Saturday, May 22, 2010

UKM enggan ulas nasib 4 pelajar dirujuk mahkamah


KUALA LUMPUR, 22 Mei — Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) enggan mengulas desakan agar menggugurkan tindakan disiplin ke atas empat pelajar sains politiknya, yang didakwa menyertai kempen pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor bulan lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, jurucakap UKM enggan mengulas desakan itu atas alasan kes itu masih didengar.

“Buat masa sekarang kami tidak boleh memberi sebarang komen.

“Ini kerana ia masih dalam proses perbincangan, jadi kami tidak boleh kata apa-apa,” kata jurucakap itu ketika dihubungi.

Empat pelajar jurusan sains politik kini berhadapan dengan kemungkinan digantung pengajian kerana didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya dengan menyatakan sokongan kepada parti-parti politik yang bertanding ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor bulan lalu.

Empat pelajar berkenaan ialah Ismail Aminuddin, Hilman Idham, Azlin Shafina Adzha dan Woon King Chai.

Mereka ditahan di dua tempat berasingan ketika berada dalam kenderaan dipandu aktivis Parti Keadilan Rakyat, komponen Pakatan Rakyat bersama sejumlah bahan kempen parti itu.

Mereka mendakwa berada di Hulu Selangor untuk menjalankan penyelidikan akademik.

Pelajar-pelajar tahun kedua itu dikehendaki menghadiri perbicaraan di Mahkamah UKM pada 2 dan 3 Jun ini.

Kesemua pelajar tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 kerana menyatakan sokongan atau bersimpati dengan parti-parti politik yang bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Mereka juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Kelab Mahasiswa Sains Politik UKM.

Pilihan raya kecil berlangsung pada 25 April lalu dengan tempoh berkempen bermula 17 April. Ia dimenangi calon Barisan Nasional.


>>malaysia insider

No comments:

Post a Comment

kekoh sokmo

Related Posts with Thumbnails