Setiap orang yang bermusafir mestilah mempunyai bekalan yang diperlukan di dalam perjalanan. Dengan itu is menyediakan sebab musabab yang membolehkan ia meneruskan perjalanan agar dapat menuju matlamatnya. Ia juga membuat pertimbangan terhadap apa yang akan berlaku di dalam perjalanannya. Kemungkinan berlaku sesuatu yang menghadang jalannya dan menghalang ia meneruskan perjalanannya. Adakalanya berlaku suatu yang menjauhkannya dari matlamat atau sekurang-kurangnya mencacatkan perjalanannya.
Jalan da’wah adalah segala-galanya di dalam kehidupan seorang da’i kepada Allah. Ia adalah jalan yang paling utama untuk diberikan perhatian. Mestilah juga ada bekalan yang memelihara dari terpesong, terhalang, terhenti, terbantut atau tergelincir di jalan. Natijahnya, kerugian yang nyata dan hilangnya kebaikan dan kejayaan yang besar.
Pertama sekali, bekalan ini terdapat di dalam keimanan yang kuat dan ketaqwaan kepada Allah, ianya merupakan bekalan yang terbaik.. Setelah itu, bantuan-bantuan lain seperti persahabatan yang yang baik dan pembimbing yang menunjukkan pengalaman dan percubaa, serta lain-lain perkara yang dapat memperbaharui keupayaan dan keazaman dan mengelakkan dari penyelewengan dan kesalahan.
Dalil yang menunjukkan kepada kemestian dan kepentingan bekalan ini ialah : Jika sebuah kereta yang digunakan oleh orang yang bermusafir kehabisan minyak ketika perjalanan dan tidak mempunyai minyak yang mencukupi, maka jadilah ia seperti potongan-potongan besi yang tidak dapat membantunya untuk bergerak walaupun selangkah. Demikianlah juga orang yang mengharungi jalan dakwah, apabila bekalan iman dan taqwanya berkurangan atau kehabisan tanpa diperbaharui atau ditambah, maka jadilah ia seperti jenazah yang kaku atau orang yang sakit dan tidak berdaya untuk bergerak. Benarlah firman Allah SWT :
“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) Yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).” Surah Al An’aam : 122
Firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” Surah Al Anfal : 21
Bekalan iman dan taqwa kepada Allah ini terpancar dari sumber yang baik di dalam jiwa dan melahirkan tenaga, menaikkan semangat dan keazaman. Maka pergerakan menjadi mudah , tarikan keduniaan berkurangan, halangan dapat ditempuhi , liku-liku boleh diharungi dan petunjuk di sepanjang jalan kelihatan jelas. Lahirlah kebenaran, keikhlasan, keazaman, keteguhan dan juga mewujudkan pencapaian yang hampir menyerupai mu’jizat dapat dibuktikan di jalan dakwah.
No comments:
Post a Comment