KUALA LUMPUR, 28 Julai: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak segera menyelesaikan isu lapan tuntutan Bersih kerana kebangkitan rakyat akan terus merebak.
Menurutnya, Najib sebagai pemimpin negara semestinya berani menghadapi rakyat dengan cara terbaik dan menunaikan permintaan mereka dengan segera.
“Jika suasana demokrasi negara tetap juga tidak berubah, saya sendiri menyarankan agar di mana sahaja Najib pergi, mesti ada sekumpulan anak muda yang berusaha hampiri dan sampaikan memo kepadanya,” tegasnya yang lebh mesra dengan panggilan Pak Samad.
Katanya, pimpinan asas Bersih 2.0 berusaha untuk menyampaikan memorandum tuntutan lapan perkara itu secara aman kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada 9 Julai tetapi dihalang.
Setelah selesai himpunan 9 Julai dengan 1,600 peserta ditahan dan seorang meninggal dunia termasuk berbagai tindakan kasar pihak berkuasa, rakyat kini teruskan semangat Bersih dengan memakai kuning pada setiap Sabtu atau Yellow Saturday.
Pak Samad membangkitkan perkara itu ketika diminta mengulas kejadian semalam di mana 10 anak muda ditahan di KL Sentral hanya kerana hendak menyampaikan surat kepada Najib.
“Saya mengikuti peristiwa ini dari masa ke semasa sehingga semua anak muda ini dibebaskan malam tadi," jelasnya dalam wawancara khas dengan Harakahdaily yang diadakan di KL Sentral, hari ini.
Mengulas perkara sama, Pak Samad berkata, Najib mesti berpegang kepada gagasan beliau sendiri, 'Rakyat Didahulukan' kerana anak-anak muda itu juga adalah rakyat.
“Mereka ingin sampaikan hasrat untuk murnikan perlembagaan negara dan meningkatkan demokrasi dan sepatutnya jika saya datang ke tempat umum, itulah yang akan layan terlebih dahulu.
“Sebab itu adalah suara kelompok angkatan muda yang memang berpelajaran, berazam dan ingin membantu negara sebenarnya.
“Saya tidak faham seorang perdana menteri yang mengatakan 1Malaysia dan Rakyat Didahulukan, nampaknya secara praktis tidak mengamalkannya, “ jelasnya yang menjadi tumpuan generasi muda mutakhir ini.
Beliau juga mengucapkan tahniah dan sangat berbangga dengan kesanggupan dan keberanian anak muda dalam negara dan di luar negeri yang bersama-sama menggerakkan kebangkitan rakyat.
Menjawab tentang minat golongan muda terhadap penampilan dirinya ke tengah masyarakat sekarang ini hasil daripada mereka mengikuti karya sasteranya sejak di bangku dan kini beraksi membela kebenaran.
No comments:
Post a Comment