Saturday, September 19, 2009

PECUTAN AKHIR MENGGAPAI RAMADHAN...


Sinaran pagi ini samar-samar di lindungi awan nipis dari ufuk timur,hujan gerimis di sepanjang perjalanan dari Perlis hingga ke Alor Setar melalui lebuh raya Utara Selatan.Bermula detik ini aku bersama seorang sahabat akan pulang ke kampong masing-masing di Terengganu untuk menghabiskan Ramadhan yang masih berbaki ini.Terasa baru semalam Ramadhan menjelma dan mencuit diriku ini,kini aku pasrah dan terpaksa merelakan ianya pergi ,tidak mampu untuk aku menghalang fitrah kejadian ini.


Berlalunya Ramadhan maka di bawa pergi bersama jutaan kerahmatan dan keberkatan yang ada di dalamnya.Cuma bagi diriku yang jahil ini sekadar mengambil sedikit saja masa untuk menggapai mutiara ramadhan ini,yang selebihnya aku biarkan berlalu.Aku leka di awal munculnya ramadhan ini, kini baru aku tersedar dari lamunan bahawa ramadhan bakal meninggalkan aku dan semua manusia lain.Mungkin ramadhan ini adalah ramadhan terakhirku dan mungkin tahun hadapan aku tidak sempat lagi menghirup sejuta kerahmatan darinya.


Masjid yang ada di merata tempat di penuhi manusia di malam pertama ramadhan berlanjutan sehingga masuk minggu kedua ramadhan,terasa sejuk mula memeluk tubuh kurusku ini dengan suasana ini,hatiku mula berdoa pada Allah SWT semoga kekalkan suasana ini bersama saudara-saudara Islam bermunajat pada Nya.Aku harapkan tidak berlaku seperti ramadhan-ramadhan sebelum ini masjid hanya penuh di awal-awal ramdhan sahaja apabila menjelang 10 akhir hanya tinggal tiang-tiang yang kaku mencari malam lailatuqadar.Namun harapan itu hanya tinggal harapan semata-mata,kerana suasana kelalaian lebih berjaya memikat hati-hati manusia ramai.


Kini 10 malam terakhir menjelma kembali yang pasti terselit satu malam yang bakal memberi ganjaran 1000 bulan kepada manusia yang hatinya mampu melawan nafsu keduniaan ini.Kedengaran di corong-corong radio dan televisyen telah memperhebatkan promosi jualan hari raya, maka ramai manusia tertewas dengan tawaran ini juga di bawa bersama seluruh ahli keluarga termasuk nenek yang berumur 90 tahun.Semestinya pakaian di jual dengan harga murah termasuklah perkakasan dapur dan perabut,rambang dan terbeliak mata di buatnya.Aduhai manusia,di saat hebatnya tawaran dan promosi ini dari gedung Kamdar...di saat ini juga bertambah hebatnya tawaran dan promosi dari Allah yang telah menjanjikan malam al-qadr.


Kini ramadhan terus bergolek seperti biasa, semakin hari ramadhan semakin dekat dengan penamatnya,cuma menanti saat untuk mencuit dan mengizinkan Syawal menggantikan tempatnya.Suasana hari raya telah menenggelamkan ramadhan ini walaupun ianya belum lagi berakhir,di tambah pula deringan dan SMS dari telefon bimbit mengucapkan selamat hari raya dari sahabat-sahabat seperjuangan ku.Betapa hebatnya penangan suasana promosi syawal ini dan aku mula sedikit terkapai-kapai mencari dahan-dahan untuk memaut bagi menghabiskan madrasah ramadhan ini hinggalah masuknya azan maghrib keesokkannya,maka aku pasrah ianya pergi meninggalkan ku jua buat selama-lamanya.Insya Allah mungkin tahun depan ramadhan akan muncul lagi,namun aku belum tentu lagi boleh memilikinya kembali,kerana aku tidak tahu adakah umurku sempat berjumpa dengannya lagi,yang pasti aku terus berdoa pada Allah agar di panjangkan umur bertemu sekali lagi bulan ramadhan di tahun hadapan Insya Allah.

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails