Thursday, July 7, 2011

BERSIH 2.0 - AYUH, PENUHKAN STADIUM!!!

5 Sya'ban 1432 H | 6 Julai 2011

PAS mengucapkan syabas kepada semangat kental yang ditunjukkan oleh para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengagumkan. Mereka diasak, diugut dan dipersenda oleh mereka-mereka yang berkuasa yang tidak menghormati undang-undang, sehingga kemuncaknya Bersih 2.0 mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang DiPertuan Agong.

PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada kebijaksaan Yang DiPertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut yang sengaja diwujudkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata kerana ketakutan menghadapi pilihanraya pada satu padang yang sama rata.

Di sini, PAS ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali. Namun, oleh kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang, maka PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada 9 Julai ini.


Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil.
Kepada para penyokong yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah kerana jawatankuasa himpunan telah melakukan yang terbaik demi rakyat.

Dengan kegigihan mereka dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya, serta tindakan KDN yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal,
Bersih 2.0 kini dikenali di seluruh pelosok negara.

60% matlamatnya sudah tercapai – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya.
Rakyat kena yakinkan diri sendiri dan kawan-kawan kita yang lain dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti.

Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga sebagai satu isyarat kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke-13 diadakan.


Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan.


Namun begitu, PAS juga ingin mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.
Rakyat menyokong hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi calon pilihan.

Lapan tuntutan yang diperjuangkan adalah untuk memastikan wakil yang dipilih nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.


Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.


Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, PAS menasihatkan agar menunaikan tuntutan-tuntutan tersebut. Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke-14 apabila tewas di pilihanraya ke-13 nanti.


Sekiranya Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah nanti, kita akan pastikan supaya 8 tuntutan ini dilaksanakan supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen.


Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails