Tuesday, February 28, 2012

JIKA IKHLAS, TAK PERLU TUNGGU 2/3 MAJORITI

5 Rabi'ul Akhir 1433 H | 28 February 2012
Dalam kenyataannya semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan bahawa Sebuah Suruhanjaya Perkhidmatan Anti Rasuah, seperti yang dicadangkan oleh lembaga penasihat SPRM, akan ditubuhkan untuk membolehkan badan pemantau anti-rasuah itu mempunyai kawalan penuh ke atas pegawai-pegawainya, termasuk kuasa untuk melantik dan memecat mereka.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa isu ini perlu pindaan perlembagaan.

Sepatutnya, bukan sahaja kuasa pemantauan diberikan kepada kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bahkan kuasa pendakwaan juga sepatutnya diberikan kepada SPRM, dan bukan lagi tertakluk kepada budi bicara Peguam Negara sebagaimana kini.

Apa yang penting bagi SPRM bukan semata-mata siasatan, tetapi turut mempunyai kuasa pendakwaan. Rakyat masih bertanya kemana pendakwaan kes berprofile tinggi yang pernah dinyatakan oleh Datuk Seri Rais Yatim, demikian juga isu besar NFC dan sebagainya.

Sehubungan itu, PAS melalui Jawatankuasa Khas Parlimen akan meneliti dan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Anti-Rasuah yang dicadangkan PM dengan beberapa perkara yang disebut di atas.

PAS akan mengemukakan usul tersebut di dalam sidang parlimen akan datang.

PM tidak perlu menunggu untuk mendapatkan 2/3 majoriti dalam pilihanraya akan datang, kerana rakyat akan menilai sejauhmana kerajaan mendokong usaha membanteras rasuah dengan menilai sokongan BN terhadap usul yang akan dibawa PAS.

Rakyat sudah tentu masih ingat wayang ‘anti-rasuah’ yang dimainkan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan Tan Sri Kasitah Gaddam dan Tan Sri Eric Chia.

Jika PM ikhlas dalam membanteras rasuah, beliau tidak perlu mengambil usul ini sebagai satu lagi janji berbentuk ‘you help me, I help you’ untuk mendapatkan undi rakyat, kerana pihak PAS dan Pakatan Rakyat sudah tentunya akan menyokong usul tersebut asalkan ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails