Monday, July 11, 2011

PASCA BERSIH 2.0 - KENYATAAN MEDIA TG PRESIDEN

8 Sya'ban 1432 H | 9 Julai 2011


TG Presiden ketika ditahan polis di KL Sentral
Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang datang dari seluruh negara menyertai himpunan Bersih ini.

Alhamdulillah semua mengikut arahan pimpinan dengan tidak melakukan keganasan terhadap pihak polis dan sesiapa sahaja termasuk harta benda awam, walaupun sebahagian kita diganasi.
Ini kerana tujuan kita adalah untuk menyampaikan mesej demokrasi dan pilihanraya yang adil dan bersih, melibatkan pengundi yang benar-benar bertanggungjawab, media yang bebas dan pembentukan semula SPR yang benar-benar adil dan sebagainya.


Tuntutan kita ini memberi gambaran aman dan damai dan bukannya ganas dan melampau. Penyokong Bersih dan Pakatan Rakyat telah menunjukkan budaya demonstrasi yang baik. Walaupun diprovokasi pihak polis, mereka tetap bersabar. Saya ucapkan tahniah kepada yang ditangkap polis. Ini merupakan satu sumbangan awal yang positif.


Disamping itu, kita memberi amaran kepada kerajaan BN, bahawa ini muqadimah kepada kebangkitan rakyat, dan jika sekiranya mereka tidak sedia membuat perubahan kepada pilihanraya dan demokrasi ,bantahan dan kebangkitan lebih besar boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan tidak semestinya sebelum pilihanraya, tetapi juga selepas pilihanraya. Kita tunggu dan lihat respon kerajaan.


Penangkapan saya bukanlah suatu yang besar, kerana masih ramai penyokong kita yang merengkok dalam penjara bertahun-tahun sejak zaman berzaman. Apapun kita sedia bertarung di mahkamah dengan barisan peguam yang lengkap dan mahkamah mesti bebas daripada cengkaman pentadbiran BN.


Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi Awang

Presiden Pas

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails