Saturday, May 1, 2010

Jentera termurah Ducati




DUCATI sebuah pembuat motosikal yang dikenali bukan hanya kerana berjaya menjual produk mereka dengan laris. Apabila bercerita tentang Ducati, ia adalah tentang kejuruteraan sebuah mesin dua roda yang lahir daripada perlumbaan.

Hampir setiap model mereka lahir dari litar. Jika tidak pengendalian, nadi penggeraknya terbukti lasak, berkuasa dan datang dengan DNA Itali.

Istilah motard berkait rapat dengan transisi motosikal off-road kepada versi on-road. Ada pelbagai versi dan pemahaman. Namun, bagi standard industri, ia cenderung kepada transformasi motosikal dua alam kepada versi jalan raya. Daripada rim berjejari ‘lidi’ ia digantikan dengan rim sport.

Tayarnya disesuaikan untuk penggunaan jalan raya dan karakter enjinnya diubah. Posisi tempat duduknya tidak lagi berada pada keadaan tegak berdiri, berdasarkan kepada matlamat sebuah motosikal off-road yang seringkali melompat untuk meredah belukar dan laluan sukar.

Next Bike Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Naza baru-baru ini, telah melancarkan Ducati Hypermotard 796. Terus terang saya boleh katakan bahawa jika anda ingin mula belajar menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi, ini mungkin calon yang sesuai. Sekurang-kurangnya di mata saya, saiznya kelihatan seperti Kawasaki ER6 atau Aprilia Pegaso Strada.


MOTOSIKAL ini dibekalkan dengan unit enjin dua silinder L dengan keupayaan 81 kuasa kuda pada 6250rpm.


Hypermotard 796 merupakan motosikal yang lahir ilham daripada model Hypermotard 1100. Motosikal motard dan dual purpose bukanlah sesuatu yang asing buat Ducati. Malah, jika penetapan standard terhadap naked bike yang harus dipuji, maka rangkaian Monster layak mendapat anugerah tersebut.

Di sebalik rekaannya yang kompak, Hypermotard 796 dibekalkan dengan unit enjin dua silinder L dengan keupayaan 81 kuasa kuda pada 6250rpm. Dengan tork 75.5Nm, di atas kertas, motosikal itu kelihatan amat lincah jika digandingkan dengan berat badan 167kg.

Memandangkan Ducati terkenal dengan kejayaan di litar, model ‘pasar’ sebegini tidak ketinggalan mendapat pakej pengendalian terbaik. Sepasang sistem suspensi dengan fork depan jenama Marzocchi dan brek Brembo. Masing-masing empat omboh di roda hadapan dan dua omboh di belakang.

Harga jualan untuk Hypermotard 796 ialah RM79,000 seunit dan menjadi model Ducati paling murah yang boleh dibeli di pasaran. Jika dibandingkan dengan jenama Jepun, sememangnya naked itu agak mahal, namun ia bukanlah tentang harga.


JIKA anda mahu belajar menunggang motosikal berkuasa tinggi, Hypermotard 796 adalah jawapannya.


Bagi pasaran premium motosikal, kebanyakan pembeli dan bakal pembeli terdiri daripada golongan menengah atas atau elit. Membeli sebuah Hypermotard 796 bukanlah persoalan bagi mereka yang mampu tinggal di kawasan teres mewah dengan BMW 5 Series di dalam garaj.

Untuk anda yang mungkin tidak tahu, Naza juga menawarkan pinjaman setinggi 90 peratus dengan bayaran balik tujuh tahun menerusi kelolaan syarikat kredit mereka, Naza Credit Leasing. Perlu diingatkan, membeli motosikal berkuasa tinggi bukanlah semudah kereta. Syaratnya ketat, pinjamannya lebih pendek dan kadar faedahnya tidak semurah membeli Honda Jazz.

Pujian harus diberikan kepada Next Bike kerana masih mampu bertahan dan berkembang dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Tahun lepas, Next Bike berjaya menjual sebanyak 62 unit motosikal Ducati. Dengan keadaan ekonomi yang semakin pulih tahun ini, mereka menyasarkan penjualan sebanyak 160 unit menjelang akhir tahun.

Walaupun untuk pasaran perniagaan berskala kecil sebegini, Naza masih komited mengembangkan jenama Ducati dengan rancangan membuka pusat 3S bagi menampung jenama motosikal kendalian mereka.


ANDA tidak perlu mempunyai pengalaman beraksi di litar untuk menunggang model-model naked moden Ducati ini.


Naza juga memiliki hak pengedaran Harley-Davidson. Dengan anggaran kos mencecah RM25 juta untuk pelaburan hampir di setiap negeri, perkembangan pusat edaran dan servis tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun depan.

Berbeza dengan negara jiran Singapura dan Thailand, industri motosikal berkuasa tinggi negara tersebut agak malap. Superbike masih kekal sebagai status barangan import mewah yang hanya boleh dimiliki oleh golongan elit.

Poliferasi itu kekal sejak sekian lama sehingga membuatkan pertumbuhan pasaran motosikal berkuasa tinggi sangat perlahan. Sedar atau tidak, cuma ada empat atau lima pengeluar motosikal yang terus bertahan dalam industri iaitu Kawasaki, BMW, KTM, Ducati dan Harley-Davidson.

Polisi cukai terhadap produk itu menyebabkan pengeluar tidak berani untuk melabur. Ironinya begini, jika sebulan Yamaha mampu menjual 10,000 unit gabungan model 135LC, RXZ, 125Z, Nuovo dan Ego, mengapa perlu mereka melabur untuk menyediakan servis lepas jualan untuk YZF R1 dan R6 yang mungkin cuma terjual 20 buah sebulan?

Itulah hakikatnya. Baik Honda atau Suzuki, semuanya tidak melihat masa depan yang cerah untuk mengembangkan perniagaan motosikal berkuasa tinggi di Malaysia. Lihat sahaja apa yang terjadi pada Aprillia, Moto Guzzi dan Cagiva.

KOSMO

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails