Friday, July 10, 2009

SELAMAT TINGGAL PULAU PAYAR



Mentari bersinar terang dan yang pasti jirusan cahayanya tetap menyinggah lembut di kulit ku yang hitam ini.Aku bersyukur inilah anugerah dari Allah SWT yang tidak ternilai untuk seluruh makhluk-Nya.Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa bersama alunan pepohon rumbia,sesekali loncatan ikan gerut-gerut dari muka air sungai Kuala Kedah menambahkan lagi serinya alam buana ini.Renungan tentang Agong-Nya alam ciptaan ini mula mengeletek hati dan lidahku mula berzikir pada-Nya.Kepelbagaian flora dan fauna dengan warna yang berbeza membuka lebih luas perspektif fikiranku pada Maha Hebat Allah SWT.


Segala hikmat telah ku rasai sekarang ini,jika dulu telah aku merancang untuk mengadakan latihan praktikal di Tok Bali,Kelantan namun di tolak dalam masa yang singkat,di saat itu aku buntu mencari arah di mana lagi untukku mencari tempat praktikal baru kerana seminggu lagi akan bermula dengan rasmi sesi latihan itu.Namun aku tetap berusaha untuk berpraktikal di LKIM Cendering,Terengganu berdekatan dengan teratak dan kampong halaman ku,di sana aku mula mengatur jadual sekurang-kurangnya sambil praktikal di situ aku boleh berjumpa dengan guruku Tuan Guru Ustaz Zainuddin Al-Bayasi dan menadah semula pengajian kitab penawar bagi hati,kitab jauhar,kitab durussamin,kitab muhimmah dan juga aku berpeluang menghadiri kuliah mingguan Al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus di surau Flat Gelong Bilal yang berdekatan dengan rumahku.Hatiku cukup gembira dan riang seperti keriangan beburung camar yang terbang rendah di Pantai Merdeka mencari ikan belacak dan spesis sesiput.


Akhirnya keputusan rasmi sudah aku ketahui,aku terkejut dan mataku mula berpinar kerana permintaan aku untuk berpraktikal di Cendering di tolak.Namun begitu aku pasrah menerima berita itu kerana aku tahu perancangan Allah SWT lebih baik untuk diriku.Sememangnya niat untuk aku berjumpa dengan sahabat-sahabat yang dulunya berprogram bersama-sama mengikuti aktiviti di bawah WAjA Terengganu kini menjadi satu kenangan di kotak fikiranku,nostalgia dan kenangan berprogram bersama-sama semakin laju berputar di mindaku,ya…memang sukar untuk aku lupakan kenangan itu kerana di sanalah aku mula melatih diriku untuk menjadi fasilitator dan kelak aku boleh memberi sumbangan pada ummah seterusnya berkorban untuk mendaulatkan perjuangan ISLAM.


Pulau Payar destinasi praktikal ku selama 3 bulan,hatiku mula tawar kerana masih ada lagi sisa-sisa harapan permintaan yang sebelum ini.Namun aku kuatkan langkahan kakiku ini untuk menuju ke pulau pelancongan ini kerana sebelum ini aku sudah sampai di Pulau Payar itupun 2 tahun yang lalu.Berbekalkan sebiji beg galas yang bersaiz kecil,aku mula menuju ke pelabuhan bot yang berada di kawasan industry Mergong,Kuala Kedah.Tepat jam 9.13 minit pagi aku bertolak ke sana menaiki bot jabatan taman laut yang boleh memecut dengan kelajuan 30 knot dengan menggunakan enjin Suzuki 150 four stroke.Deruan enjin Suzuki mula menyinga kencang,aku tergelonsor kebelakang di sebabkan inersia dan momentum dari pecutan itu,selepas 15 minit jantungku mula berdenyut kencang kerana tidak pernah menaiki bot selaju ini,seketika selepas itu aku mula merasai nikmatnya hidup ini di tambah pula dengan sapaan angin semilir dari Selat Melaka.


Bot terus memecut pada tahap maksimun melanggar gelombang yang sebesar rumah teres dan sesekali terbang di udara,kini aku mula di resapi keseronakkan bersama lambungan gelombang merupakan satu pengalaman yang baru.Terus aku mengucapkan syukur pada Illahi di atas pemberian kedamaian dan ketenteraman ini.Mungkin ini lah perancang dari Nya untuk ku,alangkah indahnya hidup ini untuk aku berfikir bahawa setiap makhluk yang Allah SWT ciptakan ini tidak sia-sia malah banyak lagi keistimewaannya jika aku mengkaji dengan lebih mendalam.20 minit berlalu bot membelah Selat Melaka kelihatan samar-samar Pulau Payar dan Pulau Lembu namun tidak kelihatan pula Pulau Kaca kerana terlindung apatah lagi Pulau Segantang yang berada jauh di belakang Pulau Payar.


Asyiknya menikmati kebiruan air laut dan juga kesamaran Gunung Jerai dari tengah laut,tiba-tiba mataku di hidangi dengan aksi akrobatik dari ikan parang yang membuat luncuran di atas air seolah-olah ingin berlumba dengan bot yang aku naiki.Hari ini nasib aku kurang baik jika tidak boleh melihat dolphin yang merupakan raja akrobatik memperagakan aksinya dan sudah pasti ikan parang bukan saingannya.Setelah 42 minit berlalu membelah badaian gelombang,maka sampai lah aku di Pulau Payar yang di gazetkan sebagai taman laut.Syukur aku dan kawan-kawanku sampai dengan selamat,namun Pulau Payar tidak seperti dulu lagi kerana sekarang banyak kemudahan yang di sediakan seperti jeti,chalet,tandas dan yang paling aku suka surau pun ada di sini Alhamdulillah boleh juga solat dengan selesa.


Kepenatan mula menular ke tubuhku dan aku mengambil keputusan untuk merehatkan diri sebelum masuk waktu zuhur.Jam di tangan ku yang berjenama Q & Q menunjukkan pukul 3.16 petang dan aku mula berkira-kira untuk turun mandi laut dan menikmati keindahan taman laut itu yang terkenal di seluruh dunia,ini kerana Pulau Payar sentiasa menerima kunjungan pelancong dari luar Negara termasuk lah dari Benua Afrika dan Negara Teluk.Berbekalkan sepasang ‘fins’(kaki itik yang di perbuat dari getah) dan’ musk ’ ,aku dan seorang kawan menuju ke hujung jeti kerana di sana airnya agak dalam dan sesuai untuk melakukan terjunan akrobatik,sememangnya aku mengemari terjunanan kebelakang dari atas pagar jeti.Cuma yang aku risau dan bimbang pada ikan banang(seperti ikan todak)jika ia terkejut maka ia boleh menusuk tubuh aku.Tapi setakat ini tidak berlaku lagi peristiwa yang tidak diingini itu,entah-entah aku orang yang pertama membuka peristiwa itu kot…


Setelah melakukan aksi akrobatik itu,aku pun berenang menuju ke kawasan terumbu karang yang di diami dengan pelbagai spesis yang menakjubkan.Hard coral,soft coral,mushroom,sponges dan,acropora merupakan tumbuhan laut yang mendominasi dan melengkapkan keindahan taman laut ini.Berenang di laut tidak sama berenang di tasik atau pun sungai kerana di laut mudah untuk terapung kerana larutan garamnya tinggi,cuba lihat Laut Mati di Jordan yang mempunyai ketepuan larutan garamnya yang paling tinggi di dunia akibat dari pembalasan kaum Nabi Luth di waktu dulu di sebabkan kemaksiatan yang di lakukan.Teknik ‘free dive’ di gunakan untuk menyentuh sendiri ‘sea anemone’(tempat tinggal ikan nemo atau clown fish),namun teknik ini amat berbahaya kepada yang mempunyai nafas pendek kerana di bimbangi akan lemas.Asyik melihat suasana dasar taman laut tiba-tiba aku terlihat ikan kerapu sebesar meja dengan matanya sebesar bola ping-pong,tetapi ia tidak membahaya kepada penyelam kerana ikan ini sifatnya pemalu.


Selain ikan kerapu banyak lagi ikan yang ada di sini antaranya ikan alu-alu(barracuda),ikan repoh,ikan jenahak,ikan banang,ikan puting nangka,ikan kipas(lion fish) dan yang paling menarik adalah ikan bayan(parrot fish) yang mempunyai pelbagai warna biru,hijau dan jingga.Selepas 2 jam 3 minit melakukan antiviti snorkeling cukup memberi 1001 pengajaran berharga kepada aku sebagai makhluk yang di gelar manusia,bahawa terciptanya makhluk-makhluk seperti ikan,terumbu karang dan lain-lain lagi sebenarnya adalah untuk manfaat kepada manusia,tetapi adakah ia boleh memberi keinsafan kepada kita ataupun sebaliknya.Sepertimana perjuangan ikan-ikan di laut yang bertarung dengan badai gelombang untuk hidup,maka begitu juga kita sebagai manusia sebagai mahkluk yang paling mulia untuk memegang amanah khalifah bagi memakmurkan alam ini dari tangan-tangan manusia yang rakus………….bersambung


“Pejuang ibarat tiram di laut,di hiris pepasir tercalarlah ia,sungguhpun terluka tetap di pendam,sungguhpun pedih tetap di simpan,namun akhirnya dibalas dengan Mutiara Berharga”.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails