Tuesday, July 12, 2011

Aku Sukarelawan Bersih 2.0

(Ibnul Munzir)

Aku terpanggil untuk menjadi sukarelawan di himpunan Bersih 2.0 meskipun ini bermakna mendedahkan diriku kepada bahaya yang besar, namun memikirkan bahawa himpunan aman ini tentunya menjadi tegang dan mungkin berlaku kecederaan, maka aku sanggup menyertainya demi membantu orang ramai dan para peserta perhimpunan tersebut. Begitulah kebiasaannya di negaraku ini, meskipun himpunan itu dihadiri oleh warga emas, orang kurang upaya, perempuan dan kanak-kanak, namun entah di mana silapnya, polis seperti ingin menguji peralatan 'canggihnya' terhadap rakyat Malaysia sendiri setiap kali menghadapi himpunan yang sepatutnya mereka menjadi penjaga keamanan tersebut.

Apatah lagi himpunan Bersih 2.0 ini yang suhunya amat panas dengan provokasi para menteri, Perkasa, malah Perdana Menteri sendiri... melalui TV, radio, surat khabar, sms dan sebagainya, pastinya meningkatkan lagi kepanasannya.

Bagaimana nanti jika ada yang cedera parah kerana dipukul, patah tulang kerana dipijak atau terpijak, sesak nafas kerana gas pemedih mata dan sebagainya yang semua itu memerlukan rawatan segera? Sudah tentulah para sukarelawan sepertiku ini amat diperlukan bagi menyelamatkan nyawa mereka.

Pukul 5.40 pm, Jumaat, 8 Julai 2011 aku dan Md Arif memulakan perjalanan dengan kereta Viosnya dari Marang, Kuala Terengganu melalui Jerangau-Jabor. Jalan agak lengang dan hanya terdapat satu road block di Bukit Besi. Kami berhenti rehat di RR Temerloh untuk solat Maghrib-Isyak dan makan malam.

Sebaik sahaja menghampiri tol Gombak kira-kira pukul 10.58 pm, kami dapati kesesakan berlaku. Pada mulanya kami menjangkakan hanyalah kesesakan disebabkan tol sahaja, namun sehingga pukul 12.40 pagi kesesakan belum nampak akan berpenghujung. Tidak tahan melawan rasa mengantuk, kami berhenti di RR Gombak dan tidur di dalam kereta.

Pukul 3 pagi aku tersedar dari tidur, aku dapati jalan masih sesak seperti tadi... rasa cemas menyelubungi diriku takut-takut ianya berlarutan sehingga keesokannya. Namun Alhamdulillah, pukul 4 pagi jalanraya kembali tenang.

Sesudah solat Subuh berjemaah di surau tol Gombak itu, dengan segera kami meneruskan perjalanan. Namun ketenangan jalanraya hanya bertahan selama satu minit! Kami terperangkap lagi dalam kesesakan. Di hadapan, berpuluh-puluh lori telah tersadai. Ada lori tangki, lori kontena, lori membawa barang-barang dagangan dan sebagainya. Begitu juga dengan bas ekspres, bas persiaran, bas sewa khas dan sebagainya. Lebih kurang setengah jam kemudian, barulah tol Gombak kelihatan di hadapan. Ramai penumpang yang meninggalkan bas-bas mereka dan berjalan kaki melepasi tol Gombak. Mungkin mereka akan mendapatkan teksi pula dari sebelah sana untuk sampai ke destinasi. Fikirku.

Rupa-rupanya kesesakan itu hanyalah disebabkan sekatan polis selepas tol Gombak itu. Jalan 5 lorong jadi satu. Mereka bukan buat apa, tengok-tengok dan suluh-suluh saja. Dengan muka yang pucat tak cukup tidur, polis-polis itu melakukan perkara yang sama kepada semua kenderaan itu. Kami melepasi tol dengan selamat Alhamdulillah. Kami berkumpul di Gombak dan bersarapan pagi di sana bersama-sama beberapa orang yang sampai lebih awal. Selepas berehat seketika, kami menerima sedikit taklimat dari pengurusan dan membahagikan peralatan sukarelawan seperti vest dan name tag. Kami tidak dibenarkan memakai pakaian tersebut sehingga diberitahu. Wah... betul-betul macam duduk dalam suasana perang ni. Lalu kami meneruskan perjalanan ke KL Central dengan menaiki LRT dari stesyen Gombak.

Md Arif yang kurang tidur tetap tenang menikmati perjalanan dengan LRT.

Hud, salah seorang sukarelawan juga gembira di dalam LRT.

Tiba di KL Central kira-kira pukul 9.30 am. Kami ingin berjalan-jalan ke tempat-tempat lain di Kuala Lumpur, tapi pengalaman di Bersih 1.0 dulu, kesesakan boleh terjadi tiba-tiba dan akhirnya kami agak terlewat sampai, jadi aku mencadangkan agar kami sekadar window shopping saja di KL Central itu.

Namun suasana amat tidak selesa kerana polis terlalu ramai berkeliaran di sana sini, seolah-olah kami berada di balai polis atau di tempat perhimpunan polis. Himpunan Bersih 1.0 dulu, pihak polis berpakaian biasa (yang dipanggil SB), jadi tak timbul perasaan kurang selesa. Tapi kali ini nampaknya mereka betul-betul ingin membentuk psychological war agar sesiapa yang tak biasa dengan keadaan itu menjadi takut dan membatalkan hasrat untuk berada di tengah-tengah bandaraya pada waktu itu.

Tiba-tiba satu sms aku terima dari isteriku bahawa tiga orang remaja perempuan ditahan di Sogo hanya kerana mereka membawa air mineral dan tuala. Ish... membawa botol dan tuala pun kena tangkap? Aku membawa tuala mandi... lagi besar. Tiga botol mineral lagi aku bawa. Kalau kena geledah ni, pasti perjalanan aku akan sampai ke penjara... Akupun jadi gentar tak pasal-pasal. Dengan perasaan 'selamber' aku mengajak Md Arif dan Hud terus ke Masjid Jamek walaupun masa masih awal. Dengan segera kami mendapatkan tiket KTM Komuter untuk ke Masjid Jamek. Walaupun di Stesyen Masjid Jamek tak ada apa untuk window shopping, tapi biarlah kami berkumpul di sana walaupun untuk masa yang lama... asalkan lebih selamat.

Di Masjid Jamek, kami telah diarahkan untuk berkumpul di Mc Donald. Hairan jugak macamana Mc Donald boleh buka sedangkan semua premis kedai diarah tutup pada hari itu. Tapi aku tetap bersyukur sebab dengan itu aku tak kelaparanlah tengahari ini.

Aku sedang menunggu makanan... Perut belum lapar, tapi takkanlah masuk premis orang tak order apa-apa?

Tengoklah banyak mana gelas dan makanan di atas meja tu. Maklumlah, lepas order, order lagi sambil terus menunggu masa khidmat dipelukan. Md Arif sedang memerhatikan suasana di luar premis Mc Donald dengan 'cemas' sebab polis beraksi di luar sana seperti polis di airport yang memeriksa beg-beg penumpang kapalterbang yang nak check-in.

Tepat pukul 1.00 tengahari aku menerima sms agar memakai vest, name tag dan keluar dari premis itu. Sebaik tiba di luar, polis-polis tadi telah tiada di luar pintu kerana sebahagian demonstrator telah berhimpun di luar Mc Donald dan mereka terpaksa 'menguruskan' mereka.

Anggota FRU sedang berbaris di atas jalanraya yang mereka kuasai. Ketika ini peserta Bersih 2.0 didapati bersalah jika menginjakkan kaki di tempat ini. Meskipun mereka mempunyai MyKad atau apa saja dokumen yang sah sebagai rakyat Malaysia.

Sebahagiannya menaiki jip Polis yang dilengkapi dengan speaker. Aku terfikir kalu kereta Iswaraku dilengkapi dengan speaker seperti ini, pasti senang nak buat ceramah bergerak.

Kelihatan Md Arif (berdiri dekat dinding berpeluk tubuh) memerhatikan aksi-aksi Polis yang gagah perkasa itu. Kami menunggu setiap arahan yang akan diberikan dari masa ke semasa. Akhirnya kami diminta untuk mengikuti peserta himpunan ke arah Menara Maybank.


Kami berjalan beramai-ramai secara aman dan tenang. Di bahagian hadapan terdengar laungan bersemangat dari para peserta..."Bersih bersih... bersih bersih...". Tidak ada yang membawa senjata kecuali polis.

Tepat pukul 1.48 petang, tak semena-mena pihak FRU yang betul-betul berada di seberang jalan sebelah kanan kami menembak para peserta himpunan dengan water canon. Sebahagian para peserta kelihatan membiarkan diri mereka dibasahi dengan air. Rasa seronok pulak kelihatannya tengahari yang panas itu dimandikan oleh FRU. Sebahagian lagi lari menghindar. Trak FRU yang berwarna merah garang itu terus maju, tetapi para peserta tidak lari. Sehingga terlalu hampir, 'belalai' water canon yang keras melintang ke hadapan itu barangkali tidak dapat mengena sasaran jika ditembakkan... maka trak itu berundur. Melihat trak besar yang berundur tersendat-sendat kerana takut terlanggar anggotan FRU-nya sendiri, maka sebahagian kecil peserta himpunan aman Bersih 2.0 itu mengejar ke arahnya seperti mengejar seekor lembu yang lari dari kena sembelih.

Pada masa inilah gas pemedih mata ditembakkan secara terus ke arah peserta oleh anggota FRU yang berjalan kaki. Pastilah ada yang cedera samada sedikit atau banyak, samada di kepala, tubuh badan atau kaki... Begitulah nasib peserta himpunan aman di Malaysia. Polis menghadapi mereka umpama menghadapi tentera musuh yang juga bersenjata. Mereka beruniform lengkap dengan helmet 'kalis peluru', baju tebal anti peluru, perisai, senjata api dan cota. Takutnya mereka kepada kecederaan dan kematian, sedangkan berhadapan dengan orang-orang yang lemah tidak bersenjata, hanya memegang botol air dan bendera Malaysia bagi mengharapkan pilihanraya bersih dan adil, suatu tuntutan yang akan dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Sebahagian peserta berlari ke arah trak water canon FRU sambil menjerit dan membaling botol mineral.

Apabila FRU menembakkan gas pemedih mata, inilah babak yang ngeri untuk aku ceritakan. Ketika itu, aku dan team sukarelawan yang bersamaku berada antara yang paling hampir dengan FRU. Mereka menembak ke serata arah kerana takutkan 'serangan' botol mineral dari peserta yang hanya menyerbu trak water canon. Aku tak dapat mengira berapa banyak peluru yang ditembakkan. Aku rasa yang terbanyak pada hari itu sehingga media Al-Jazira dan banyak video-video yang dipaparkan selepas itu memberi fokus ke kawasan ini.

Beberapa canister yang menyemburkan gas pemedih mata itu berada di hadapan dan sebelah kananku (sebelah kiriku tanah tinggi menara Maybank). Aku bercadang ingin duduk diam di dalam kepulan gas itu sambil menutup hidung dan mataku dengan tuala good morning yang dibasahi oleh air limau sehingga asap itu diterbangkan oleh angin. Ternyata idea gilaku itu menjadi 'tragedi'. Aku salah sangka terhadap kekuatan gas itu. Aku ingat ia seperti gas bungapi yang hanya memedihkan mata saja.

Gas yang ditaburkan oleh FRU ternyata semakin banyak dan terus menyelubungiku. Kurasakan tiada angin bertiup untuk membawa gas-gas itu pergi. Aku melihat ke hadapan, ke kiri dan ke kanan, keadaan gelap seolah-olah seluruh Kuala Lumpur ini dipenuhi oleh gas pemedih mata. Mataku mula terasa pedih yang amat sangat, seperti dimasuki air sabun. Hidungku sumbat seperti terkena selsema dua minggu. Aku memejamkan mata dan menahan nafas. Tapi setakat mana aku boleh menahan nafas sedangkan badanku perlukan oksigen. Aku cuba menarik nafas, tetapi setiap ml udara yang aku sedut, ia mengandungi gas 'pembunuh' itu. Nafasku semakin sendat. Aku ingin menyebut nama Allah, tapi tak berjaya... tersekat di kerongkong... tapi hatiku berjaya mengingati Allah... Lalu kukerahkan seluruh kekuatanku yang hampir kehabisan nafas itu sehabis daya menjauhi kepulan asap yang seperti tidak mahu lari dari menyelubungiku... dan aku berjaya sampai ke kaki tangga Menara Maybank. Di situ gas agak tipis. Sambil terduduk di situ, aku lontarkan beg yang aku sandang, aku keluarkan air mineral, aku buka tudung botol dengan tangan terketar-ketar kerana sesak nafas yang keterlaluan... aku teguk beberapa teguk air mineral yang dibekalkan kepadaku dan aku basuh muka... Aku merangkak naik, menghampiri beberapa orang peserta himpunan yang sedang membahagi-bahagikan garam, lalu aku mengambilnya dan memakannya sedikit.

Sedikit demi sedikit pernafasanku pulih. Namun kurasakan mataku membengkak dan merah seperti orang baru sudah menangis kehilangan kereta yang dicuri orang. Kulit mukaku terasa pedih seperti melecet. Aku memerhatikan sekeliling, aku kasihan melihat dua orang Mat Salleh yang kelam kabut membasuh muka mereka kerana tidak tahan menahan kepedihan gas pemedih mata. Tiba-tiba datang seorang pemuda dengan tergesa-gesa sambil terhincut-hincut menyeret kaki kirinya. Sambil menahan sakit dia meminta tolong kerana kakinya patah. Dia memberitahu terkena canister gas pemedih mata. Dengan segera aku memeriksanya, merawatnya dengan ubat yang dibekalkan dan yang paling penting mengambil gambarnya... Insya Allah kakinya tidak patah.

Seorang pemuda yang cedera terkena kelongsong gas pemedih mata yang ditembakkan tepat ke kainya.

Di bawah sana, belum berpuas hati dengan tembakan gas pemedih mata, pihak FRU terus menghujani pula peserta himpunan Bersih 2.0 yang masih sangat ramai tidak berganjak itu dengan water canon. Kali ini ianya berasid berdasarkan warnanya yang biru kehijauan.

Trak water canon FRU terus menggila membasahkan bumi Kuala Lumpur dengan air berasid.

Kelihatan sebuah helikopter polis berlegar-legar di atas kami yang sebahagiannya kehabisan daya. Aku mengharapkan kalaulah tiba-tiba keluar tangga dari helikopter itu dan YDP Agong turun darinya untuk memberikan 'syafaat' kepada para peserta yang dianiaya, alangkah bagusnya...

Selepas itu pasukan sukarelawan kami terpecah kepada tiga. Satu berlindung berdekatan Mydin, satu terperangkap di kepong polis, ditangkap, disoal siasat dan dilepaskan. Kumpulan yang ditangkap polis ini diketua oleh Hud bersama lima orang lagi sukarelawan. Satu lagi bersama denganku mengikuti arus peserta demonstrasi yang mengacah-acah pasukan polis dan FRU.

Hari masih terlalu siang... perjalanan para peserta himpunan masih jauh. Sekatan polis perlu di atasi untuk sampai ke tempat yang dituju sebagaimana janji PM yang diperkenankan oleh YDPA iaitu Stadium Merdeka. Namun sekatan yang dilakukan oleh pihak polis terlalu ketat untuk ditembusi. Namun sebahagiannya berjaya juga melepasi sekatan polis entah dengan cara apa... Sebahagian yang tertinggal di belakang hanya pergi dan balik di kawasan yang sama sambil melambai-lambai kepada anggota polis yang serius menghalau mereka. Aku memerhati dari jauh kalau-kalau berlaku lagi perkara yang tidak dingini.

Pukul 2.30 petang hujan turun dengan lebatnya. Mudah-mudahan hujan rahmat dari Allah yang merestui perjuangan kaum lemah dan marhaen bagi mengembalikan demokrasi yang adil di Malaysia. Menariknya, himpunan Bersih 1.0 pada tahun 2007 juga hujan turun mencurah-curah selepas FRU melepaskan gas pemedih mata. Allah menurunkan tentera-Nya yang berbentuk angin dan air bagi menghalau makhluk berasid dari menyeksa hamba-hambaNya... Subhanallah.

Hujan agak reda lebih kurang pukul 3.15 petang. Polis dan FRU mula melonggarkan kepungan dan meninggalkan kumpulan di sini setelah dilihat kumpulan ini bercerai-cerai ditinggalkan oleh ketua mereka yang berjaya melepasi sekatan polis ke Stadium Merdeka.

Tugas sukarelawan kami masih belum boleh berganjak sehingga mendapat arahan seterusnya. Oleh itu aku dan kumpulanku berkesempatan menikmati suasana Kuala Lumpur yang sunyi dari kenderaan. Suasana yang belum pernah berlaku sepanjang terbentuknya Kuala Lumpur, dan ini dirakamkan dalam sejarah yang tak akan pernah hilang. Dan kami bertuah kerana termasuk dalam sebahagian catatan sejarah itu.

Sukarelawan Bersih 2.0 yang bersamaku.

Kira-kira pukul 3.20 petang, tiba-tiba aku dipanggil oleh seseorang untuk menolong kawannya. Dia mengadu sakit dada sebelah kiri bawah. Dengan segera aku memeriksanya dan kelihatan 2 kesan tapak kasut yang jelas di situ. Aku bertanya siapa yang memijaknya? Dia menjawab tak tahu... barangkali beliau ingin playsafe. Tak apalah... setelah pemeriksaan, aku yakin beliau perlukan rawatan lanjut kerana ditakuti mengalami fracture ribs. Dengan segera aku meminta Md Arif menghubungi ambulans. Alhamdulillah ambulans tiba dalam masa 10 minit kemudian.


Seorang peserta himpunan Bersih yang mengalami kecederaan di rusuk kirinya.

Para petugas St. John Ambulans sedang melakukan tugas membantu mangsa dengan cukup pantas dan profesional.

Rupa-rupanya beliau merupakan wartawan TVS. TV Selangor? TV Singapura? TV Sri Lanka? Wallahu a'lam.

Pada pukul 3.40 petang, aku menerima sms agar kami semua disperse. Alhamdulillah. Ketika itu kurasakan masa berlalu terlalu pantas. Aku seolah-olah belum 'menikmati' tugas-tugasku dengan sepenuhnya. Apatah lagi mengingatkan sepatutnya aku dan anggota sukarelawan yang lain sepatutnya bertolak balik dari Stadium Merdeka. Namun aku bersyukur, ketika kaki melangkah kembali dari menara Maybank, aku dan seluruh kawan-kawanku selamat melalui masa-masa yang sangat tengang dan cemas sejak semalam. Kemuncaknya ialah pada hari ini apabila aku menjadi mangsa gas beracun yang dipanggil gas pemedih mata meskipun aku ke mari adalah sebagai sukarelawan sahaja.

Ada satu pengalaman berharga yang aku pelajari ialah, sebenarnya gas pemedih mata itu bukanlah semata-mata gas pemedih mata, tetapi juga bertindak menghalang pernfasan. Ia mengandungi 2-chlorobenzalmalononitrile atau dikenali sebagai CS gas. Ia berupaya merosakkan paru-paru, jantung dan hati. Alangkah zalimnya mereka yang mengetahui bahaya gas itu tetapi masih digunakan kepada perhimpunan aman. Mereka yang mempunyai masalah paru-paru, janganlah sesekali bercita-cita untuk menghidunya kecuali mereka yang ingin mati syahid akhirat di medan ini. Aku ingin beritahu kalian, baunya betul-betul serupa dengan bau bungapi yang digemari oleh kanak-kanak semasa menjelang Syawal. Kalau kalian di tembak gas ini, pergilah sejauh mungkin. Jangan biarkan asap beracun itu mengepung kalian meskipun kalian membawa garam seguni. Malang tidak berbau.

Bila memikirkan kembali apa yang aku telah alami, terasa akan nikmatnya suatu perjuangan. Meskipun aku tidak berada di medan yang sama, tetapi penderitaanku itu sama seperti mereka juga. Aku sanggup untuk menjadi sukarelawan lagi jika tenagaku diperlukan demi membantu perjuangan rakyat Malaysia. Kepada rakan-rakanku yang belum berpeluang menikmati suasana ini, kalian masih berkesempatan mengalaminya jika Malaysia masih diperintah oleh pemerintah yang sama selepas PRU13...

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails