KUALA TERENGGANU – Selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno sejak enam tahun yang lalu, ramai daripada mereka yang telah mengumpulkan harta lebih sejuta ringgit! Benarkan begitu?
Padahal, dengan elaun sebagai wakil rakyat dan khidmat yang terpaksa diberikan bagi melayani kehendak rakyat, adalah mustahil para wakil rakyat boleh menjadi jutawan.
(Gambar - Rumah YB Ramlan yang sedang dibina. Kereta Toyota Harrier 2.4G adalah salah satu dari kereta miliknya)
Kecuali, mereka yang telah menjalankan perniagaan sebelum dipilih wakil rakyat, namun adalah tidak munasabah bagi seseorang bekas penjawat awam, tiba-tiba boleh mengumpul harta jutaan ringgit.
Sebagai contoh ADUN Tepoh, YB Muhamad Ramli Nuh, yang pernah didedahkan sebelum ini, memiliki istana bernilai RM1 juta.
Walaupun sesetengah pihak mempertikaikan nilaian tersebut, sehingga kini, beliau sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan menafikannya.
Tinjauan Buletinonline ke perkarangan rumah tersebut mendapati, memang ianya sebuah rumah (kalau boleh dipanggil begitu) yang cukup besar.
Berdasarkan pengamatan wartawan Buletinonline ia mempunyai lima buah rumah kecil yang disatukan menjadi sebuah banglo mewah.
Pandangan dari bahagian belakang juga menunjukkan, rumah yang dibina di atas dua lot tanah tersebut memang tidak wajar dimiliki oleh seorang ‘yang berkhidmat’ kepada rakyat.
Selain itu, beliau yang sebelum ini adalah penjawat awam di pejabat agama, telah bertukar kereta sebanyak tiga kali, semenjak menjadi wakil rakyat.
Sepatutnya, sebuah Proton Perdana sudah cukup selesa baginya melaksanakan kerja-kerja menemui rakyat, namun ditukar kepada Sorento.
Untuk koleksi yang terbaru, YB Muhamad Ramli Nuh telah bertukar kepada Honda CRV.
Mungkin YB Ramli lebih baik sedikit dari pandangan rakyat kerana mendirikan rumahnya dalam kawasan DUN Tepoh, berbanding dengan ADUN Telemong, YB Rozi Mamat.
Rumah YB Rozi yang dibina di Taman Permint Permata dalam DUN Kuala Berang, tidak kurang hebatnya, walaupun dari pandangan mata kasar, tidaklah sehebat rumah YB Ramli.
Sepatutnya, rumah YB Rozi tentulah lebih besar kerana ‘bintangnya lebih terang’ apabila dilantik menjadi Exco kerajaan negeri selepas pilihanraya umum ke 12 tahun 2008.
Namun begitu YB Rozi mungkin ada kelebihan lain berbanding YB Muhamad Ramli Nuh.
Sebagai Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, kelebihan YB Rozi berbanding YB Muhamad Ramli adalah, beliau dilaporkan memiliki tanah seluas 30 ekar.
Sebagaimana Ramli Nuh, YB Rozi juga seorang bekas penjawat awam, mustahil kedua-duanya tiba-tiba boleh memiliki rumah mewah berharga ratusan ribu dan YB Rozi boleh memiliki tanah seluas 30 ekar.
Itu cerita YB dari daerah Kuala Terengganu (Parlimen Kuala Nerus) dan Hulu Terengganu.
Cerita seorang bekas guru yang menjadi YB dari daerah Besut (Parlimen Setiu) turut menjadi perbualan rakyat marhaen di warung-warung kopi.
Bagaimana seorang bekas guru lulusan maktab boleh memiliki sebuah Honda CRV warna hitam model terbaru, Toyota Harrier Silver model terbaru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi dalam masa yang hampir serentak.
Keluarga terdekat YB Cikgu Lan sendiri mempersoalkan bagaimana beliau mempunyai kemampuan, tiba-tiba hidup dengan serba mewah selepas menjadi wakil rakyat, sedangkan keluarganya bukan dari golongan berada.
“Kalau dicampur rumah baru, kereta, motor tak termasuk tanah dan kebun pusaka, saya bersetuju asetnya hampir, kalau pun tidak bernilai RM1 juta,”kata seorang penduduk DUN Jabi.
>>http://buletinonline.net
No comments:
Post a Comment