Thursday, August 2, 2012

Gandakan Sedekah Di Bulan Ramadhan






Oleh : Mufti Brunei

GANDAKAN SEDEKAH DI BULAN RAMADHAN

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bulan Ramadhan merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda. Segala macam kelebihan dan kebajikan terkumpul dan dilipatgandakan ganjarannya di bulan yang suci lagi
mulia ini. Dalam bulan Ramadhan ini, nikmat Allah Subhanahu wa Ta‘ala ke atas hambaNya lebih luas lagi berbanding bulan-bulan yang lain.

Alangkah ruginya seorang muslim itu jika dia tidak merebut peluang segala kelebihan dan kebajikan yang sangat istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadhan, yang hanya hadir setahun sekali, iaitu dengan berusaha meningkatkan amal ibadat termasuk
memperbaiki akhlak dan budi pekerti.

Walaupun umat Islam sentiasa dituntut supaya meningkatkan amal ibadat pada setiap masa, namun bulan Ramadhan merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan atau memulakan langkah mengerjakan suatu amalan yang sebelum itu jarang ataupun belum pernah dikerjakan. Antara amalan yang perlu diperbanyakkan dalam bulan Ramadhan ialah amalan bersedekah.

Bulan Ramadhan Waktu Paling Afdhal Untuk Bersedekah

Tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia selain daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah al-Ahzab: 21)

Oleh kerana itu, cara terbaik bagi menjalani bulan Ramadhan ini ialah dengan menghayati dan meneladani bagaimana sikap dan sifat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika berada di bulan tersebut.

Menurut riwayat hadits-hadits shahih yang dikhabarkan kepada kita melalui para sahabat Baginda, selain meningkatkan amal ibadat Baginda di bulan rahmat ini, sifat serta akhlak Baginda yang sangat mulia lagi luhur dan tiada bandingnya itu pun turut sama meningkat lebih tinggi daripada dalam bulan-bulan yang lain.

Antaranya yang diberitakan oleh para sahabat ialah sifat murah hati serta dermawan Baginda yang sememangnya merupakan makhluk yang paling pemurah itu bertambah-tambah lagi pemurahnya ketika berada di bulan Ramadhan. Ini jelas termaktub dalam riwayat hadits-hadits shahih yang menceritakan bagaimana ringan serta cepatnya tangan Baginda yang mulia itu menghulurkan bantuan atau pemberian seperti sedekah dan sebagainya di bulan Ramadhan. Umpamanya hadits yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, beliau berkata:

Maksudnya:

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan manusia yang paling pemurah, dan Baginda itu lebih pemurah lagi dalam bulan Ramadhan ketika Baginda didatangi oleh Jibril ‘alaihissalam (kerana Baginda sangat berbesar hati dengan pengutusan Jibril ‘alaihissalam untuk bertemu dengan Baginda dan kerana kesan bertadarus al-Qur‘an dengan Jibril ‘alaihissalam). Adapun Jibril ‘alaihissalam mendatangi Baginda pada setiap malam di bulan Ramadhan lalu Baginda (Jibril ‘alaihissalam) mengajarkan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam al-Qur‘an (mentasme‘ dan meneliti bacaan Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam). Maka sememangnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam itu sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup”.

(Hadits riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah ketika mensyarahkan hadits ini, maksud “sangat pemurah dengan kebaikan lebih daripada angin yang bertiup” itu ialah betapa pantas dan ringannya tangan Baginda menghulurkan pemberian serta tidak putusnya limpahan kebajikan yang disalurkan oleh Baginda kepada siapa sahaja tanpa pilih kasih.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, hadits ini merupakan seruan serta anjuran kepada umat Islam supaya menanamkan sifat pemurah dan sentiasa mengamalkan sifat pemurah itu pada setiap detik dan ketika, dan sunat meningkatkan sifat pemurah tersebut dalam bulan suci Ramadhan sebagai mencontohi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Maka berdasarkan hadits ini, para ulama telah mengambil kesimpulan bahawa waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ialah dalam bulan Ramadhan, terutama sekali pada sepuluh hari terakhir bulan tersebut.

Menurut ulama, keutamaan dan keistimewaan bersedekah di bulan Ramadhan itu adalah kerana kemuliaan bulan Ramadhan itu sendiri, ditambah lagi dengan keadaan orang-orang fakir yang kekurangan tenaga untuk mencari pendapatan akibat keletihan dan kelaparan kerana berpuasa.

Ini dikuatkan lagi dengan keperibadian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam bulan Ramadhan yang mana sifat pemurah Baginda pada waktu tersebut diumpamakan oleh sahabat Baginda sebagai lebih pemurah daripada limpahan angin yang membawa rahmat dan manfaat kepada siapa sahaja yang terkena hembusannya. Diikuti pula selepas itu, afdhal bersedekah pada hari-hari kebesaran dan kemuliaan Islam yang lain, seperti Hari Jumaat, sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, dan kedua Hari Raya ‘Idil Fitri dan ‘Idil ‘Adha.

Bagaimanapun, harus diambil perhatian di sini bahawa pemilihan waktu yang paling afdhal untuk bersedekah ini bukanlah satu anjuran supaya kita melewatkan sedekah itu sehingga masuk bulan Ramadhan atau sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah atau lain-lain yang disebutkan tadi.

Bahkan amalan bersedekah itu adalah dituntut untuk disegerakan pada bila-bila masa dan di mana-mana saja. Akan tetapi, ia lebih merupakan dorongan untuk memperbanyakkan sedekah pada waktu-waktu tersebut kerana sedekah pada waktu-waktu berkenaan lebih besar ganjaran serta faedahnya.

Sebagai hamba Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang sentiasa mengharapkan rahmat serta keredhaanNya, kita sewajarnya mencari apa sahaja jalan yang akan mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Jalan terbaik untuk mencapai hasrat tersebut ialah dengan meneladani kekasihNya iaitu Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang menduduki darjat tertinggi disisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu pun sentiasa merebut peluang untuk mencari keredhaanNya sebagai luahan rasa syukur Baginda atas segala kurniaanNya, jadi bagaimana pula kita yang merupakan hambaNya yang kerdil dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa ini?

Jadi rebutlah peluang untuk mengangkat darjat kita di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan memanfaatkan kehadiran bulan Ramadhan ini dengan sebaiknya dan jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja.

Sumber : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2012/bil18.pdf

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails