Tahun 1998 merupakan tahun yang penuh dengan kemeriahan buat penduduk Kg Tuan Nong dan juga buat diriku yang dhoif ini.Pada tahun ini seluruh penduduk kampong ku meminati permainan wau dan layang-layang.Bila aku terbaca kosmo tempoh hari,fikiran terus merayap menerpa jauh ke zaman kecilku.Pada tahun itu aku berada di darjah enam.Setiap kali aku pulang dari sekolah terus aku mencapai golok atau parang menuju ke rumpun buluh duri dan buluh minyak di tebang untuk membuat kerangka wau.Sampaikan kadang-kadang aku dan kawan-kawan di hambat oleh penjaga rumpun buluh maka aku pun membuka langkah seribu melarikan diri.
Namun aku dan kawan-kawan tak serik apabila di kejar,malah aku akan menebang buluh itu pada waktu malam,kebetulan di sebelah rumpun buluh itu ada tapak perkuburan lama yang telah di tutupi oleh dedaun buluh itu.Tapi kerana minat yang mendalam dalam pembuatan wau aku tak peduli semua itu asalkan aku dapat siapkan sebiji wau tiap-tiap hari,sehingga aku mengabaikan pelajaran kerana pada tahun itu aku bakal menduduki peperiksaan UPSR.Bukan itu saja aku juga meninggalkan kelas tambahan dan aku tak pernah memasuki tuisyen seperti mana kawan-kawan ku yang masa malamnya bertuisyen.Aku lebih suka belajar berseorangan mengikut mood yang ada.Tapi aku dan kawan-kawanku solat tak pernah tinggal.
Mungkin ini lah bakat yang aku miliki yang di anugerahkan oleh Allah SWT,aku boleh buat wau bulan,wau kucing,wau puyuh,pelbagai jenis wau lah yang aku buat,tapi ada satu wau yang aku sangat suka iaitu wau burung helang.Wau burung helang ini bukan sahaja boleh terbang dengan cantik tapi boleh menggibaskan sayapnya apabila berada di atas udara…..sampaikan ada orang menyangka itu adalah burung helang hidup.Banyak juga aku mendapat tempahan dari orang kampong yang ingin membeli wau burung helang buatan ku.
Pada tahun itu juga kampong ku ibarat pesta wau dan layang-layang,ada yang berkelah di tepi sawah padi itu sambil di bawa bersama seluruh ahli keluarga dan sanak-saudara.Memang cukup meriah dan nyaman dengan tiupan angin petang yang kencang memelodikan lagi wau-wau mempunyai busur yang mengeluarkan bunyi seperti wau bulan dan wau kucing.Pada tahun itu juga di panggil tahun permainan wau di seluruh negeri ku.
Tahun 1998 telah lama berlalu,wau-wau yang dah putus talinya semasa di udara entah kemana singgahnya melayang-layang di awan-awanan hingga hilang dari pandangan.Kini sudah 11 tahun berlalu nostalgia itu,terasa baru semalam aku dan kawan-kawanku di kejar dan terasa juga kicauan beburung bertebangan kegembiraan di atas wau burung helang ku.Namun apa yang pasti wau burung helang ku itu sudah lama terkubur di bungkus bersama sejarah ,mungkin masih di ingati ataupun sudah dilupakan oleh mereka yang pernah bermain wau bersama ku dulu……sekarang aku tidak lagi bermain wau seperti dulu,terasa juga ingin meracip buluh mengembalikan bakat yang telah lama terkubur namun apakan daya masa terlalu singkat untuk membuat semua itu kerana kerja-kerja perjuangan untuk Islam sangat banyak.
kekoh.blogspot.com
No comments:
Post a Comment