ISLAM telah membuka mata anak muda kelahiran Brooklyn, New York, Amerika Syarikat ini yang suatu masa dahulu terlibat dengan penjualan dadah di jalanan sebelum beralih ke dunia hiburan hip hop.
Dua mimpi yang menjadi igauan sepanjang hidup bergelumang dengan dosa itu akui Jason Perez ialah dia pasti akan meringkuk dalam penjara ketika usianya mencecah 21 tahun.
Manakala mimpi keduanya pula ialah walau bagaimanapun dia cuba mengelak semua itu daripada berlaku, dia tetap akan berkesudahan dengan kematian.
Rupa-rupanya, kedua-dua mimpi ngeri Jason itu ternyata benar. Uniknya, Jason kini bernafas semula dengan nama Islamnya, Jason Hamza Perez.
"Saya tidak tahu tentang nafsu. Islam menyedarkan saya bahawa di jalanan anda selalu mencari musuh. Namun, dalam Islam ia mengajar saya bahawa dalam rangka untuk menemukan musuh saya, saya harus melihat diri di cermin terlebih dahulu. Hakikatnya, musuh saya adalah diri saya sendiri iaitu nafsu saya," akui Hamza.
Tayangan dokumentari bertajuk, The New Muslim Cool yang pernah menjadi isu hangat rakyat Amerika Syarikat suatu ketika dahulu, sedikit sebanyak mengandungi pengalaman hijrah akidah dan kerohanian Hamza sebaik bergelar Muslim. Dokumentari itu turut menyelitkan pandangannya yang berketurunan Puerto Rico tentang agama.
Kini, Hamza telah mengucapkan selamat tinggal kepada dunia muzik dan hip hop yang suatu masa dahulu digilainya.
Menurut Hamza, dia mengambil keputusan muktamad itu dengan alasan memberikan lebih tumpuan kepada keluarga, membantu mengukuhkan fungsi masjid dan melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan secara profesional.
Malah isteri Hamza, Jennifer Maytorena Taylor merupakan generasi keempat Muslim keturunan Afrika di Amerika Syarikat, yang juga pengarah dan penerbit dokumentari, The New Muslim Cool.
Hamza membentuk sebuah komuniti yang terdiri daripada orang keturunan Latin dan Afrika-Amerika yang mana akhirnya ia berpindah dari Massachusetts ke Pittsburgh.
Dia menjadi begitu aktif dengan anggota komuniti tersebut sehingga sanggup bekerja keras demi membantu insan-insan yang terlibat dengan penagihan dadah keluar daripada kehidupan di jalanan.
Akhirnya, dia berakhir di penjara sebagaimana yang sering dimimpikan sebelum ini. Ironinya bukan sebagai rakan satu sel tetapi sebenarnya Hamza menjadi guru agama atau pendakwah di Penjara Allegheny County.
Berkongsi cerita bagaimana dia boleh bertukar menjadi seorang Muslim akui Hamza, dia mempunyai seorang teman bernama Louie Ekuador. Mereka membesar bersama dan kemudian sama-sama juga terlibat dalam penjualan dadah.
"Saya mencari kebahagiaan sebagai orang muda, tetapi saya tidak pernah menemuinya. Saya mencuba kehidupan jalanan dan dadah, tapi itu hanya membuat saya menjadi lebih tertekan.
"Biarpun kami berjaya mengumpulkan wang yang banyak, sayangnya ia tidak memberi apa-apa kepuasan, jauh sekali kebahagiaan. Suatu hari, sedang kami duduk melepak, kami didatangi oleh seorang Muslim. Dia mula bercerita tentang Islam. Akhirnya kawan saya itu menjadi Muslim," ceritanya.
Kebetulan pula, rumah kediaman Hamza berhadapan dengan sebuah masjid. Cuma dia tidak pernah tahu tentang Islam dan ajarannya. Satu-satunya perkara yang dia tahu mengenai Islam ialah mereka membunuh kambing.
"Jadi, dalam masyarakat, masjid mereka lebih dikenali sebagai tempat di mana kambing dibunuh. Memang benar, saya rapat dengan bangunan itu tetapi tidak benar-benar tahu tentang apa yang terjadi di dalamnya. Kawan saya, Louise akhirnya memeluk Islam dan menghilang diri selama 40 hari. Khabarnya, dia pergi dengan Jemaah Tabligh menyebarkan Islam.
"Namanya pun sudah berubah menjadi Luqman. Suatu hari Luqman datang berpakaian serba putih dengan seorang syeikh bernama Iqbal. Pada masa itu saya dan beberapa teman jalanan sedang bermain dadu, minum, dan merokok. Saya terpegun melihat Louise, wajahnya kelihatan bercahaya. Saya boleh melihat perubahan dalam dirinya.
"Jadi, saya terus meninggalkan yang lain. Saat itu, syeikh ada bertanyakan sama ada saya percaya akan Allah yang Esa dan Nabi Muhammad. Saya tahu tentang Allah tetapi tidak tentang Muhammad. Melihat perubahan pada Louise, tanpa ragu-ragu dan teragak-agak, saya minta diajar mengucapkan dua kalimah syahadah, di tepi jalan itu juga. Adik saya yang menyaksikan insiden itu juga, ikut bersyahadah," katanya.
Terang Hamza lagi, berita pengislaman itu diterima sedih oleh keluarganya. Pun begitu, apabila mendapati dengan cara itu dia adik beradik bebas daripada dadah dan kegiatan berbahaya, ibu bapa mereka merestuinya.
"Ibu saya sangat menyokong kerana saya berubah menjadi seorang anak yang memberatkan ibu, membantu dalam urusan keluarga dan melakukan apa sahaja yang dimintanya.
"Dulu sebelum menjadi Muslim, saya tidak pernah ambil kisah tentang ibu. Perubahan dalam diri saya turut menarik kakak saya untuk bergelar Muslim. Kemudian, salah seorang rakan saya ikut jejak. Akhirnya, lebih daripada 55 orang kenalan saya memeluk Islam," jelasnya.
Langkah seterusnya yang diusahakan Hamza ialah kembali ke tempat di mana mereka menjual dadah dan memasang papan tanda bertanda Heroin membunuh kamu dan Allah menyelamatkan anda!
Hasilnya, ramai daripada mereka terpengaruh.
Ditanya masalah yang dihadapi sebagai Muslim jelas Hamza pada peringkat awalnya, dia bagai hilang arah kerana beranggapan terpaksa menurut apa yang diperkatakan oleh Muslim lain.
"Saya jadi keliru apabila ada beberapa orang Muslim, mengajar saya untuk melihat Muslim lain dan mengkritik umat Islam lain. Antaranya dalam aspek penampilan seperti Muslim yang berjanggut panjang dan 'pakaian aneh' mereka.
"Sampai satu peringkat, perbuatan mengkritik orang menjadi lebih kerap sementara mengingat Allah menjadi sedikit. Saya mulai rasa kehilangan nikmat kemanisan yang dialami ketika pertama kali menjadi Muslim. Namun, saya lakukan transformasi besar bersandarkan pernyataan, hanya melihat kesalahan diri, bukan kesalahan orang," katanya.
No comments:
Post a Comment