Sunday, February 12, 2012

Hubungan Kita Dengan Baginda S.A.W

Hubungan kita dengan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam adalah hubungan yang menyeluruh.

Sudah tentu, hubungan paling utama adalah hubungan Spiritual kerana kebersamaan kita dalam mentauhidkan Allah.

Hubungan itulah juga yang menjadikan kita bersaudara dengan Anbiya’ dan Rasul yang lain sama ada mereka itu Bani Israel atau apa-apa sahaja bangsa yang menghuni alam ini.

FIZIKAL

Ada pun hubungan fizikal, ia sudah tidak mungkin terjadi. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam sudah wafat. Susuk tubuh baginda tidak lagi bersama kita. Kesedihan yang sudah terlebih dahulu menggemparkan Umar dan ditenangkan oleh Abu Bakar radhiyallahu ‘anhuma. Apa yang tinggal hanyalah sebuah makam penanda alam Barzakh tempat bersemadinya junjungan mulia yang dikasihi itu.

Andai ada yang mendakwa bertemu dengan Baginda secara fizikal, dengan apa-apa ikhtiar sekali pun, saksikanlah bahawa beliau itu adalah pendusta.

INTELEKTUAL

Hubungan kita dengan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga adalah pada hubungan intelektual.

Akal dan garapan ilmu di fikiran itu meyakinkan kita (malah secara empirikal) bahawa Baginda adalah benar, risalahnya benar, lantas al-Quran dan al-Hadith menjadi asas-asas pembimbing Ittiba’ kita kepada Baginda. Rasional kita menerima sebesar-besar kebenaran yakni pada keabsahan Nubuwwah serta risalah Kenabian Baginda.

EMOSIONAL

Namun hubungan kita mesti membabitkan emosional.

Membabitkan rasa cinta.

Cinta yang tidak boleh ditulis di kertas. Tidak mampu diungkapkan bicara. Cinta yang menggetarkan hati semasa mendengar nama Baginda. Cinta yang menimbulkan tenaga semasa mahu melakukan sesuatu kerananya.

Sesuatu yang kita rasa.

Bagai manisnya gula. Hanya boleh dirasa. Tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Mencintai Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam yang menjadi syarat kesempurnaan iman.

Cinta yang menjadikan Baginda lebih utama daripada ibu bapa, anak-anak dan sekalian manusia.

Wujudkah cinta itu di hati?

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
43000 Bandar Seri Putra

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails