Thursday, May 20, 2010

Jais percaya Al-Arqam masih ‘aktif’ tapi atas nama lain


KUALA LUMPUR, 20 Mei — Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) percaya pergerakan Al-Arqam masih lagi aktif walaupun telah diharamkan pada 1994 selepas didapati menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengarahnya, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata pergerakan Al-Arqam kini berselindung di sebalik aktiviti perniagaan bagi mengelirukan orang ramai.

“Dulu Al-Arqam gunakan nama Rufaqa, tetapi kini mereka gunakan nama Global Ikhwan Sdn Bhd bagi mengelak daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

“Kita percaya pengikut-pengikut Al-Arqam bergerak di bawah perniagaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider baru-baru ini.

Pergerakan Al-Arqam diasaskan Ashaari Muhammad pada 1968 telah diharamkan oleh kerajaan pada 1994 atas alasan ajarannya didapati menyeleweng.

Al-Arqam juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah telah mengembangkan pengaruhnya di setiap lapisan masyarakat Islam di seluruh Malaysia.

Kumpulan ini menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, perusahaan, perniagaan, perubatan dan juga pertanian.

Bermula dengan 10 hingga 12 orang ahli pada 1968, keanggotaannya kemudian bertambah kepada sekitar 5,000 hingga 6,000 orang, malah ada laporan yang menyebut ia pernah mencecah 10,000 orang.

Namun menurut Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1994 dianggarkan seramai 6,000 pengikut yang fanatik dan 15,000 simpatisan.

Aktiviti Darul Al-Arqam bermula pada 1971-72 di Kampung Datuk Keramat di sini tetapi operasinya berpindah ke Sungai Pencala dua tahun kemudian.

Bagaimanapun perkembangan pergerakan itu menjadi perhatian apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesan adanya penyelewengan akidah dalam organisasi itu.

Mohammed Khusrin berkata, amalan dan ajaran Al-Arqam masih lagi diamalkan oleh pengikut-pengikut kumpulan itu sehingga kini.

“Kita percaya ajaran dan amalan Al-Arqam masih lagi diamalkan sehingga kini cuma kita tidak boleh mengambil tindakan kerana agak sukar untuk mengenal pasti mereka.

“Tetapi mereka ada mengedarkan risalah-risalah tentang ajaran Al-Arqam.

“Selain itu, pengikut Al-Arqam ini bukan hanya ada di Malaysia tetapi juga di negara lain termasuk Indonesia dan Singapura,” katanya.

Pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad telah meninggal dunia di di Pusat Rawatan Pakar Ipoh Khamis lalu kerana jangkitan paru-paru.

“Pada tahun ini kita masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung pergerakan Al-Arqam tetapi tangkapan pernah dibuat terhadap pengikut Al-Arqam ketika menggunakan nama Rufaqa,” kata Mohammed Khusrin.

Tambah beliau, sebanyak 22 kumpulan ajaran sesat telah diwartakan dan percaya masih banyak lagi kumpulan ajaran sesat.

“Kita telah wartakan sebanyak 22 kumpulan ajaran sesat dan kita yakin masih banyak lagi kumpulan ajaran sesat yang wujud.

“Kita akan tetap memantau kumpulan-kumpulan ini dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat,” katanya lagi.MI

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails