Friday, May 20, 2011

Tokoh veteran Pas meninggal dunia



KUALA TERENGGANU – Tokoh veteran Pas yang juga Pengerusi Kelab Veteran Pas Terengganu, Kassim Ahmad telah kembali ke rahmatullah di rumahnya, di Kampung Tuan Mandak, Batu Enam, di sini, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Allahyarham Kassim, 74, yang juga Bendahari Dewan Ulama Pas Terengganu menghembus nafas terakhir di hadapan isteri keduanya, Zainab Awang, 41, dan anak-anaknya setelah menderita penyakit angin ahmar sejak hampir sebulan lalu.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib ketika dihubungi menganggap pemergian Allahyarham umpama kehilangan sebutir permata yang begitu bermakna kepada parti kerana beliau ialah pemimpin yang sangat komited dan bertanggungjawab dalam membangunkan Pas Terengganu khususnya.

“Ia merupakan kehilangan besar, kehilangan tenaga yang bermanfaat pada parti. Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu dan kita kehilangan tokoh yang amat bermakna,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Harun berkata, Kassim banyak menyumbang jasa, berkorban dari segi kewangan, tenaga dan fikiran dalam memastikan Pas terus bergerak ke depan menjayakan matlamat parti.

Selain Zainab, Allahyarham Kassim meninggalkan seorang lagi balu iaitu Noraidah Sulaiman bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Masjid At-Taqwa, Batu Enam, di sini, selepas solat Asar dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Che Lijah, semalam.

Beberapa jawatan disandang sepanjang hayatnya iaitu wakil rakyat Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serada pada 1969 yang kini dikenali DUN Bukit Payong, Marang.

Antara jawatan penting selain Pesuruh Pas Terengganu, beliau turut menyandang jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangan di peringkat negeri dan Yang Dipertua Pas Dungun, Hulu Terengganu, Marang.

Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma’ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).

Antara pimpinan Pas yang menziarahi jenazah Allahyarham Kasim adalah Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua Muslimat Pas Terengganu dan Setiausahanya, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Terengganu, Dr B Chandran dan Ketua Penerangan Pas Kuala Nerus, Ismail Dagang.

SH

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails