bergadai dengan mereka, seterusnya menerima beberapa kabilah musyrikin bernaung di bawahnya dalam perjanjian Hudaibiyyah. Dalam kedua-kedua keadaan tersebut Rasulullah SAW teguh dengan dasar dan menunjukkan akhlak mulia Islam terhadap bukan Islam yang ada persamaan dari segi kemanusiaan. Dasar dan konsep ini dilaksanakan oleh sepanjang generasi di zaman keemasan dan kejayaan, ditinggalkan di zaman kelemahan dan kejatuhan sehinggalah Negara umat Islam dijajah.

Pendekatan PAS yang berdasarkan Islam, dalam hubungan dengan bukan Islam sangat berbeza dengan UMNO yang berfahaman kebangsaan mengatasi Islam secara sekularisme. Di bawah pemerintahan BN, Islam tidak berkuasa mentadbir tetapi berada di bawah tadbir, dalam keadaan menerima hakikat yang sama wujudnya masyarakat majmuk di Malaysia yang tidak ditangani secara Islam yang sebenarnya.

Lihat sahajalah contoh kejadian terkini yang berlaku terhadap Encik Frusis Lebi, seorang OKU yang juga merupakan seorang pekebun dan petani dari Kampung Entulang Entawa dari Bahagian Sri Aman yang dinafikan bantuan Kerajaan di atas alasan menyokong pembangkang di Sarawak (rujuk Surat Menteri Muda Pertanian Sarawak, KPP/MM/31 bertarikh 8 Disember 2011 yang disiarkan melalui portal berita Malaysiakini). Inilah antara siri ketidakadilan layanan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat, sedangkan mereka juga adalah rakyat yang turut sama menyumbang kepada pendapatan Negara. Inikah rupa bentuk kerajaan bertanggungjawab yang mahu ditegakkan ?

PAS berpegang dengan konsep yang ditunjuk oleh al Quran, bahawa bumi adalah kepunyaan Allah, bukan kepunyaan mana-mana bangsa. Seluruh manusia adalah pemegang amanah di mana bumi mereka berpijak, adalah wajib melaksanakan keadilan Ilahi tanpa mengira bangsa. Apatah lagi, bagi umat Islam tuntukan melaksanakan keadilan adalah tersangat penting untuk dilaksankan kepada semua.

Maka PAS berbeza pendekatan dengan UMNO bagi mengolah politik masyarakat majmuk yang diwujudkan oleh penjajah. Kita mestilah memahami bahawa penjajah telah melonggokkan berbagai kaum untuk diperhamba bagi kepentingan mereka dan di adu domba untuk menjadi lemah supaya terus bernaung di bawah mereka selama-lamanya.

Pendekatan PAS ialah pemimpin Islam teguh berpegang dengan prinsip dan akhlak contoh dan menegakkan keadilan untuk semua tanpa memaksa dalam perkara yang berbeza, serta memanfaatkan kebolehan berbagai kaum secara bersama dan saksama bagi membina negara. Bangsa Melayu ada keistimewaannya dari segi kebolehan, begitu juga bangsa Cina, India dan lain-lain. Kalau diselaras secara saksama nescaya dapat dimanafaatkan untuk membina negara dengan baik.

PAS tidak berganjak dalam perkara halal dan haram, serta perkara wajib, dalam semua urusan peribadi dan cara hidup tanpa memaksa penganut agama lain. PAS mewajibkan sifat Islam itu bermula dengan peribadi pemimpin. Dalam hal ini sesiapa sahaja ahli PAS yang mengerjakan perkara haram dipecat daripada parti. PAS pernah memecat ahli Parlimen yang menari dan sebagainya. Ada pun pihak lain terpulang kepada anutan yang tidak boleh diganggu gugat dengan kawalan yang tidak merosakkan hubungan masyarakat majmuk . Apabila memerintah kerajaan negeri dan PAS memimpinnya, maka pendekatan Islam mengikut bidang kuasa negeri dilaksanakan dengan batas hukum Syarak. Penganut agama lain wajib diberi hak yang adil tanpa fanatik perkauman.

UMNO pula tidak konsisten dan iltizam apabila menunjukkan Islam secara terpilih dan tidak ada peraturan boleh memecat ahli UMNO yang mengerjakan maksiat, kerana sifat kebangsaannya sahaja mengatasi sifat Islamnya. Pelaksanaan Islamnya juga tidak istiqamah, contohnya dalam kawalan terhadap arak dan judi pula secara berlesen yang tidak ada sempadan kukuh bagi penganut Islam, bukannya kawalan secara hukum Islam yang sebenar sehingga penganut Islam dalam UMNO tidak mampu menjadi model Islam dan UMNO gagal mendidik melayu Islam menjadi contoh yang baik. PAS pernah bersama kerajaan campuran dengan UMNO diawal tahun tujuh puluhan dan bersama menubuh BN dipertenghannya, dengan syarat PAS tetap dengan dasarnya, kemudiannya berlaku pertembungan kefahaman.

Presiden MCA secara terbuka dalam debatnya menyatakan kejayaannya menundukkan UMNO dalam isu pelaksanaan hukum hudud, sebaliknya Sdr. Lim Guan Eng menegaskan itu adalah hak PAS yang berbeza dengan DAP.

UMNO tidak konsisten dalam mempertahankan kawasan melayu dan Islam apabila sanggup menyerahkan kawasan majoriti melayu Islam kepada MCA, Gerakan dan MIC bagi menyelamatkan rakannya yang kalah di kawasan majoriti bukan Islam.

PAS telah berjaya mengubah sentimen perkauman apabila berjaya memenangi hati penganut bukan Islam ketika menentang calon bukan Islam daripada BN. Contohnya YB Dr Mariah Mahmud mengalahkan calon MIC dengan mendapat sokongan dan kegembiraan kaum India bukan Islam dan kesedihan penyokong UMNO melayu yang dikatakan kuat semangat kebangsaannya tetapi bermatian mempertahankan MIC. Begitulah juga juga kemenangan Datuk Kamarul Bahrain di Teluk Kemang. DAP pula tetap bertahan di kawasan majoriti kaum bukan Islam tanpa berpindah.

PAS juga berjaya menunjukkan kerajaan bersih secara bersendirian dan bersama Pakatan Rakyat walau pun berdepan dengan layanan tidak menghormati sistem federalisme dan akhlak amalan Demokrasi.

Dua pendekatan yang berbeza cara dalam menangani masyarakat majmuk telah diberi selama lebih 50 tahun kepada UMNO memimpin negara dengan gagasan Barisan Nasional yang banyak kelemahan dan penyelewengan, serta mencetuskan masalah rakyat berbagai kaum yang masih belum selesai dalam tempoh yang bagitu panjang, dan penganut Islam menjadi larut pegangan agamanya.

Sudah tiba masanya khususnya melayu Islam memberi kepercayaan kepada PAS menggantikan UMNO dengan konsep Islam menyelesaikan masalah masyarakat majmuk, menerusi gagasan Pakatan Rakyat.


Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails