Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang; Selawat dan Salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.
Dalam Rejab, bulan ke-7 dalam Takwim Hijrah, berlakunya peristiwa besar: Isra' Mikraj yang mana Rasulullah S.A.W telah menerima perintah kefarduan solat 5 waktu terus dari Allah di Sidratul Muntaha. Rasulullah S.A.W telah diisra'kan dari Masjidil Haram (Makkah) ke Masjidil Aqsa (Palestin) dengan menunggang Buraq.
Antara Peristiwa penting dalam bulan Rejab:
- Hijrah Pertama ke Habsyah (Ethiopia) bertujuan untuk menyelamatkan iman dan nyawa serta mencari ruang baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah. Ahli rombongan: Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah, anak Rasulullah SAW, 14 orang termasuk 4 wanita. Raja Habsyah dipilih adalah kerana sikap toleransi yang terpuji.
- Isra' dan Mi'raj. Sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir, 17 RabiulAwal, 29 Ramadhan dan 27 Rejab.
- Perang Tabuk mengambil nama sempena tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan tentera Islam.
- Pembebasan Baitul-Muqaddis (BM). BM telah dibuka di zaman Saidina Umar Al-Khattab RA. Akibat kelalaian dan perpecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah menyerang dan menawan kota suci BM setelah 500 tahun dikuasai pemerintahan Islam. Tentera Salib telah memerintah BM hampir 60 tahun sebelum ditawan kembali oleh panglima Islam, Salahuddin Al-Ayubi pada Jumaat, 27 Rejab 583H. Namun, pada tahun 1967 (1387H) umat Yahudi menawan kembali BM (Palestin) dan menamakannya sebagai negara Israel.
- Lahirnya Imam Syafie RH/ Muhammad bin Idris di Ghuzah, Palestin (150H) bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau seorang dari 4 imam mazhab besar. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tidak ternilai harganya ialah kitab al-Umm.
Amalan di bulan Rejab:
Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW. Ada hikmahnya kenapa tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu. Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara y diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan.
Namun, ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab tetapi ini bersandarkan hadis-hadis lemah.
Terlalu banyak amalan sunat umum yang kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan menjelang Ramadhan al-Mubarak.
Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api Neraka. Orang yang lemah dari berpuasa di bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.
Kelebihan lain bulan Rejab:
- Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalan bulan Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.
- Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
- Rejab bulan Allah, Sya’aban bulan Rasulullah. S.A.W, Ramadhan bulan umat Rasulullah S.A.W.
- Rejab adalah bulan menabur benih, Sya’aban bulan menyiram tanaman manakala Ramadhan bulan menuai.
- Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Sya’aban menyucikan hati manakala Ramadhan menyucikan roh.
- Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Sya’aban bulan syafaat manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.
- Rejab adalah bulan taubat, Sya’aban bulan muhibbah manakala Ramadhan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.
- Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Sya’aban diganda 700 pahala dan Ramadhan diganda 1,000 pahala.
Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab:
- Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun
- Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir
- Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat
- Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya
- Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah S.A.W. dan sirah Islam lain.
Doa Di Bulan Rejab:
- Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan bulan Sya’aban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadan. Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
- Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang patut disembah kecuali Engkau yang mencipta aku. Aku adalah hambaMu dan aku dalam genggamanMu. Aku dalam perjanjian (beriman dan taat) kepadaMu sekadar kemampuan yang ada padaku.
- Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang (mungkin) aku lakukan. Aku mengakui atas nikmat yang engkau berikan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku. Kerana itu aku memohon keampunan-Mu dan sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa seseorang kecuali Engkau Ya-Allah.
Istighfar paling baik dalam bulan Rejab:Maksudnya: Aku bermohon keampunan Allah yang Maha Agung dan tiada Tuhan melainkan Dia, yang hidup, yang berdiri sendiri dan aku bertaubat kepadaNya.
No comments:
Post a Comment