Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menegaskan kerajaan yang sedia ada yang tidak mahu melaksanakan syariat sepenuhnya, perlu diganti.
Akibat menolak syariat sebagai suatu alternatif kepada sistem yang ada, yang gagal memperbaiki bukan sahaja nasib umat Islam malah gagal menjaga amanah uruskelola negara dari segala kepincangan salahguna kuasa dan kewangan rakyat, Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai isu sosio-ekonomi yang buruk.
Sebagai natijah kepada kerajaan yang tidak mempunyai sikap yang jelas terhadap menegakkan syariat, Mapim mendapati perlaksanaan syariat Islam terhalang di negara ini adalah akibat terbentuknya gejala masyarakat Islam sendiri tidak yakin dengannya sebagai alternatif kepada sistem yang sedia wujud.
Di samping itu juga pemimpin dan pihak kerajaan sendiri yang tidak mempunyai agenda untuk melaksanakan syariat Islam sepenuhnya di negara ini.
Sungguhpun soal syariat sebagai hukum Allah adalah suatu tuntutan dalam keimanan orang Islam, namun akibat kerajaan melaksanakan sistem pendidikan yang tidak memberi kefahaman yang betul terhadap Islam, masyarakat Islam sendiri menjadi penghalang.
Lebih parah lagi sistem pendidikan sekular yang memisahkan pelajaran akademik dengan nilai serta pandangan hidup Islam telah menyebabkan generasi demi generasi yang lahir dari sistem yang ada tidak mesra dengan ilmu syariat malah menjadi amat terasing dari syariat.
Ditambah lagi golongan elit yang sekular di kalangan masyarakat Islam, yang memegang keyakinan bahawa sistem undang-undang Barat lebih superior, menjadi peneraju kepada pelbagai bidang pembangunan negara sehingga tidak meletakkan agenda menegakkan syariat sebagai tanggungjawab mereka.
Mapim mendapati pemimpim-pemimpin Melayu Islam kebanyakannya mempunyai aliran pemikiran yang amat asing dari Islam sehingga tidak terdapat kesungguhan mahupun kemahuan yang kuat untuk menjadikan syariah sebagai sistem arus perdana dalam negara ini.
Akibat dari itu, memasukkan kembali perundangan hudud dalam perundangan negara terbantut.
Kami berpendrian sepatutnya hukum hudud boleh dilaksanakan oleh negeri-negeri tanpa sebarang halangan dari Perlembagaan Persekutuan kerana tidak terdapat sebarang peruntukan yang tecatat yang menghalang hukum Islam dilaksanakan.
Mapim kesal wujudnya persekongkolan antara pemimpin Islam dan bukan Islam yang membiarkan hukum hudud yang disyariatkan dalam Islam dijadi bahan kritikan sehingga mengujudkan gejala fobia yang keterlaluan terhadap syariat.
Pernyatan terbuka pemimpin bukan Islam dalam kerajaan yang menghina dan menyerang hudud tanpa asas dan hujah ilmu yang betul, adalah suatu fitnah yang dibenarkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu Islam dalam kerajaan.
Jelas pandangan mereka berasaskan sikap prejudis yang sangat tebal terhadap syariat Islam. Malangnya pemimpin-pemimpin Islam menyuburkan lagi sikap ini sehingga perlaksanaan syariat sepenuhnya terhalang.
Lebih parah lagi kejahilan beberapa individu yang dahulunya memegang kedudukan tinggi dalam kerajaan menyatakan “Hudud tidak ada dalam Al-Quran” dan “ayat judi tidak ditemui dalam Al-Quran”.
Bukan sahaja ia mengesahkan kejahilan malah ia telah menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat. Malangnya Menteri Hal Ehawal Islam dan ulama dalam kerajaan tidak menegur dan memperbetulkan kenyataan mereka.
Mapim menegaskan jika kerajaan gagal meletakkan perlaksanaan syariat Islam sepenuhnya sebagai agenda utama, maka selayaknya kuasa pemerintahan hendaklah diserah kembali kepada umat Islam untuk memilih pemimpin kerajaan yang lebih layak untuk mengembalikan kemuliaan syariah di negara ini.
Penulis ialah Setiusaha Agung Mapim/Pengerusi Gerakan Sokong Syariah (Gesa).
No comments:
Post a Comment