Tuesday, November 1, 2011

Adakah tarif elektrik akan dinaikkan apabila TNB mengumumkan kerugian RM453.9 juta?


KUALA LUMPUR, 31 Okt: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kerugian bersih RM453.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2011- satu tindakan yang dijangka merupakan isyarat awal kenaikan tarif elektrik.

Sekiranya mengikut rekod keuntungan sebelumnya, TNB memperoleh untung bersih sebanyak RM3.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 2010.
Menurut catatan sebuah blog, TNB berjaya memperoleh untung bersih untuk tempoh berikutnya iaitu separuh masa pertama berakhir 28 Februari lalu berjumlah RM1.343 bilion.

“Untung adat meniaga. Ada untung, ada rugi. Tapi sungguh tidak patut kalau TNB boleh rugi teruk. Takkan TNB monopoli pun boleh rugi banyak? Kemudian pada pertengahan tahun, tarif elektrik baru sahaja dinaikkan dengan purata kenaikan sebanyak 7.12%,” tulis blog Beritasemasa.com.

Menurut blog berkenaan, terdapat faktor yang menyebabkan kadar keuntungan TNB jatuh iaitu disebabkan pembelian mahal kuasa yang dihasilkan oleh Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

“Untuk rekod, TNB terpaksa menanggung RM12.5 billion untuk beli kuasa daripada IPP berbanding tahun kewangan sebelumnya 2009 dengan RM11.8 billion. Tahun 2011, berapa pula tanggungan TNB terhadap IPP?,” soal blog berkenaan.

TNB katanya, memberi alasan kerugian tersebut juga disebabkan kebakaran pada Disember 2010 di blok Bekok yang terletak di pesisir 200 km dari Pantai Timur Semenanjung.

“Penyambung semua bekalan penuh sudah berkali-kali ditangguhkan sehingga akhirnya TNB terpaksa beralih kepada bahan api lain yang lebih mahal. Itu sebab mereka rugi banyak kali berdasarkan kenyataan TNB baru-baru ini.

“Pelik, setahu kami Malaysia ini kaya dengan rizab gas asli.

“Jadi mengapa Petronas boleh menghadapi kekurangan bekalan gas, yang telah mengakibatkan kerugian kepada Tenaga Nasional? Kalau sebelum ini, Petronas mampu membekalkan 1200 juta mmscfd sehari kepada sektor penjanaan kuasa tetapi sekarang turun mendadak kepada hanya sekitar 900 juta mmscfd pada tahun ini,” jelas blog berkenaan.

Tambahnya, Petronas juga mengatakan kekurangan gas kerana harga gas subsidi dan penggunaan gas sebagai ganti kepada arang batu telah mendorong permintaan tinggi terhadap gas.

Jual gas murah kepada IPP tapi beli mahal

Menurutnya, Petronas menjual gas pada harga yang rendah dengan harga subsidi kepada IPP manakala IPP pula menjual kuasa elektrik kepada TNB pada harga mahal.
Barisan pemain utama IPP
TNB pula akan menaikkan tarif elektrik apabila tiba masa yang mereka rasakan bersesuaian.

“Semuanya angkara perjanjian berat sebelah antara IPP dan TNB dahulu sehingga menyebabkan CEO TNB pada masa itu, Tan Sri Ani Arope meletak jawatan kerana tidak berpuas hati. Akhirnya, siapa yang kena bahananya?,” soalnya.

Tambah Petronas lagi juga mengatakan Subsidi gas telah diberikan sejak tahun 1997 sehingga menyebabkan permintaan gas sebagai ganti kepada arang batu dan minyak meningkat melebihi keperluan.

“Yang menjadi persoalannya sekarang, adakah jika bekalan bekalan dari Bekok C walaupun berjaya dipulihkan sepenuhnya, kekurangan gas akan berjaya diselesaikan?

“Secara faktanya, Malaysia bukan calang-calang rizab gasnya sehingga diletakkan pada kedudukan ke-14 di dunia dari segi rizab gas, mengikut laman web Malaysia Gas.

“Setakat ini ada cadangan telah dikemukakan yang mana beberapa pengeluar tenaga bebas perlu berkongsi kos yang tinggi ketika ini. Mahu atau tidak, tidak diketahui lagi.

“Sedangkan TNB untung banyak tahun lepas pun, TNB masih bertindak naikkan tarif elektrik, inikan pula kalau jumlah keuntungan bersih mereka merosot. Dan adakah ini merupakan signal awal untuk tarif elektrik dinaikkan tidak lama lagi?,” soalnya.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails